TPP: MALAYSIA USAH IKUT
TELUNJUK NEGARA BESAR
KUALA LUMPUR - Kaukus Parlimen perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik
(TPP) akan memastikan perjanjian yang membabitkan Malaysia tidak akan mengikut
telunjuk negara-negara besar.
Pengerusi Kaukus Parlimen TPP, Datuk Ahmad Hamzah berkata, ia penting
bagi menjaga kedaulatan negara daripada dicemari mana-mana pihak.
“Diharapkan kerajaan terus merundingkan perkara ini secara sukarela
tanpa tekanan mana-mana pihak berlandaskan Perlembagaan Malaysia, kuasa-kuasa
negeri dan dasar penting dipertahankan.
"Dalam memastikan perkembangan ekonomi negara, harus ada
perlindungan promosi, pencapaian dan kesejahteraan yang mendahulukan rakyat,”
katanya ketika sidang media di sini, semalam.
Katanya, pihaknya akan terus mengadakan pertemuan dengan Kementerian
Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti) bagi mengikuti perkembangan
terbaru berkenaan TPP.
“Pertemuan sekerap mungkin dengan Miti serta pihak lain yang
berkepentingan agar dapat bertukar maklumat dengan pihak kementerian dan
seterusnya akan menjemput pakar-pakar untuk memberi keterangan tentang isu
kritikal di dalam perjanjian TPP sebelum merangka laporan kaukus.
“Walaupun butiran rundingan tidak dapat didedahkan, kaukus Parlimen
mendapati pihak kerajaan Malaysia menunjukkan usaha dan dedikasi bagi
memastikan kepentingan negara diutamakan dalam perbincangan TPP,” katanya.
Kata beliau, sehingga kini tidak banyak kemajuan yang tercapai dalam
rundingan yang baharu tamat dan isu tertunggak sejak pusingan di Brunei pada 21
hingga 30 Ogos masih tidak diselesaikan.
“Negara terakhir menyertai proses ini ialah Jepun apabila rundingan
ke-18 mengenai TPP berlangsung di Kota Kinabalu, Julai lalu,” katanya.
Negara-negara yang terlibat dalam rundingan TPP ini adalah Amerika
Syarikat, Australia, Brunei, Kanada, Chile, Mexico, New Zealand, Peru,
Singapura, Vietnam, Jepun dan Malaysia.
Sumber: Sinar Harian
No comments:
Post a Comment