Thursday, November 7, 2013

PETRONAS KENA TOLONG MELAYU – DR.M



PUTRAJAYA – Syarikat minyak negara Petronas perlu menyokong dasar kerajaan, termasuk Dasar Ekonomi Baru (DEB), yang memberi keistimewaan kepada kaum Bumiputera dan Melayu.


Penasihat Petronas, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, sebagai sebuah agensi kerajaan, Petronas, seperti agensi kerajaan lain, mesti mengikut dasar yang ditetapkan kerajaan.

“Dasar kerajaan setakat yang saya tahu, termasuk untuk melaksanakan DEB. Kerajaan belum tolak DEB.

“Ini bermakna Petronas juga terlibatlah (untuk laksanakan DEB),” kata bekas Perdana Menteri itu semasa ditemui di pejabat beliau di Putrajaya, semalam.

Beliau, bagaimanapun menegaskan, walaupun syarikat Bumiputera perlu diberikan layanan istimewa oleh Petronas, ia perlu dilakukan mengikut merit.

“(Ingin) lindungi (syarikat Bumiputera) pun ikut merit juga. Orang tak ada merit tak boleh la nak lindung,” katanya.

Sinar Harian semalam melaporkan aduan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) seperti Majlis Tindakan Ekonomi Melayu (MTEM), pemilik syarikat yang menjadi vendor Petronas dan pengusaha stesen minyak Petronas mengenai dasar Petronas yang didakwa mula mengetepikan syarikat milik Bumiputera.

Dr Mahathir turut mengakui beliau sendiri menerima aduan berhubung perkara yang dilaporkan Sinar Harian kelmarin dan menegaskan, beliau telah pun menyampaikan kebimbangan itu kepada pengurusan tertinggi Petronas.

“Kerja saya (sebagai penasihat), saya beritahu kepada Presiden Petronas (Tan Sri Shamsul Azhar Abbas) tentang perkara-perkara ini (iaitu aduan mengenai dakwaan Petronas mengetepikan orang Melayu),” katanya.

Ditanya mengenai hala tuju dasar Petronas yang didakwa mula berubah daripada membantu syarikat Bumiputera dan orang Melayu, Dr Mahathir berkata Petronas beranggapan syarikat itu telah memenuhi objektifnya untuk membantu kaum Bumiputera.

“Jumlah kontrak (Petronas yang diberikan kepada syarikat Bumiputera) cukup besar. Katanya dia (Petronas) dah tolong banyak kepada Bumiputera,” kata beliau.

Dr Mahathir turut menjelaskan kapasitinya sebagai penasihat tidak berikannya kuasa untuk mengeluarkan arahan kepada Petronas, sebaliknya beliau hanya boleh memberi nasihat.

“Saya cuma dengar banyak orang tak puas hati (dengan Petronas). Jadi bila orang tak puas hati, saya beritahu kepada presiden (Petronas).

"Terpulang kepada dia lah apa tindakan (nak diambil) sebab dia (ada kuasa) eksekutif. Saya bukan (ada kuasa) eksekutif,” jelas beliau.

Katanya, jika dilihat dari sudut keuntungan dicapai Petronas masa ini, pengurusan Petronas dianggap berada dalam keadaan baik.

Berhubung laporan Sinar Harian kelmarin mengenai peniaga-peniaga kecil yang didakwa tidak dibenarkan lagi membekalkan makanan seperti roti, nasi lemak dan kuih-muih ke stesen Petronas, Dr Mahathir berkata beliau tidak tahu mengenai perkara ini.

“Yang itu saya tak tau la. Ni saya baru dengar kata nasi lemak tak boleh jual (di stesen Petronas),” katanya.

Mengenai keluhan banyak syarikat Malaysia yang menerima kontrak syarikat gergasi minyak antarabangsa, tetapi tidak mendapat peluang di negara sendiri, Mahathir berkata Petronas perlu mengambil tahu mengenai masalah itu.

Sumber: Sinar Harian


Wednesday, November 6, 2013

PEMILIK STESEN PETRONAS TERTEKAN

Bukan hanya dakwaan syarikat minyak dan gas menghadapi masalah mendapatkan kontrak Petronas, pemilik stesen minyak Petronas juga mendakwa menerima tekanan daripada syarikat petroleum itu.


Menurut sumber yang telah lebih 30 tahun terlibat dalam perniagaan stesen minyak Petronas, kepentingan Bumiputera, terutama bagi perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di bawah perniagaan milik Petronas Dagangan Bhd (PDB) didakwa telah terhakis kerana dasar baru yang mula menular dalam Petronas.

Dakwa sumber itu lagi, baru-baru ini, PDB tidak benarkan lagi pemilik stesen minyak menerima bekalan pelbagai jenis makanan tempatan yang dihasilkan oleh penduduk setempat atau syarikat kecil, dengan alasan mahukan syarikat berdaftar sahaja menjadi pembekal bagi menjamin kualiti produk di kedai Mesra.

