Showing posts with label perlembagaan. Show all posts
Showing posts with label perlembagaan. Show all posts

Thursday, July 4, 2013

TUKAR AGAMA KANAK-KANAK: DAP GESA PINDA PERLEMBAGAAN

KUALA LUMPUR: Kerajaan digesa melakukan pindaan terhadap Perkara 12(4) Perlembagaan Persekutuan bagi mengelakkan berlakunya'salah tafsir' berhubung kebenaran menukar agama kanak-kanak kepada Islam.

Pengerusi DAP, Karpal Singh berkata, Perlembagaan Persekutuan versi bahasa Inggeris tidak memberi tafsiran jelas mengenai maksud 'ibu bapa' yang menjadi syarat membolehkan penukaran kanak-kanak berumur 18 tahun ke bawah.

"Maksud ibu bapa dalam Perkara 12(4) mestilah secara tatabahasanya bermaksud kedua-dua ibu dan bapa sekiranya masih hidup.

"Salah tafsir terhadap perkataan 'ibu bapa' boleh membawa kepada penyalahgunaan dalam kes penukaran agama kepada Islam," katanya pada sidang media di bangunan Parlimen di sini, Khamis.

Perkara 12(4) Perlembagaan Persekutuan versi bahasa Melayu menyatakan agama seseorang di bawah umur 18 tahun hendaklah ditetapkan oleh ibu atau bapanya atau penjaganya.

Bagaimanapun Ahli Parlimen Bukit Gelugor itu mempertikaikan maksud 'parent' dalam Perlembagaan Persekutusan versi bahasa Inggeris yang bermaksud 'ibu bapa' dan bukannya ibu atau bapa.

Pertikaian berhubung isu berkenaan timbul berikutan kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin bahawa penggubalan peruntukan Seksyen 107(b) Rang Undang-undang Pentadbiran Agama Islam (Wilayah Persekutuan) 2013 berhubung persetujuan salah seorang ibu bapa memadai untuk menukar agama kanak-kanak di bawah umur kepada Islam dibuat berdasarkan Perlembagaan Persekutuan.

Selain itu Muhyiddin berkata, penggubalan RUU itu juga dibuat berdasarkan keputusan Mahkamah Persekutuan berhubung kes pertikaian kanak-kanak 'diislamkan' tanpa persetujuan kedua-dua waris.– mStar

Wednesday, May 22, 2013

KARPAL DIGESA HORMAT PERLEMBAGAAN

KUALA LUMPUR - Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Abu Zahar Ujang menggesa Pengerusi DAP Kebangsaan Karpal Singh supaya menghormati Perlembagaan Persekutuan dan tidak mengeluarkan kenyataan yang boleh mengelirukan rakyat.

"Karpal Singh sebagai seorang peguam dan anggota parlimen patut faham mengenai perlembagaan negara, beliau harus tengok apa yang dikatakan oleh perlembagaan, jangan buat kenyataan yang mengelirukan rakyat.

"Saya nasihatkan semua pihak fahamilah perlembagaan itu, ia telah diterima pakai sejak kita merdeka lagi dan yang membuat negara berjaya dan aman sehingga ke hari ini," katanya kepada pemberita selepas mengangkat sumpah sebagai Yang Dipertua Dewan Negara bagi penggal kedua di Parlimen, di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas cadangan Karpal baru-baru ini agar Perlembagaan Persekutuan dipinda bagi memansuhkan Dewan Negara kerana kewujudan institusi itu tidak memberi makna secara menyeluruh serta hanya membazir. – Bernama/Sinar Harian

Monday, May 13, 2013

ORANG MELAYU PERLU BERJIHAD PERKASA PERLEMBAGAAN

KUALA LUMPUR - Orang Melayu diseru supaya berjihad memperkasakan Perlembagaan Persekutuan serta Undang-Undang Tubuh Negeri bagi memastikan bangsa itu kekal menjadi pentadbir negara dan negeri.

