Friday, June 7, 2013

ISU HINA AGONG: TONGGAK NEGARA PERLU DIHORMATI SEMUA RAKYAT

KUALA LUMPUR - Institusi diraja merupakan tonggak negara yang perlu dihormati dan dipatuhi oleh semua rakyat negara ini tidak kira apa pun pandangan politik, kaum dan agama.

Ketua Kluster Sejarah, Warisan Dan Sosio Budaya, Majlis Profesor Negara (MPN), Prof. Dr. Kamaruddin M. Said berkata, institusi tersebut adalah lanjutan sistem pemerintahan beraja yang wujud di Tanah Melayu sebelum zaman penjajahan lagi.

"Institusi ini merupakan warisan peradaban Melayu yang berlandaskan konsep Raja Berperlembagaan dengan cabang Parlimen, eksekutif dan kehakiman menjalankan tugas masing-masing dengan perkenan Yang di-Pertuan Agong.

"Namun sistem yang berjalan baik dan diterima secara hakiki oleh generasi terdahulu hingga ke hari ini, mula dikritik oleh golongan tertentu atas nama demokrasi dan kebebasan bersuara yang tidak boleh diterima sama sekali," katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kepentingan institusi diraja yang selama ini menjadi payung kepada seluruh rakyat negara yang berbilang kaum dan agama di sini hari ini.

Tambahnya, kritikan yang bertujuan menghina, merendah-rendahkan martabat raja tidak boleh diterima lebih-lebih lagi orang Melayu.

"Golongan tertentu itu mula memandang serong institusi ini dan mereka perlu kesedaran agar tidak menggugat keamanan yang dikecapi hingga hari ini. Mereka telah menyalahguna kebebasan bersuara dan demokrasi yang ada.

"Raja melindungi hak orang Melayu, bumiputera, agama Islam iaitu agama Persekutuan dan hak-hak kaum lain di negara ini yang termaktub dalam Perlembagaan," jelasnya.


Kamaruddin berkata, Yang di-Pertuan Agong boleh menyampaikan pandangan yang rasional, menasihati dan meminta sesuatu keputusan yang dibuat, dikaji semula mengikut Perlembagaan. –Utusan Online
MALAYSIA TUMPU USAHA IKTIRAF WANITA - PM
Pembangunan ekonomi perlu sumbangan kaum hawa

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak berkata, Malaysia kini memberi tumpuan mengiktiraf dan memperkasakan peranan kaum wanita berbanding membincangkan soal melindungi dan repsentasi golongan berkenaan.

Perdana Menteri berkata, beliau percaya kejayaan dan taraf sesebuah negara itu diukur berdasarkan status dan kedudukan wanita dalam negara terbabit.

Katanya, wanita Malaysia diberi hak mengundi sejak 1957 selain persamaan gaji sejak 1969.

Peluang maju ekonomi

Malah katanya, kedudukan wanita dalam jawatan tertinggi sektor awam meningkat kepada 33 peratus berbanding 18 peratus, sebelum beliau mengambil alih pucuk pimpinan negara kira-kira empat tahun lalu.
“Sekiranya kita mahu membangunkan ekonomi yang lestari dan maju, wanita perlu memainkan peranan utama. Memajukan peluang ekonomi wanita juga bukan perkara sepatutnya dilakukan tetapi perkara bijak yang boleh dilakukan,” katanya dalam ucaptama pada Sidang Kemuncak Global Wanita 2013 di sini, semalam.

Sidang Kemuncak Global Wanita kali pertama dianjurkan di Malaysia itu disertai 1,100 peserta daripada 72 negara membincangkan peranan dan hala tuju memperkasakan wanita dalam arena antarabangsa.

Hasil dasar transformasi

Najib berkata, di Malaysia, wanita memainkan peranan dan memegang jawatan utama, tujuh wanita menerajui jawatan utama dalam sektor awam, termasuk memegang jawatan Ketua Setiausaha kementerian, Gabenor Bank Negara dan Ketua Pengarah Unit Perancang Ekonomi (EPU).

Katanya, penambahbaikan itu sebahagian hasil dasar disasarkan menerusi Program Transformasi Ekonomi dalam memperkasakan wanita sebagai pembuat keputusan, memperkasa usahawan wanita dan inisiatif memperkasakan ibu tunggal dan wanita pedalaman.

