Monday, November 19, 2012

PAS DOA UMNO HANCUR: DOA KEBAIKAN, BUKAN MUSIBAH - PM


Phnom Penh: Tindakan PAS mendoakan kemusnahan UMNO dan Barisan Nasional (BN), bukan cara Islam, malah ia menghancurkan kredibiliti PAS.

Sebaliknya, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berkata UMNO tidak pernah mendoakan kehancuran PAS.

Najib yang juga Presiden UMNO berkata, biasanya orang mendoakan kebaikan kepada pihak lain seperti memohon supaya dipanjangkan umur dan negara selamat.

“Tidak pernah... dan dalam Islam pun, itu bukan cara Islam. Itu cara bertentangan dengan prinsip Islam sebab doa adalah untuk kebaikan.

“Ini sangat tidak Islamik... ini akan menghancurkan kredibiliti PAS,” katanya kepada wartawan Malaysia di sini, semalam.
Najib berada di sini bagi menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN Ke-21 dan Sidang Kemuncak Berkaitan selama tiga hari yang bermula semalam

Perdana Menteri diminta mengulas tindakan PAS yang mengadakan solat hajat dan berdoa supaya UMNO dihancurkan di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu, malam Jumaat lalu.

Solat hajat itu diimamkan adik Mursyidul Am PAS, Nik Razi Nik Mat. Antara kandungannya ialah meminta UMNO dan BN dijahanamkan seperti Firaun ditenggelamkan ke laut, Qarun ditelan bumi dan Namrud serta Abu Lahab dilaknati.

Doa juga memohon supaya pembangkang mendapat jalan mudah ke Putrajaya pada pilihan raya umum akan datang.
Di Gold Coast, Australia, mengulas isu sama, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata berdoa untuk menghancurkan orang Islam lain seperti dilakukan PAS bukan amalan Islam.

Katanya, orang Islam sepatutnya berdoa supaya penganut seagama mendapat hidayah dan kebaikan, bukannya musibah.

Walaupun UMNO dan PAS berbeza pandangan dari segi politik, ahli kedua-dua parti adalah Ahli Sunnah Wal Jamaah. Saya tidak tahu kalau mendoakan agar umat Islam lain berpecah itu budaya dan amalan PAS.

Tetapi, kalau berdoa untuk menjahanamkan kita, itu bukan Islam sejati, katanya mengakhiri lawatan sembilan hari ke Australia.

Muhyiddin yang juga Timbalan Presiden UMNO berkata, doa seperti itu bukan amalan yang baik kerana UMNO dan BN juga berjuang untuk Islam.

PAS juga mendapat nikmat daripada perjuangan UMNO. DAP juga mendapat nikmat daripada perjuangan UMNO. Seluruh rakyat Malaysia mendapat nikmat perjuangan BN, katanya.
PAS DOA UMNO HANCUR:  ‘BUKAN AMALAN ISLAM'


KUALA LUMPUR: Pengerusi Majlis Fatwa Kebangsaan, Prof Tan Sri Dr Abdul Shukor Hussin berkata tindakan PAS mendoakan kehancuran UMNO bertentangan dengan ajaran Islam.

Sambil melahirkan kekecewaan, beliau berkata, orang Islam tidak boleh mendoakan sesama saudara hancur, sebaliknya perlu membantu dan mendoakan perkara baik.

Mereka mendakwa kerajaan zalim tetapi sebenarnya kerajaan sudah melakukan banyak untuk mengembangkan syiar Islam di negara ini termasuk dari segi pendidikan dan pembangunan agama.

Setakat ini, saya tidak melihat kerajaan mengabaikan kepentingan orang ramai, malah, sentiasa membantu rakyatnya. Saya kecewa dalam menghadapi pelbagai musuh Islam di dalam dan luar negara masih ada pihak yang mahu menggugurkan rakan seagama, katanya.

Beliau mengulas tindakan PAS menerusi kandungan doanya sempena program solat hajat di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu, Jumaat lalu, meminta UMNO dan BN dihancurkan.

Penasihat Agama kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Abdullah Md Zin, berkata PAS sudah mula diresapi fahaman firqah atau golongan ekstrem.

Beliau berkata menggunakan perkataan jahanam dan mendoakan supaya UMNO hancur bukan amalan Islam, sebaliknya datang daripada fahaman golongan Khawarij yang hanya menganggap bahawa mereka saja betul berbanding dengan orang lain.
 
Memberikan contoh keadaan Nabi Muhammad SAW yang dibaling dengan batu oleh penduduk Taif ketika berdakwah, beliau menegaskan Baginda tidak mendoakan kehancuran mereka malah berdoa supaya mereka akan beriman kepada Allah SWT.

Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor, Datuk Seri Noh Omar, berkata tindakan PAS mendoakan kehancuran UMNO sama seperti mendoakan kejatuhan Islam dan Melayu kerana pemimpin dan ahli UMNO adalah kaum Melayu beragama Islam.

Mana-mana doa untuk menghancurkan Melayu (UMNO), maknanya menghancurkan Islam dan Melayu, katanya.

Noh yang juga Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani berkata, apabila Melayu di negara ini hancur, Islam juga akan mengalami kehancuran kerana Melayu dan Islam tidak dapat dipisahkan.

Penganalisis politik Universiti Sains Malaysia (USM), Prof Dr Ahmad Atory Hussain menganggap doa PAS sebagai doa gila kerana menyeru penyokongnya memusuhi dan membenci saudara seagamanya sendiri.

Bekas Ahli Jawatankuasa Dewan Ulama PAS Pusat, Mohd Noor Deris, berkata doa PAS boleh memesongkan akidah seseorang Islam dan menanam rasa benci dalam kalangan umat Islam.

Mufti Kelantan, Datuk Mohamad Shukri Mohamad enggan mengulas isu itu tapi mengingatkan semua pihak yang doa bertujuan untuk kebaikan.

Mufti Perlis, Dr Juanda Jaya berkata motif doa itu berkisar kepada hasrat menyokong perpecahan.

Sepatutnya umat Islam mendoakan kebaikan dan petunjuk untuk yang lain, manakala kaki pecah belah perlu dijauhi oleh umat Islam, katanya. -BHarian