Bekas Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Mohd. Noor Abdullah berkata, hal ini kerana dalam Perlembagaan di peringkat Persekutuan dan negeri, perkara berkaitan pelantikan Melayu Islam sebagai pentadbir boleh dilonggarkan.

"Mengikut Perlembagaan Persekutuan, Yang di-Pertuan Agong, hendaklah melantik seorang Perdana Menteri yang mendapat majoriti dalam Dewan Rakyat. Itu sahaja dan tidak ada disebut Melayu Islam.

"Tetapi mengikut amalan demokrasi oleh kerana negara ini negara Islam, Yang di-Pertuan Agong apabila melantik Perdana Menteri, bukan sahaja perlu mendapat majoriti itu tetapi hendaklah ia seorang Islam dan Melayu," katanya.

Menurut Mohd. Noor, bagi peruntukan Perlembagaan negeri pula, raja atau sultan hendaklah melantik Menteri Besar atau Ketua Menteri daripada seorang yang mendapat majoriti dalam Dewan Undangan Negeri (DUN).

"Kedua, dia mestilah orang Melayu Islam dan ketiga, syarat kedua itu, raja atau sultan dengan budi bicara boleh melonggarkan syarat ini bagi menepati syarat pertama," jelas beliau.

Katanya, dengan syarat ketiga itu, siapa sahaja mendapat majoriti, individu terbabit boleh dilantik sebagai Menteri Besar atau Ketua Menteri.

"Oleh itu kalau DAP dapat majoriti, maka orang Cina boleh menjadi Menteri Besar. Macam mana? Kalau kita kata tidak boleh, maka pindalah Perlembagaan dengan sokongan majoriti dua pertiga. Beritahu di Melaka dan Pahang yang mendapat majoriti dua pertiga, mansuhkan klausa itu," tegasnya.

Beliau juga memberi bayangan bahawa Singapura boleh dibawa masuk ke dalam Malaysia dengan suara majoriti di Dewan Rakyat.

"Tak perlu persetujuan Majlis Raja-Raja, tetapi nak bawa masuk Singapura ke dalam Malaysia memerlukan hanya Akta Parlimen, Pas dengan satu majoriti maka masuklah Singapura ke Malaysia. Bayangkan akibatnya. Ini agenda pengkhianatan.

"Sebab itu (isu) kalimah Allah 'dicampakkan' agar orang Pas dan UMNO, orang Melayu berpecah dengan matlamat akhirnya untuk menawan hati orang bumiputera Sabah dan Sarawak. Nampak tak telunjuknya ke mana? Tetapi orang Melayu termakan umpan, nasib baik bumiputera Sabah dan Sarawak masih menyokong kita," tegasnya.

Sebab itu jelasnya, pengkhianatan orang Cina terhadap ikatan setia kawan orang Melayu adalah sesuatu perkara yang benar-benar berlaku.

Selain persoalan terhadap Perlembagaan, orang Melayu juga perlu berjuang dalam memperkasa dan menambah tanah rizab Melayu yang tertakluk di dalam Perlembagaan.

"Isytiharkan tanah rizab ini di kawasan-kawasan bandar dan dalam erti kata lain, menyusun semula masyarakat. Isytiharkan tanah rizab Melayu untuk berladang dan menternak, cari tanah yang baik untuk Melayu berladang dan berniaga dan kalau ada bukit, beri kepada Melayu buat kuari.

"Kita susun atur tanah ini dan agih-agihkan untuk Melayu. Begitu juga dalam bidang ekonomi yang sehingga kini 20 peratus daripadanya dimiliki orang Melayu. Jadi susunlah strategi supaya dalam tempoh 10 tahun ini, kekayaan Melayu menguasai 67 peratus," katanya.

Beliau turut menasihatkan semua pihak supaya bekerjasama menghapuskan rasuah dalam kalangan orang Melayu iaitu daripada kelompok ahli politik sehingga ke kakitangan kerajaan.– Utusan Online