Monday, November 26, 2012

TPM TEMPELAK DONG ZONG

SERDANG 25 Nov. - Tan Sri Muhyiddin Yassin menempelak Persekutuan Persatuan-persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong) kerana pertubuhan itu sering menuduh segala pembaharuan pendidikan oleh kerajaan seperti Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 bertujuan untuk merosakkan bahasa Cina dan masa depan sekolah Cina.

Timbalan Perdana Menteri berkata, sejak negara merdeka 55 tahun yang lalu, kerajaan tidak pernah meminggirkan pendidikan sekolah Cina apatah lagi mahu merosakkan bahasa Cina sebaliknya segala kekurangan yang ada segera ditampung bagi memastikan pendidikan tersebut tidak terjejas.

Sehubungan itu beliau berkata, Dong Zong dalam isu tersebut lebih bersifat politik dan bukannya menjadi pejuang pendidikan seperti mana yang dilaung-laungkan oleh mereka.

''Begitu juga dengan pendidikan Tamil. Saya telah jelaskan sebelum ini bahawa pelan pendidikan yang telah dilancarkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak tidak langsung menyebut untuk meminggirkan sekolah yang menggunakan bahasa Cina atau Tamil, malah kedua-dua aliran ini akan terus kekal seperti mana dalam laporan itu.

''Jadi apa maknanya. Ini bermakna aliran sekolah Cina dan Tamil di peringkat sekolah rendah akan terus kekal diajar, kekal sampai bila-bila. Mungkin selagi ada bulan, bintang dan matahari," katanya.

Beliau mengulas tindakan terkini Dong Zong yang menganjurkan perhimpunan hari ini bagi membantah perlaksanaan PPPM yang diumumkan oleh kerajaan baru-baru ini dengan kebimbangan sekolah vernakular akan diketepikan.

Menyentuh isu sama, Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran menegaskan kerajaaan tidak pernah ada niat jahat atau niat terselindung setiap kali pelan pembangunan pendidikan yang baru diperkenalkan apatah lagi bertujuan meminggirkan sekolah Cina dan Tamil.

''Tidak ada satu niat jahat atau tujuan terselindung yang sering dianggap oleh Dong Zong terutama apabila kerajaan mahu membuat pembaharuan pendidikan. Mereka merasa takut dengan beranggapan pelan untuk memajukan pendidikan negara dikatakan mahu merosakkan bahasa Cina. Ini tanggapan yang amat salah.

''Kenyataan Dong Zong ini tidak boleh dipertahankan. Mereka bercakap 'lentang-lentung' di sana sini dan kemudian membuat tohmahan terhadap kerajaan Barisan Nasional (BN). Ini adalah tujuan politik, bukan pendidikan. Mengenai PPPM, semua rakyat Malaysia sokong dan mengapa Dong Zong tidak sokong," ujarnya.

Beliau berkata, hanya beberapa sahaja pertubuhan yang menyokong Dong Zong sebaliknya lebih banyak pertubuhan tidak menyokongnya.

''Sebab apa, sebab mereka (pertubuhan) tahu Dong Zong ada muslihat politik. Saya tiada kepentingan politik tetapi saya melihat kepentingan pelajaran," katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, kerajaan BN mengiktiraf sistem pendidikan Cina dan Tamil dan sehingga kini kedua-dua aliran itu terus berjalan. –Utusan Online

KD: Ada saja yang tak kena dengan Dong Zong ini..
HIMPUNAN HIJAU PUNCA LALU LINTAS SESAK, IMEJ NEGARA BURUK

KUALA LUMPUR: Himpunan Hijau membantah operasi kilang Lynas di Gebeng, Pahang yang disertai kira-kira 2,000 orang di sekitar Dataran Merdeka di sini menyebabkan kesesakan trafik melampau selain menjejasperancangan penduduk pada hujung minggu.

Sebelum himpunan dua jam itu bermula pada 4 petang, pesertanya dilihat berarak sejauh 42 Kilometer dari Gombak menyebabkan kesesakan trafik yang keterlaluan.

Tinjauan Bernama mendapati banyak laluan ke ibu negara sesak dengan kenderaan termasuk di Jalan Maharajalela, Jalan Kuching, Jalan Tuanku Abdul Rahman, Jalan Masjid India, Jalan Raja Laut dan Jalan Sultan Ismail.
 
