Tuesday, October 2, 2012

BAJET 2013 BUKAN LANGKAH POPULIS : FIRMA SINGAPURA

Ganjaran tunai dalam Bajet 2013 jelas menunjukkan hasrat kerajaan meningkatkan status sosio ekonomi masyarakat Malaysia dan ia tidak boleh dianggap sebagai satu langkah populis, menurut  Spire Research and Consulting Pte Ltd, sebuah firma kaji selidik Singapura.
  
Ketua Pegawai Eksekutifnya Leon Perera berkata, ganjaran tunai sekali beri yang diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak akan membantu  menghadapi bebanan kos hidup sebahagian besar kumpulan berpendapatan rendah dan pertengahan.
  
Beliau berkata tidak ada sebarang petunjuk pertumbuhan ekonomi melalui pengumuman belanjawan populis tetapi sebaliknya Belanjawan 2013 telah dengan jelas digariskan unjuran pertumbuhan ekonomi Malaysia.
  
"Ini jelas menunjukkan kerajaan berbelanja mengikut kemampuan. Kami bersetuju bahawa belanjawan tersebut menyaksikan pemindahan tunai secara besar-besaran tetapi ia masih belanjawan yang amat bertanggungjawab.
  
"Perdana Menteri mengumumkan insentif tunai bayar sekali sahaja. Jika ia adalah dasar atau pemindahan tunai berstruktur, maka ia adalah tidak bertanggungjawab," kata Leon pada taklimat media di sini hari ini.
  
Beliau berkata, semua ganjaran tunai tidak diberikan dengan mengorbankan kestabilan fiskal perbelanjaan tetapi terutamanya disebabkan hasil yang tinggi, perbelanjaan berhemah dan tadbir urus yang prihatin.
  
Ketika membentangkan Belanjawan 2013, Jumaat lepas, Najib, yang juga Menteri Kewangan, mengumumkan pelbagai ganjaran termasuk pusingan kedua pemberian Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) untuk tahun depan.
  
Selain memperluaskan bantuan berjumlah RM250 bagi mereka yang belum berkahwin dan berumur 21 tahun ke atas dengan berpendapatan kurang daripada RM2,000 sebulan.
  
Perdana Menteri turut mengumumkan bayaran RM1,000 sekali beri kepada anggota tentera yang memilih bersara awal or berkhidmat kurang 21 tahun, rebat RM200 untuk pembelian telefon pintar 3G kepada belia berusia 21 hingga 30 tahun serta bonus tambahan sebulan kepada penjawat awam. – Bernama/SinarHarian

KAWAL PENGGUNAAN ANTIBIOTIK

Penggunaan antibiotik perlu diperkemas berikutan peningkatan kes bakteria mangli antibiotik yang semakin membimbangkan, kata Ketua Jabatan Perubatan, Kementerian Kesihatan, Datuk Dr. Christopher Lee.

Pakar perunding kanan penyakit berjangkit itu berkata, peningkatan bakteria seperti 'enterobacteriaceae' yang berupaya melawan antibiotik 'carbapenem' serta 'acinetobacter' yang turut dikenali 'superbug', mengancam kesihatan manusia secara global dan mewujudkan 'antimicrobial resistance' (AMR).

Sehubungan itu, Kementerian Kesihatan, Persatuan Perubatan Malaysia(MMA) dan Persatuan Farmaseutikal Malaysia(MPA) akan menganjurkan kempen AMR selama sebulan bermula 16 Oktober ini bagi menangani isu tersebut.

Lee berkata, fasa pertama kempen akan membabitkan syarahan di hospital kerajaan bagi mendidik pengamal perubatan mengenai pentingnya mempreskripsikan antibiotik secara berhemat.

"Fasa kedua ialah mendidik masyarakat dan menimbulkan kesedaran mengenai AMR. Kami akan menaikkan poster dan mengedarkan risalah kepada umum," katanya pada sidang media di sini hari ini.

Lee berkata, Pertubuhan Kesihatan Dunia turut menekankan mangli antibiotik sebagai ancaman besar kepada kesihatan awam pada abad ke-21.

Sementara itu, Ketua Penolong Pengarah Kanan Bahagian Perkembangan Perubatan Kementerian Kesihatan. Dr. Suraya Amir Husin berkata, orang ramai memainkan peranan penting dalam mengawal AMR.

"Adalah amat penting orang ramai menyedari betapa pentingnya mengawal pengambilan antibiotik. Saya berharap masyarakat akan memberi perhatian khusus kepada isu ini dan berkongsi maklumat dengan yang lain," katanya.

