MANSUH REBAT TOUCH ‘N
GO BUKTI KELEMAHAN KERAJAAN
SEREMBAN - Pemansuhan rebat Touch ‘n Go digembar-gemburkan
berlaku hujung tahun ini didakwa menjadi bukti pelengkap kelemahan kerajaan
dalam mentadbir ekonomi negara.
Naib Ketua AMK, Mohd Nazree Mohd Yunus berkata, seandainya
pemansuhan itu benar-benar dilaksanakan, maka tiada lagi keistimewaan yang
tinggal selepas ini untuk dinikmati oleh rakyat.
“Jelas sekali, mereka (kerajaan) benar-benar mahu menekan
rakyat. Mana tidaknya, pemberian sekecil ini pun mereka hendak tarik balik
selepas menyedari kewujudannya mula menjadi perhatian ramai.
“Sepatutnya, mereka perlu berterima kasih kepada setiap
pemilik Touch ‘n Go kerana telah menyumbangkan dana awal kepada kerajaan
melalui pembelian kad berkenaan,” katanya kepada Sinar Harian di sini, semalam.
Dalam pada itu, mengulas syarat dikenakan terhadap pemegang
kad sebelum boleh menikmati rebat disediakan, beliau menyifatkannya sebagai
terlalu tinggi dan tidak masuk akal.
“Penggunaan 80 kali sebulan ditetapkan adalah keterlaluan.
Jika mengambil kira 20 hari bekerja, seseorang itu perlu mengikut jalan bertol
sekurang-kurangnya empat kali sehari untuk mencapai jumlah tersebut.
“Dalam hal ini, mereka seolah-olah tidak ikhlas mahu
memberikan rebat, selain dilihat cuba memeras wang rakyat khususnya pengguna
lebuh raya. Kita berpendapat, lebih sesuai jika jumlahnya dikurangkan kepada 40
kali penggunaan sebulan, itu pun jika tidak dimansuhkan,” katanya.
Sumber: Sinar Harian
No comments:
Post a Comment