Malah peserta perhimpunan turut membanjiri jalan raya sehingga menghalang kenderaan yang menuju pusat bandar menyebabkan polis terpaksa menutup laluan di Jalan Raja Laut dan Jalan Masjid India.

Antara yang dilihat hadir pada perhimpunan itu ialah Anggota Parlimen Seputeh Teresa Kok dan Anggota Jawatankuasa Pemandu Bersih 2.0, Maria Chin Abdullah.

Himpunan itu diadakan tanpa permit polis dan ia juga gagal mendapat kebenaran Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) untuk menggunakan Dataran Merdeka sebagai lokasi utama.

Peniaga gerai minuman, Rahman Ahmad, 39, berkata perhimpunan itu menyebabkan perniagaannya di Masjid India terjejas.

"Kebanyakan pelanggan saya lari setelah melihat mereka... ada juga yang tidak sempat bayar," katanya.

Jururawat Hospital Kuala Lumpur, Azizah Daud, 40, pula kesal dengan perhimpunan itu yang dilihat boleh mencemar imej negara dan memberi gambaran negatif kepada pelancong asing.

"Saya melihat sendiri peserta perhimpunan menghalau segelintir pelancong asing yang ingin mengambil gambar di Dataran Merdeka. Ini memalukan negara kita," katanya.

Pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM), Ahmad Ashraf Mohamad, 20, terpaksa membatalkan hasrat membeli barangan persekolahan setelah adiknya sesak nafasberikutan terperangkap dalam kalangan peserta himpunan itu.

"Saya tidak menjangka perkara ini berlaku. Peserta himpunan ini tidak memikirkan akibat tindakan mereka kepada orang lain," katanya. BERNAMA/mStar

KD: Komited sungguh peserta-peserta Himpunan ini.. tapi sayang, komited yang menyusahkan orang lain..
HIMPUNAN HIJAU ?

KUALA LUMPUR: Selepas 13 hari berlepas dari Kuantan, peserta perarakan Himpunan Hijau berhimpun bagi membantah operasi syarikat Lynas Advanced Material Plants di Kuantan kini sampai ke ibu negara dan menuju ke Dataran Merdeka.

Pengerusi Himpunan Hijau Wong Tack memberitahu bahawa mereka akan berada di luar Dataran sehingga pukul 9 pagi pada Isnin namun tidak akan berarak ke parlimen seperti rancangan asal.

Sehingga lewat petang Ahad, orang ramai yang berkumpul mula meninggalkan tempat itu.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi ACP Zainuddin Ahmad sebelum ini telah mengingatkan orang ramai bahawa ia adalah satu kesalahan untuk berkumpul tanpa memberi notis.

Kumpulan itu telah ditolak dari Kuantan pada 12 Nov dan berkumpul di pasar Sentul pada kira-kira 1 tengah hari pada hari Ahad sebelum memulakan pusingan terakhir perarakan mereka ke Dataran Merdeka.

Sepanjang perjalanan bantahan tersebut, kelihatan ramai penyokong dan pemimpin Pakatan yang menyertai himpunan itu.

Bagaimanapun, kumpulan itu terpaksa berhenti di penghadang polis menuju ke Dataran Merdeka dan sukarelawan membentuk rantaian manusia bagi mencegah perbarisan himpunan.

Penganjur memberitahu akan mengadakan kem di Dataran Merdeka pada malam Ahad sebelum menuju ke Parlimen pada hari berikutnya bagi menyerahkan memorandum terhadap bantahan permulaan loji Lynas.

Wakil Gabungan Rakyat Hijau, Dr Khim Pa telah berkata pada Khamis bahawa mereka memutuskan untuk menukar laluan dan telah menjemput Ahli Parlimen untuk mendengar masalah mereka dan menerima memorandum mereka di Dataran Merdeka. -mStar
KERAJAAN PAS KELANTAN TETAP TEGAS KUAT KUASA PERUNDANGAN ISLAM

KOTA BHARU 25 Nov. - Kerajaan Pas Kelantan tetap bertegas dengan tindakannya menguatkuasakan perundangan Islam terhadap bukan Islam di negeri ini biarpun ia ditentang oleh Pengerusi DAP, Karpal Singh.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Pelancongan dan Kebudayaan negeri, Datuk Takiyuddin Hassan berkata, ini kerana setiap dasar yang dilaksanakan oleh kerajaan Pas Kelantan adalah selari dengan peruntukan Perlembagaan dan demi kebaikan semua.