Maklumat lanjut mengenai AMR boleh didapati menerusi laman sesawang www.infosihat.gov.my atau orang ramai boleh menghubungi talian 1-800-88-6722. – BERNAMA/UtusanOnline

Monday, October 1, 2012

PENJAWAT AWAM DINASIHAT AGAR LEBIH BIJAK BELANJAKAN DUIT BONUS

Penjawat awam seharusnya lebih bijak menguruskan kewangan terutamanya pemberian bonus satu setengah bulan yang diumumkan kerajaanbaru-baru ini, kata Timbalan Setiausaha Persekutuan Sarawak, Mohamed Zahari Razali pada Isnin.

Beliau berkata pendapatan tambahan duit bonus yang bakal diterima merekaitu, perlu dibelanjakan dengan bertanggungjawab dan tidak membazir.

"Tentukan keutamaan anda. Ini tidak bermakna apabila anda menerima bonus,maka sudah tiba masanya untuk menukar kereta baharu atau mendapatkan satu set'sport rim' baharu," katanya mewakili Setiausaha Persekutuan Negeri, Datuk YahyaBasimin merasmikan program Pendidikan Kewangan untuk penjawat awam, anjuran BankNegara, di sini.

Katanya, terdapat banyak kes penjawat awam terlibat dalam masalah displinyang berpunca daripada masalah ketidakupayaan menguruskan kewangan.

Program Pendidikan Kewangan tersebut memberi peluang kepada penjawat awam memahami kaedah terbaik menguruskan pendapatan mereka dan mendapat nasihatdaripada pakar, tambah beliau. BERNAMA/MStar
DR M TAK MINAT JADI PENGANTARA ANTARABANGSA

Bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata beliau tidak berminat memainkan peranan sebagai pengantara antarabangsa seperti bekas perdana menteri Britain Tony Blair atau bekas presiden Amerika Jimmy Carter.

Beliau menyatakan perkara ini pada perjumpaan tidak rasmi dengan pelajar Malaysia di pejabat wakil Malaysia ke Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) di New York pada Sabtu.

Selepas menerima Anugerah Peringatan Rafik Hariri PBB-Habitat pada Jumaat malam, beberapa hadirin bertanya Dr Mahathir sama ada beliau ingin memainkan peranan sebagai orang tengah untuk menyelesaikan pertikaian antarabangsa berdasarkan pengalaman luasnya di peringkat antarabangsa dan kedudukan beliau sebagai negarawan terkemuka.

"Saya rasa saya tidak layak memainkan peranan itu," katanya kepada Bernama sambil memberi alasan dalam nada berjenaka bahawa "dunia tidak akan mendengar cakap saya dan orang akan tetap melakukan apa yang mereka suka...Jadi, saya menolak kemungkinan itu."

Pada majlis berkenaan, Dr Mahathir kelihatan tenang dan santai ketika menjawab soalan para pelajar tentang pelbagai isu, daripada keadaan politik di Malaysia dan langkah Malaysia untuk beralih menjadi sebuah negara maju, hinggalah kepada sengketa China-Jepun.

"Untuk mengurus sebuah negara pelbagai kaum, pelbagai budaya dan pelbagai agama seperti Malaysia, anda memerlukan kerajaan yang kuat," kata beliau.

Dr Mahathir menasihati para pelajar supaya tidak meninggalkan budaya serta nilai yang mereka bawa dari tanah air ketika menuntut di Barat.

"Ramai yang mula berubah dari segi nilai dan budaya sendiri setelah tinggal di negara maju. Malah, ada yang sanggup berkata kami (di Malaysia) tidak seprogresif seperti orang di negara tempat anda belajar.

"Apabila anda membandingkan sesuatu yang baik dengan sesuatu yang lebh baik, maka negara anda akan kelihatan tidak begitu baik. Tapi, sekiranya anda bandingkan negara anda dengan sesuatu yang tidak begitu baik, maka perkara yang tidak berapa baik ini akan mula kelihatan baik," katanya.

Beliau menggesa pelajar Malaysia supaya pulang ke tanah air setelah menamatkan pengajian masing-masing untuk menyumbangkan pengetahuan mereka dalam membangunkan negara.

"Bantulah Malaysia mencapai matlamatnya untuk menjadi negara maju menjelang 2020," kata Dr Mahathir sambil menegaskan bahawa walaupun berdepan dengan kemelesetan global, Malaysia terus berkembang dan "mampu melepaskan diri daripada graviti", seperti yang disebut Financial Times baru-baru ini.

Dr Mahathir, yang kelihatan masih cergas dan berfikiran tajam, walaupun sudah mencapai usia 87 tahun, berkata ketika mula mencapai kemerdekaan daripada pentadbiran penjajah Inggeris, Malaysia dipandang rendah dan malah, ada pengkritik berkata ia tidak akan sampai ke mana kerana mempunyai rakyat yang berbilang etnik dan kaum.