“Kita sudah maju, namun perjalanan kita masih panjang. Malaysia pada kedudukan 42 daripada 148 negara dalam Indeks Kesaksamaan Gender di bawah Program Pembangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNDP),” katanya.–Berita Harian
UNDANG-UNDANG INTERNET, SKMM DIGESA KAJI PENGGUNAAN

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) diarah mengkaji aspek penggunaan internet di negara ini secara holistik, termasuk keperluan dan kesesuaian mewujudkan undang-undang tertentu untuk mengawalnya.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek, berkata perkara itu akan diteliti secara rasional, tidak terburu-buru tanpa membabitkan tempoh masa, dan bukan berdasarkan pertimbangan atau perspektif politik.

Katanya, kerajaan tidak boleh terlalu sensitif dengan segelintir kandungan online berbaur politik yang melakukan penyalahgunaan atas tujuan tertentu, sebaliknya perlu melihat kegunaan internet secara menyeluruh, termasuk untuk kepentingan perniagaan, mempromosi negara dan perkongsian maklumat serta pendapat dalam pelbagai bidang.

Kawal internet
Bagaimanapun pada masa sama, beliau berkata, kajian SKMM juga akan mengambil kira langkah negara lain seperti Australia dan United Kingdom yang walaupun mengamalkan dasar liberal, tetap melaksanakan inisiatif kawalan terutama bagi melindungi kanak-kanak daripada pornografi serta mengelak ancaman pengganas.

“Kita akan pantau perkara ini. Ada sesetengah perkara itu tidak perlu kita buat undang-undang seperti di Singapura. Undang-undang yang ada sudah memadai... boleh gunakan akta sedia ada, tidak semestinya kita kena buat satu peraturan perlesenan untuk tujuan itu,” katanya pada sidang media selepas melakukan lawatan kerja ke ibu pejabat Telekom Malaysia Berhad (TM) di sini, semalam.

Pantau sebelum contohi Singapura

Mengulas kenyataan Presiden Jaringan Melayu Malaysia (JMM), Azwanddin Hamzah, yang menggesa kerajaan mencontohi langkah Singapura mewajibkan lesen terhadap semua laman web berita di negara ini, Ahmad Shabery berkata, kerajaan perlu terlebih dulu memantau keberkesanan tindakan Singapura itu, memerhati pelbagai aspek yang masih kabur berhubung pelaksanaan berkenaan, selain mengenal pasti sama ada ia dianggap suatu kaedah untuk menyekat kebebasan.


Bagaimanapun, beliau menegaskan, paling penting dalam konteks ini ialah rakyat Malaysia mempunyai kawalan kendiri, lebih bertanggungjawab dan bijak dalam memanfaatkan kemudahan internet, termasuk tidak menyalahgunakannya untuk mencetuskan sentimen perkauman, menabur fitnah, meracuni fikiran masyarakat sehingga merosakkan ketenteraman awam, atau terperdaya dengan pembohongan.  –Berita Harian
PEMUDA UMNO TOLAK BN JADI PARTI TUNGGAL

KUALA LUMPUR: Pergerakan Pemuda Umno menolak cadangan untuk menjadikan Barisan Nasional (BN) sebagai parti tunggal yang akan mewakili masyarakat berbilang kaum di negara ini.
 
Ketuanya, Khairy Jamaluddin berkata, sistem parti komponen dalam BN yang mewakili kaum tertentu dilihat masih relevan dalam amalan politik di Malaysia.

"Masanya belum sesuai untuk BN dijadikan parti tunggal.

"Pemuda Umno mahu komponen dalam BN kekal sebagai parti yang mewakili bangsa masing-masing seperti sedia ada," katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Exco Pemuda Umno di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, Khamis.

Ini merupakan mesyuarat pertama Exco Pemuda selepas pilihan raya umum ke-13 (PRU-13), 5 Mei lepas.

Cadangan menjadikan BN sebagai parti tunggal disuarakan pemangku Presiden Gerakan, Datuk Chang Ko Youn yang mahu BN bersifat sebagai satu parti.

Chang sebelum ini berkata usaha ke arah itu perlu dilakukan kerana PRU-13 menunjukkan pengundi bandar dan pengundi muda tidak lagi mengundi berdasarkan kaum.

Mengulas lanjut Khairy sebaliknya mencadangkan supaya resolusi yang diluluskan Dewan Tertinggi BN sebelum ini bagi membuka keahlian terus tanpa menjadi ahli kepada mana-mana komponen BN diaktifkan semula sebagai alternatif kepada cadangan BN menjadi parti tunggal. -mStar