Beliau pada masa sama mempertahankan tindakan anggota penguat kuasa Majlis Perbandaran Kota Bharu-Bandar Raya Islam (MPKB-BRI) yang mengeluarkan saman terhadap pemilik salon kerana menggunakan pekerja wanita untuk menggunting rambut pelanggan lelaki biarpun kedua-duanya bukan beragama Islam. -UtusanOnline

KD: Tindakan berani Kerajaan Pas..
LANGKAH SUMBANG HARIMAU MALAYA

KUALA LUMPUR - Apa lagi mahu dikata? Permulaan menarik yang diharapkan buat Harimau Malaya dalam perlawanan pembukaan Kumpulan B Piala Suzuki AFF nampaknya hanya tinggal harapan kosong semata-mata.

Kita kalah dengan cara yang memalukan 0-3 kepada Singapura di Stadium Nasional Bukit Jalil, semalam.

Dua gol melalui ketua pasukan, Shahril Ishak pada minit ke-32 dan 37 sebelum disudahkan dengan penuh bergaya oleh pemain berusia 42 tahun, Aleksandar Duric pada minit ke-75 untuk melengkapkan mimpi ngeri jurulatih, Datuk K. Rajagobal dan para pemain Harimau Malaya di hadapan kira-kira 40,000 penonton.

Masalah sama yang sebenarnya sudah boleh dapat dikesan dalam perlawanan persahabatan sebelum ini nampaknya tetap terjadi dengan kelemahan ketara bahagian pertahanan dan tengah yang menjadi punca kepada kemenangan Singapura.

Rajagobal jelas tidak mengambil pengajaran berguna apabila melihat jentera tengah yang dikawal oleh Safiq Rahim dan Amar Rohidan cukup pincang dalam mengawal permainan lantas membuka ruang kepada lawan mencipta gerakan-gerakan berbahaya ke kubu Malaysia.

Namun, masalah paling ketara buat skuad bimbingan Rajagobal ialah barisan pertahanan yang banyak melakukan kesilapan mudah dengan persefahaman para pemain menjadi persoalan besar.

Dua daripada tiga gol Singapura ternyata merupakan kecuaian pertahanan yang tidak merantai kemas pergerakan penyerang lawan terutamanya Shahril yang menjadi pemusnah semangat perjuangan Harimau Malaya.

Gandingan Aidil Zafuan, Fadhli Shas dan Azmi Muslim sering sahaja 'lemas' dengan hantaran-hantaran lintang berbahaya daripada Shahdan Sulaiman di samping prestasi penjaga gol, Khairul Fahmi Che Mat yang sedang sibuk memikirkan soal perkahawinannya pada 28 Disember depan tiba-tiba berada di tahap yang meragukan.

Biarpun Malaysia memberikan harapan besar seolah-olah mampu menjinakkan Singapura pada 30 minit permainan melalui gerakan berbahaya Norshahrul Idlan Talaha, segala-galanya berubah apabila pelawat memecahkan kebuntuan dua minit kemudian dengan gol daripada Shahril Ishak.

Berpunca daripada hantaran silang Shahdan dari sebelah kiri, Shahril bijak mengeksploitasi kelemahan komunikasi antara Azmi Muslim dan Fadhli Shas sebelum mudah menyepak masuk ke dalam gawang Malaysia yang ternganga luas.

Gol itu ternyata menyentap semangat anak-anak buah Rajagobal yang bagaikan hilang fokus selepas itu dan ia memberikan ruang kepada Shahril sekali lagi mengukuhkan kedudukan Singapura dengan jaringan kedua pada minit ke-37.

Segalanya bermula dengan kesilapan Khairul Fahmi yang menepis bola ke belakang yang cuba diselamatkan oleh Fadhli yang dapat menanduk keluar atas garisan gol namun Shahril dapat menyambar bola tersebut dengan menanduk kemas ke dalam pintu gol. –UtusanOnline

KD: kenapa ye, kebelakangan ni Team Malaysia asyik kalah je??