Showing posts with label akta keterangan. Show all posts
Showing posts with label akta keterangan. Show all posts

Thursday, September 6, 2012

TIMBALAN MENTERI PERTAHAN PENDIRIAN BERHUBUNG SEKSYEN 114A 

PETALING JAYA: Dua Timbalan Menteri mempertahankan pendirian masing-masing agar Seksyen 114A Akta Keterangan 1950 harus dipinda walaupun mereka dipanggil oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin selepas memberikan kenyataan berbeza dengna pemimpin lain dalam isu tersebut.

Datuk Saifuddin Abdullah dan Gan Ping Sieu telah bertemu dengan Muhyiddin pada Isnin yang turut dihadiri oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Aziz.

Ketika mengesahkan mengenai pertemuaan tersebut, Nazri berkata ia diadakan bagi menangani kebimbangan kedua pemimpin berkenaan.

"Ia bukan satu teguran. Kami tidak seperti pembangkang, dalam Barisan Nasional kami mengamalkan kebebasan bersuara," katanya pada Selasa.

Nazri berkata kerajaan telah memutuskan untuk bekerjasama dengan pihak-pihak yang berkaitan seperti penulis blog dan Centre for Independent Journalism (CIJ) dalam usaha menjelaskan rasional kerajaan tidak melakukan sebarang perubahan terhadap Seksyen 114A.

"Saya akan cuba untuk bertemu dengan mereka secepat mungkin," katanya.

Pindaan, pewartaan yang berkuat kuasa Julai lalu, membolehkan penerbitan dan pemiliknya menyiarkan artikel yang menyinggung perasaan di Internet kecuali jika pemiliknya terbukti melakukan perbuataan tersebut atau sebaliknya.

Menafikan bahawa mereka dimarahi, kedua-dua timbalan menteri itu menegaskan bahawa apa jua pendirian mereka keputusan Kabinet akan tetap dipatuhi.

Saifuddin yang juga Timbalan Menteri Pengajian Tinggi berkata, semasa perbincangan itu, beliau telah menyuarakan kebimbangannya ke atas teks sekyen, kerana beliau menganggap ia memberi maksud ‘terlalu luas’ terutamanya istilah ‘memudahkan’

"Pendirian saya dan Nazri dalam isu ini adalah adalah dari dua pandangan yang berbeza. Saya pula melihat kesannya terhadap transformasi politik ke arah demokrasi progresif yang matang.

"Di akhir pertemuaan tersebut, saya menegaskan bahawa kita perlu memindanya. Bagaimanapun, apabila Kabinet telah memutuskan status quo dan Nazri akan melihat kepada pendirian pihak yang berkenaan kami akan meninggalkan isu ini buat sementara waktu," katanya kepada The Star dalam satu pesanan ringkas yang dikirimkan.

Beliau turut berkata adalah satu keperluan untuk belajar daripada mereka yang telah melaksanakannya, sebagai contoh Akta Kebebasan Internet Brazil yang menjamin tiada penapisan Internet.

Gan yang juga Timbalan Menteri Belia dan Sukan berkata beliau dan partinya (MCA) bimbang mengenai akta tersebut terutamanya mengenai garis panduan nyata tentang bagaimana kerajaan merancang untuk menguatkuasakan Seksyen 114A serta apa yang boleh dan tidak boleh dilakukan.

"Terma dan syarat yang digunapakai adalah terlalu luas dan umum. Adalah lebih baik sekiranya garis panduan yang ditetapkan dapat mengurangkan ketakutan orang ramai bahawa mereka yang tidak bersalah tidak akan didakwa," katanya.

Menurut beliau, Muhyiddin menerima pendapat mereka dengan baik dan mencadangkan agar tidak perlu ada pertemuaan seterusnya, sementara Nazri memberi jaminan kepada mereka bahawa Seksyen 114A dikhaskan untuk menangkap penjenayah siber.

Wednesday, August 15, 2012

KAJI PINDAAN AKTA KETERANGAN 1950 -PM

PETALING JAYA: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak melalui Twitter berkata beliau telah meminta Kabinet membincangkan kontroversi terhadap pindaan Akta Keterangan 1950 berikutan bantahan 'Hari Tanpa Internet' pada Selasa.

"Apa yang kita lakukan kita harus meletakkan kepentingan rakyat sebagai yang pertama," katanya dalam satu mesej Twitter pada Selasa.

Sementara itu, beberapa laman web popular menyatakan pandangan secara berbeza terhadap kempen menentang pindaan yang mencetuskan kontroversi itu.

