Thursday, July 18, 2013

HINA ISLAM: KENAKAN HUKUMAN PENJARA, DENDA TIDAK MEMADAI

IPOH - Pasangan Alvin Tan dan Vivian Lee perlu didakwa dan dikenakan hukuman penjara sebagai pengajaran kerana mempersendakan bulan Ramadan dan umat Islam di laman Facebook mereka.

Pengerusi Pertubuhan Rakan Prihatin Kebajikan Perak, S. Kumaravel berkata, mahkamah tidak boleh hanya mendenda pasangan tersebut kerana mereka sudah pasti mampu membayarnya, apatah lagi dengan sokongan daripada pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang anti-Islam dan orang Melayu.

"Tindakan mereka telah menghina Islam sebagai agama rasmi Persekutuan dan Yang di-Pertuan Agong selaku ketua agama negara.

"Saya mahu kerajaan bertindak tegas. Tidak payah siasat lagi tetapi terus dakwa dan jatuhkan hukuman penjara di mahkamah kerana sudah ada bukti," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Baru-baru ini, Alvin dan Vivian mencetuskan kemarahan umat Islam apabila mereka mengajak berbuka puasa dengan memakan bak kut teh (sup tulang babi).

Kedua-dua mereka memberikan keterangan di pejabat Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 terhadap kesalahan menyalahgunakan kemudahan rangkaian sosial.

Kumaravel turut menyifatkan pasangan tersebut yang pernah mencetuskan kontroversi aksi lucah sebagai tidak bertamadun dan tidak bermoral kerana tidak tahu menghormati penganut agama lain.

Sementara itu, di Labis, Johor, Ketua Biro Profesional Muda MCA, Datuk Chua Tee Yong menasihatkan orang ramai jangan mengambil kesempatan daripada isu pasangan Alvin dan Vivian untuk mencetuskan suasana tegang dan menggugat keharmonian kaum.

Menurutnya, perbuatan pasangan tersebut biadab dan melampau, namun berharap tiada pihak yang mengambil kesempatan memburukkan lagi keadaan.

"Mereka seharusnya sedar perbuatan itu bukan sahaja telah menggores hati penganut agama Islam di negara ini malah boleh menggugat keharmonian kaum serta dijadikan 'modal' oleh pihak tertentu untuk mencetuskan keadaan huru-hara," katanya selepas menyampaikan sumbangan kepada surau dan masjid dalam kawasan Parlimen Labis sempena Ramadan di sini semalam.

Menurut Tee Yong, semua pihak harus memainkan peranan dalam memelihara keharmonian serta persefahaman antara kaum yang telah diamalkan sejak sekian lama.- Utusan Online

AKTA: JANGAN GUBAL SESUKA HATI -  TUN M
PUTRAJAYA - Undang-undang atau akta yang telah digubal dan dilaksanakan dengan baik tidak perlu diubah sewenang-wenangnya kerana boleh mencetuskan masalah kepada negara.

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, undang-undang yang telah dilaksanakan tidak sepatutnya ditukar sesuka hati ekoran desakan mana-mana pihak kerana hanya akan mendatangkan keburukan.

Beliau berkata, rakyat negara ini hidup secara aman dan harmoni serta saling hormat-menghormati antara satu sama lain sebelum ini kerana adanya undang-undang dan akta tertentu yang dijadikan panduan.

"Namun, kini semuanya berubah apabila undang-undang tertentu termasuk Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dimansuhkan sehinggakan ada pihak yang berani menghina Islam.

"Mereka sekarang berani kata macam-macam kepada agama kita, dulu perkara ini tidak pernah terjadi, bila tiada undang-undang sedemikian inilah yang terjadi," katanya kepada pemberita selepas mengadakan pertemuan tertutup dengan Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Datuk Ibrahim Ali di Yayasan Kepimpinan Perdana di sini hari ini.

Beliau mengulas tentang hasrat kerajaan untuk mewujudkan undang-undang baharu bagi menggantikan Ordinan Darurat (EO) dan Akta Hasutan 1948.

Selain itu, katanya, kerajaan perlu fikir secara mendalam sekarang untuk melaksanakan Akta Keharmonian Nasional.

"Dulu ada macam-macam undang-undang dan akta, itu yang membuatkan kita harmoni, sekarang bila undang-undang tiada, rakyat bebas," katanya.

Mengulas tentang pertemuan dengan Perkasa, Dr. Mahathir berkata, pertemuan tertutup itu lebih kepada luahan rasa tidak puas hati pertubuhan itu terhadap beberapa isu kebelakangan ini.

Dalam pada itu, diminta mengulas tentang Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA), Dr. Mahathir berkata, beliau tidak bersetuju dengan langkah tersebut kerana khuatir negara akan menjadi mangsa pihak tertentu.

