MTUC SARAN ELAUN SARA
HIDUP PEKERJA SWASTA RM300 SEBULAN
PETALING JAYA - Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia
(MTUC) hari ini mencadangkan elaun sara
hidup (Cola) RM300 sebulan diberi kepada 10 juta pekerja sektor swasta
memandangkan kos sara hidup yang semakin meningkat.
Presiden MTUC, Khalid Atan memberitahu Bernama adalah
penting bagi kerajaan untuk memperkenalkan peraturan tentang Cola itu kepada
sektor swasta kerana hampir lima juta pekerja di sektor itu kini memperoleh
upah hanya kira-kira RM30 sehari, iaitu setakat melepasi garis kemiskinan RM870
sebulan.
Pada masa ini gaji minimum pekerja di Semenanjung ditetapkan
RM900 dan bagi pekerja di Sabah dan Sarawak RM800.
Khalid berkata, MTUC sedang merangka strategi untuk membantu
meringankan beban pekerja.
Dalam tempoh sementara ini beliau mencadangkan agar syarikat
membantu menyediakan subsidi makanan dan penginapan untuk pekerja, dan pekerja
pula akan membantu syarikat meningkatkan produktiviti, untuk menjadikan situasi
menang-menang.
Khalid berkata, MTUC amat bimbang tentang kesan serta-merta
peningkatan kos pengangkutan, makanan dan persekolahan terutama bagi kumpulan
pekerja berpendapatan rendah.
Beliau memberi jaminan, MTUC sebagai pertubuhan pekerja yang
bertanggungjawab, tidak akan melakukan demonstrasi jalanan menuntut hak mereka,
tetapi lebih suka kepada rundingan aman. – Bernama
No comments:
Post a Comment