Showing posts with label MIC. Show all posts
Showing posts with label MIC. Show all posts

Tuesday, July 2, 2013

~

PRK KUALA BESUT: MIC BANTU BN KEKALKAN KERUSI DUN 

KUALA LUMPUR - MIC akan menurunkan jenteranya bagi membantu Barisan Nasional (BN) mengekalkan kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) Kuala Besut, Terengganu pada pilihan raya kecil kerusi berkenaan.
  
Timbalan Presiden MIC Datuk Seri Dr S. Subramaniam berkata jumlah masyarakat India di kawasan berkenaan hanya beberapa ratus orang dan pihaknya yakin dapat bertemu mereka seberapa ramai mungkin.
  
"Kami akan berjumpa dengan seberapa banyak masyarakat India, 0.08 peratus (daripada jumlah pengundi) tidak banyak, beberapa ratus sahaja, ia kawasan Umno," katanya kepada pemberita ketika ditemui di lobi Parlimen di sini, hari ini.
  
Dun Kuala Besut bakal menyaksikan pilihan raya kecil, yang pertama selepas pilihan raya umum ke-13 (PRU13), berikutan kematian penyandangnya Dr A. Rahman Mokhtar pada Rabu lepas.   
  
Pada PRU13, 5 Mei lepas, Dr A. Rahman mempertahankan kerusi Dun Kuala Besut untuk BN dengan mengalahkan calon Pas, Napisah Ismail dengan majoriti 2,434 undi.
  
Suruhanjaya Pilihan Raya akan mengadakan mesyuarat Jumaat ini bagi menentukan tarikh pilihan raya kecil bagi kerusi itu.

Dun Kuala Besut mempunyai 17,679 pengundi berdaftar.  – Bernama/Sinar Harian

Tuesday, May 21, 2013

MIC MASIH RELEVAN SEBAGAI KOMPONEN BN

KUALA LUMPUR - MIC masih relevan sebagai anggota komponen Barisan Nasional (BN), sekali gus untuk mewakili kaum India di negara ini meskipun pencapaian parti itu pada pilihan raya umum ke-13 kurang memberangsangkan, kata Pengarah Strategik MIC S. Vell Paari.
 
"Ramai yang berkata MIC tidak relevan...bagi saya jika tidak relevan, orang tidak akan bercakap mengenai MIC dan bila mereka tidak henti bercakap mengenai MIC, faktanya ia relevan.

"Buktinya bila ada sesuatu yang salah atau tidak betul mengenai sesuatu perkara, orang akan tanya mana MIC...mana suara MIC...orang akan cari MIC," katanya kepada Bernama selepas rakaman program Helo Malaysia edisi Tamil terbitan BernamaTV di Wisma Bernama, di sini hari ini.
 
Dalam pada itu, beliau menjangkakan pemilihan parti akan dijalankan pada tahun ini bagi mendapat mandat baharu daripada anggota MIC setelah ditangguhkan sejak Mac tahun lepas.

"Untuk organisasi bertambah baik, maju dan berkembang dan dalam usaha untuk memenuhi keperluan masyarakat, proses demokratik perlu diteruskan.

"Pemilihan parti adalah sangat penting kerana bila adanya pemilihan, semua orang akan bekerja keras untuk mempertahankan kedudukan mereka, bukan hanya "goyang kaki". Dalam pemilihan anda akan ketengahkan pemimpin baru," katanya. – Bernama/Sinar Harian