"Malaysia kena teliti sedalam-dalamnya sebelum menandatangani TPPA, saya khuatir kita akan menjadi mangsa. Ini adalah cubaan Amerika Syarikat untuk menguasai negara kita. Mereka sebenarnya takut kepada China, terbukti apabila negara berkenaan tidak dijemput untuk menyertai TPPA," katanya. - Utusan Online

KALIMAH ALLAH: MAIS KESAL KELANCANGAN DUTA VATICAN CITY 
 
SHAH ALAM - Tindakan Duta Vatican City ke Malaysia, Biskop Joseph Marino menyuarakan pendapat berhubung penggunaan kalimah Allah bagi penganut Kristian di negara ini bukan sahaja mencampuri urusan dalam negara malah menghina kedaulatan undang-undang yang telah diperkenankan oleh Raja-Raja Melayu.

Malah, Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (Mais), Datuk Mohamad Adzib Mohd Isa berkata, perbuatan Marino telah menimbulkan kemarahan dalam kalangan umat Islam yang sedang menjalani ibadah puasa Ramadan.

Mais berasa amat kesal kerana insiden seperti itu masih dianggap ringan oleh sesetengah pihak sehingga isu sama berbangkit semula setiap tahun, katanya dalam kenyataan di sini, Rabu.

Beliau berkata, Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah telah beberapa kali pada 2009, 2010 dan terakhir pada 6 Jan lepas menitahkan dengan tegas bahawa kalimah Allah tidak boleh digunakan di negeri ini oleh mana-mana agama bukan Islam.

"Malah, baginda turut menyatakan kekesalan terhadap tindakan segelintir individu bukan Islam yang bertindak menghina kesucian agama Islam di negara ini," katanya.

Sehubungan itu, Mohamad Adzib menggesa pihak berwajib seperti Jabatan Agama Islam Selangor (Jais), pihak polis dan Kementerian Dalam Negeri mengambil tindakan tegas dengan menghukum mana-mana individu Islam atau bukan Islam yang sengaja menghina kesucian agama Islam yang merupakan agama Persekutuan menurut Artikel 3 Perlembagaan Persekutuan.

Ini kerana, katanya, tindakan menggunakan kalimah Allah dalam kalangan orang bukan Islam dengan menyekutukan Allah dengan sesuatu entiti lain jelas bertentangan dengan hukum syarak.

Menurutnya, fatwa yang diwartakan di Selangor pada 18 Feb 2010 dan Enakmen Ugama Bukan Islam (Kawalan Pengembangan di Kalangan Orang Islam) 1988 telah berkuatkuasa sekian lama.

Namun, katanya ia dilihat seperti tidak membawa apa-apa makna dalam kalangan segelintir orang bukan Islam terhadap sensitiviti umat Islam di negara ini walaupun undang-undang itu berkuatkuasa hampir di semua negeri di Semenanjung Tanah Melayu.

"Mais menyokong sepenuhnya kenyataan dan ulasan tokoh agama serta ulama yang disiarkan di media seperti Penasihat Majlis Agama Islam Johor (Maij) Datuk Noh Gadut, Naib Yang Dipertua Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia Kebangsaan (Perkim) Datuk Nakhaie Ahmad dan Mufti Negeri Sembilan Datuk Mohd Yusof Ahmad serta beberapa lagi yang mengecam tindakan berkaitan penyalahgunaan kalimah Allah dalam kalangan orang bukan Islam.

"Mais juga menyeru agar lebih ramai tokoh agama dan ulama tanpa mengambil kira latar belakang politik untuk tampil menyuarakan bantahan dan mengecam penyalahgunaan kalimah suci ini," katanya.

Selain itu, beliau berkata Mais turut menyokong desakan gabungan Badan Bukan Kerajaan (NGO) Islam kepada Kementerian Luar supaya mengusir keluar Duta Vatican City ke Malaysia atas kenyataan yang tidak bertanggungjawab itu. - BERNAMA.COM

USAH CABAR KESUCIAN ISLAM - TPM

MUAR - Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin memberi amaran kepada semua pihak supaya jangan sewenang-wenangnya mencabar dan mempersendakan kesucian agama Islam.

Muhyiddin: Usah cabar kesucian Islam Beliau berkata, perbuatan kedua-dua pasangan, Alvin Tan dan Vivian Lee amat berat kerana menimbulkan kemarahan umat Islam dan tindakan wajar perlu diambil apabila bukti mencukupi.

“Tindakan tegas ini membuktikan Islam adalah agama yang suci dan tidak boleh dinodai sewenang-wenangnya.

“Jangan berterusan cabar dan menaikkan kemarahan  orang Islam kerana  kita akan bangkit menentang individu yang memperlekehkan agama ini,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Pagoh berkata, imej negara akan tercalar jika tindakan tegas tidak diambil memandangkan perbuatan pasangan terbabit telah menjejaskan keharmonian negara.

“Kita bimbang perkara ini (mempersendakan Islam) akan berulang sebab kebelakangan ini ada segelintir individu dilihat terlalu berani menyentuh sensitiviti orang Islam.

“Kita marah sebab umat Islam tidak pernah sentuh agama lain. Mereka (bukan Islam) bukan sahaja  perlu faham tetapi hayati serta fahami kepentingan agama lain di negara ini,” katanya. –Sinar Harian