"Kami mengambil keputusan untuk berkongsi kekayaan sesama masyarakat kita -- Melayu, Cina dan India. Tidak mengapalah mendapat bahagian yang lebih kecil, daripada membolot semuanya. Dengan berkongsi kek yang ada dengan masyarakat lain, ini bermakna kami memberi peluang kepada masyarakat lain juga," katanya sambil menjelaskan bahawa sehingga kini, Malaysia berjaya memastikan pertumbuhan ekonomi dan kemakmurannya.

Beliau berkata Malaysia dianugerahi kekayaan alam semula jadi dan berbeza dengan jirannya, Malaysia tidak dilanda bencana alam.

Mengenai rasuah, Dr Mahathir berkata orang yang memberi rasuah, juga bersalah seperti orang yang menerimanya.

Menyentuh tentang kekacauan yang berlaku di beberapa negara Islam baru-baru ini berkaitan sebuah filem anti-Islam yang dihasilkan seorang individu di Amerika, Dr Mahathir berkata beliau menyokong kebebasan menyuarakan pendapat, tetapi ia mestilah ada hadnya, terutama tidak melukakan persaan orang lain.

Mengenai ketegangan yang semakin memuncak antara China dan Jepun serta peranan Amerika dalam konflik itu, beliau berkata: "...Perlu ada kesediaan untuk bertolak ansur dan mencapai keseimbangan."

Beliau memberi contoh bagaimana Malaysia berjaya mencapai persetujuan dengan jirannya hasil daripada 'pendirian sewajarnya' yang diambil dalam menangani sesuatu konflik atau isu.

Ketibaan Dr Mahathir dan isteri Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali ke pejabat perwakilan Malaysia itu disambut duta Malaysia di Washington Datuk Othman Hashim.

Muhammad Afiq Hassan, pelajar dari Stevens Institute of Technology di New Jersey, menyampaikan ucapan alu-aluan bagi pihak pelajar Malaysia. - Bernama
50% PENGUNDI MUDA SOKONG BN SELEPAS BAJET - KHAIRY
               
Kajian pergerakan Pemuda Umno 48 selepas pembentangan Bajet 2013 Jumaat lalu lepas menunjukkan 50 peratus pengundi muda menyokong BN, 20 peratus pembangkang dan 30 peratus pengundi muda berkecuali, kata Ketuanya, Khairy Jamaluddin.

Katanya sebelum ini, kajian yang dilakukan secara konsisten dan berskala itu, mendapati 60 peratus pengundi muda adalah berkecuali dan 40 peratus kepada BN dan pembangkang.
   
"Kajian terbaru ini menunjukkan lonjakan luar biasa...kita nampak kesan belanjawan ini amat baik sekali," katanya sambil memperjelaskan kajian terbaru itu membabitkan 1,000 responden dari seluruh negara.
   
Katanya, pergerakan Pemuda dan Puteri Umno akan sentiasa turun padang selepas ini bagi memperjelaskan dasar-dasar kerajaan dan belanjawan itu kepada generasi muda.

Malah, katanya, peningkatan jumlah kehadiran golongan muda di majlis pelancaran program 'BN Pilihan Orang Muda' peringkat negeri Pulau Pinang semalam adalah kesan secara langsung daripada belanjawan tersebut.

Sementara itu, ketika bercakap kepada pemberita selepas menghadiri pelancaran program tersebut, Naib Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, pelbagai insentif untuk golongan belia yang diumumkan dalam Belanjawan 2013 jelas membuktikan kerajaan BN sentiasa prihatin dan mendengar suara dan isi hati golongan muda.

Beliau berkata sebanyak RM51.7 bilion yang diperuntukan dalam belanjawan untuk golongan muda menunjukkan dakwaan sesetengah pihak bahawa kerajaan tidak ambil peduli suara orang muda terbukti tidak benar.
   
"Belanjawan yang dbentangkan memperlihatkan keprihatinan dan suara generasi muda diambil kira oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak," katanya.

Ahmad Zahid, yang juga menteri pertahanan, berkata golongan muda mula menunjukkan dokongan terhadap BN setelah mereka melihat kerajaan berjaya menepati semua yang dijanjikan.
   
Ini dapat diterjemahkan dengan kehadiran mereka yang menggalakkan pada setiap perhimpunan yang dianjurkan oleh BN, katanya. – Bernama/Malaysiakini

Sunday, September 30, 2012

BAJET 2013, BAJET TERBAIK

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menyifatkan Bajet 2013 yang dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai yang terbaik pernah dilakukan kerajaan.

Menurut beliau, bajet bertemakan 'Memakmurkan Negara, Mensejahterakan Rakyat: Sebuah Janji Ditepati' itu begitu fokus, realistik, kukuh, mengambil kira senario ekonomi semasa dan memberi rahmat kepada rakyat.

Selain itu, kata beliau, Bajet 2013 juga akan melonjakkan pertumbuhan ekonomi Malaysia kepada 4.5 hingga 5.5 peratus dan pada masa sama mengurangkan defisit kepada tiga peratus menjelang 2015.