Pop-up 'hitam' menyambut pelawat laman-laman web yang memberitahu Seksyen 114(a) Akta tersebut yang diwartakan baru-baru ini mengancam hak-hak mereka sebagai pengguna Internet.

Blogger seperti kolumnis The Star Marina Mahathir dan Niki Cheong juga mengambil bahagian dalam 'Hari Tanpa Internet', dengan tulisan "Stop 114A".

Portal berita Malaysiakini dan Free Malaysia Today serta Majlis Peguam juga meletakkan 'pop-up' ini di laman web mereka.
Beberapa perniagaan termasuk mobile88.my juga menggelapkan keseluruhan laman web mereka manakala terdapat pengguna internet mengubah gambar profil mereka di Twitter dan Facebook dengan butang "Stop 114A".

Sesetengah pihak, termasuk ahli politik Lim Kit Siang daripada DAP dan peguam Edmund Bon, membuat pendirian mereka dengan sepenuhnya tidak menggunakan talian internet.

Kempen ini mendapat sokongan daripada Timbalan Menteri Belia dan Sukan Senator Gan Ping Sieu yang memanggil supaya pindaan itu dikaji semula.

Gan berkata, undang-undang baru itu memberikan kesukaran kepada ejen-ejen yang tidak bersalah yang terperangkap dalam kes penyalahgunaan internet, seperti pencerobohan, kecurian identiti atau bahkan usikan di Twitter, serta penyedia perkhidmatan internet seperti kafe siber.

"Sebagai contoh, jika seorang individu yang tidak bertanggungjawab datang ke halaman Facebook saya dan memberikan mesej fitnah atau kata-kata benci, adakah saya akan bertanggungjawab walaupun komen-komen itu bukan berasal daripada saya?" kata naib presiden MCA.

Hari Tanpa Internet diselaraskan oleh Pusat Kewartawanan Bebas (CIJ).

Ketika dihubungi, pegawai eksekutif CIJ Masjaliza Hamzah berkata sambutan itu adalah lebih baik daripada yang dijangkakan./MStar

Tuesday, August 14, 2012

GESAAN MANSUH SEKSYEN 114 AKTA KETERANGAN
 
KUALA LUMPUR: Satu pasukan petugas interim perlu ditubuhkan bagi merangka Kertas Putih dan kajian untuk melakukan semakan terhadap pindaan Akta Keterangan 1950.

Presiden Majlis Peguam, Lim Chee Wee dalam satu kenyataan berkata, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi serta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) perlu menubuhkan pasukan petugas untuk menangani kebimbangan terhadap pindaan kepada Akta Keterangan.

Pindaan terhadap Akta Keterangan diluluskan pada April dan diwartakan pada 31 Jun lalu namun wujud kontroversi bagi Seksyen 114 (a) akta tersebut.

Pelbagai pihak mendakwa bahawa seksyen itu memberi lebih kuasa kepada pihak berkuasa untuk mengambil tindakan terhadap komen yang dilakukan di internet walaupun ia dibuat oleh pihak lain.

Selain itu, pihak yang didakwa di bawah akta tersebut perlu mengemukakan bukti bagi menyangkal dakwaan salah laku terhadap mereka walaupun komen-komen berkenaan dibuat oleh penggodam.

Sebelum ini dilaporkan beberapa Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) yang tidak berpuas hati dengan pindaan tersebut merancang untuk mengemukakan cadangan kepada kerajaan agar mengkaji semula akta tersebut.

Malah Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah dan Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin turut dilaporkan berkata mereka akan melobi pihak kerajaan agar menukar seksyen kontroversi itu.

Pusat Kewartawanan Bebas (CIJ) Malaysia menggesa orang ramai untuk mengambil bahagian dalam 'hari tanpa internet' hari ini (Selasa) untuk mewujudkan kesedaran mengenai isu itu.

Lim berkata, Seksyen 114 (a) akta tersebut perlu dimansuhkan kerana ia mengandungi anggapan bahawa mana-mana pengguna berdaftar sesuatu perkhidmatan rangkaian adalah penerbit bagi setiap penerbitan yang dihantar melalui komputer yang dihubungkan dengan perkhidmatan rangkaian internet.

"Seksyen itu akan mewujudkan suatu anggapan bahawa pemilik kedai kopi yang menawarkan WiFi percuma boleh dianggap telah menerbitkan satu penerbitan dalam talian dari sesuatu komputer menggunakan kemudahan WiFi," katanya.