"Semua pihak sama ada rakyat biasa, petani, nelayan, pegawai kerajaan dan pesara mendapat rahmat. Tiada satu pun kumpulan yang terasing atau terkeluar daripada nikmat bajet kali ini.

"Saya kira tidak ada pihak yang rasa terkilan termasuk pegawai kerajaan yang menerima bonus sebulan setengah gaji. Bajet 2013 ini memberi nikmat kepada 100 kumpulan sasar melalui pelbagai pemberian dan tawaran," katanya pada sidang akhbar di lobi Parlimen hari ini.

Menurut Muhyiddin, beliau secara keseluruhannya berbangga kerana usaha kerajaan menerusi bajet itu bermakna ekonomi negara akan terus mantap dan rakyat dapat dibantu secara langsung.

Dalam pada itu, beliau selaku pemimpin nombor dua negara menafikan dakwaan pembangkang kononnya Bajet 2013 adalah bajet pilihan raya kerana apa yang dilakukan kerajaan mengambil kira keperluan rakyat.

Katanya, dakwaan pembangkang itu tidak berasaskan kepada bajet nasional tersebut yang diputuskan Najib selaku Menteri Kewangan yang mengambil kira soal kos hidup rakyat, masalah ekonomi dunia serta berpandukan tanggungjawab fiskal.

"Kita memang sudah menjangkakan mereka akan membuat dakwaan sedemikian. Bajet 2013 bukan kerana pilihan raya tetapi mengambil kira keperluan rakyat berlandaskan tanggungjawab fiskal," jelasnya.

Mengenai langkah meneruskan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) untuk gelombang kedua termasuk kepada golongan bujang, Muhyiddin berkata, ia contoh kebertanggungjawaban kerajaan Barisan Nasional (BN).

Jelas beliau, langkah itu bukan sahaja dapat mengurangkan kos hidup tetapi akan mengembangkan perdagangan dalam negara kerana nilai RM250 tersebut akan memasuki semula proses ekonomi apabila rakyat berbelanja.

"Dasar ini kita sudah laksanakan sebelum ini dan kesannya bukan sahaja dapat mengurangkan kos hidup rakyat, tetapi wang yang dibelanjakan mereka berjumlah lebih RM2 bilion pada BR1M terdahulu terbukti berupaya membantu pertumbuhan ekonomi negara.

"Saya fikir langkah kerajaan memperkenal dan meneruskan program BR1M ini satu pengurusan ekonomi yang amat tepat kerana untuk gelombang kedua, rakyat yang layak menerima BR1M ini lebih enam juta isi rumah," katanya.

Ditanya tentang langkah realistik kerajaan menawarkan diskaun sehingga 20 peratus kepada peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), Muhyiddin berkata, ia merupakan keputusan tepat.

Jelasnya, berbeza dengan cadangan tidak berpijak di bumi nyata yang dikemukakan pembangkang untuk menghapuskan PTPTN tawaran diskaun tersebut akan memberi manfaat kepada peminjam dan negara.

"Ini membuktikan keputusan kita menyediakan PTPTN tepat kerana ia keperluan. Kalau PTPTN ini dihapuskan ia bukan sahaja memberi beban yang besar kepada kerajaan tetapi ramai pelajar tidak mampu melanjutkan pengajian mereka," katanya.

Ditanya tentang penurunan cukai individu sebanyak satu mata bagi setiap kategori pendapatan, beliau memberitahu, ia akan memberi lebihan pendapatan kepada rakyat.

"Ini satu cara untuk membolehkan kumpulan pertama berpendapatan RM2,500 hingga RM5,000 yang dahulu dikenakan cukai keluar daripada kumpulan itu," ujarnya. -Utusan Malaysia
INTI PATI BELANJAWAN 2013


fokus bajet 2013 kos hidup kesihatan pendidikan makanan kejiranan komuniti pks perumahan
fokus bajet 2013 kos hidup kesihatan pendidikan makanan kejiranan komuniti pks perumahanfokus bajet 2013 kos hidup kesihatan pendidikan makanan kejiranan komuniti pks perumahan
fokus bajet 2013 kos hidup kesihatan pendidikan makanan kejiranan komuniti pks perumahanfokus bajet 2013 kos hidup kesihatan pendidikan makanan kejiranan komuniti pks perumahan
fokus bajet 2013 kos hidup kesihatan pendidikan makanan kejiranan komuniti pks perumahanfokus bajet 2013 kos hidup kesihatan pendidikan makanan kejiranan komuniti pks perumahan
fokus bajet 2013 kos hidup kesihatan pendidikan makanan kejiranan komuniti pks perumahanfokus bajet 2013 kos hidup kesihatan pendidikan makanan kejiranan komuniti pks perumahan