Laporan selanjutnya di: http://www.sinarharian.com.my/nasional/


PETRONAS PINGGIR BUMIPUTERA, UBAH POLISI

Petronas diminta perjelas maksud 'tak layak'Dasar penubuhan Petronas yang mahu membantu peniaga Bumiputera dikhuatiri akan hilang tidak lama lagi apabila syarikat minyak negara itu bakal mengamalkan dasar baharu melibatkan syarikat asing.

Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Tindakan Ekonomi Melayau (MTEM), Mohd Nizam Mashar berkata, badan bukan kerajaan itu menerima banyak aduan daripada syarikat dalan industri minyak dan gas mengenai sikap Petronas yang didakwa ‘pilih kasih’ dalam memberikan kontrak.

Petronas juga didakwa cuba mengetepikan syarikat Bumiputera dan Melayu dakan pemberian kontraknya dan tersasar daripada peranan asalnya untuk membantu membangunkan syarikat Bumiputera dalam industri minyak dan gas.


Sumber: Sinar Harian

Wednesday, October 9, 2013

PCA JAGA HAK ASASI MAJORITI RAKYAT

KUALA LUMPUR - Dakwaan pihak-pihak tertentu kononnya Rang Undang-Undang Pencegahan Jenayah (Pindaan dan Pemerluasan) 2013 meminggirkan hak asasi manusia dibidas anggota Dewan Negara prokerajaan kerana hak asasi majoriti rakyat untuk hidup aman damai juga perlu dipertahankan. 

Senator Datuk Abdul Rahim Abdul Rahman menegaskan ini termasuk hak mereka untuk hidup aman damai tanpa digugat oleh jenayah rompakan, rogol, pembunuhan terancang dan kejadian tembak.

Beliau berkata rang undang-undang bagi meminda Akta Pencegahan Jenayah (PCA) 1959 yang telah diluluskan di Dewan Rakyat itu digubal kerana terdapat keperluan bagi mengekang aktiviti jenayah berat dan jenayah terancang yang semakin meningkat.

"Tahun ini sahaja, terdapat 109 kes kejadian tembak yang sedang dalam siasatan polis melibatkan 100 peratus kumpulan kongsi gelap. Rakyat menyuarakan kegelisahan, maka kerajaan mengambil tindakan meminda PCA.

"Ada pihak menentang menggunakan alasan hak asasi manusia. Tetapi, kadang kala kita lupa bahawa hak asasi manusia ialah untuk setiap rakyat untuk hidup aman tanpa diganggu jenayah. Bagaimana pula hak asasi mangsa dan ahli keluarga mangsa jenayah," soalnya ketika membahaskan rang undang-undang itu di Dewan Negara hari ini.

Turut sependapat, Senator Datuk Chin Su Phin yang menyifatkan isu keselamatan adalah isu bersama tanpa mengira kerajaan mahupun pembangkang.

"Biar kita berbeza politik tetapi soal jenayah, jangan berbeza pendapat. Ketepikan soal politik demi kesejahteraan rakyat dan negara," ujarnya.

Senator Jamilah Sulaiman menyokong pindaan rang undang-undang ini kerana ia memperuntukkan mekanisme terbaik untuk memelihara keselamatan dan ketenteraman awam.


Sumber: Sinar Harian

Monday, October 7, 2013

PCA: TAHAN TANPA BICARA TIDAK ISLAMIK -NURUL IZZAH

SHAH ALAM – Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar menyifatkan penahanan tanpa perbicaraan selama dua tahun yang dipinda dan diluluskan pada Akta Pencegahan Jenayah (PCA) sebagai tidak Islamik.
 
Rang Undang-undang Pencegahan Jenayah (Pindaan dan Pemerluasan) 2013 yang membenarkan penahanan tanpa perbicaraan bagi tujuan ketenteraman awam, keselamatan awam atau pencegahan jenayah diluluskan di Dewan Rakyat, Khamis lalu.

 Usaha wakil rakyat pembangkang untuk menggagalkan kelulusan rang undang-undang itu tidak berjaya apabila ia diluluskan dengan suara majoriti daripada penyokong kerajaan pada 12.50 malam.

Izzah menafikan penentangan itu demi kepentingan pembangkang semata-mata.

“Pada saya, ia bukan soal kami semata-mata, tapi soal kebenaran. Ini bukan soal nak selamatkan diri.

“Kadang-kadang kita berjuang menentang satu-satu rang udang-undang kerana ia sesuatu yang harus diperjuangkan,” katanya kepada Sinar Harian Online ketika ditemui, hari ini.

Mengulas lanjut soal itu, beliau turut menyentuh berhubung kebanyakan pemimpin pembangkang yang menjadi mangsa penahanan di bawah akta seperti ini.

 “Pertamanya, penahanan tanpa bicara, ini tidak Islamik. Nak banding dengan Amerika Syarikat (AS)? Yang mana kita benci, yang mana zalim. Sudah tentu kita tentang.

“Keduanya, kami bukan pengganas. Kami bukan 'geng-geng' yang buat jenayah. Kami bukannya penjenayah. Kenapa kami harus ditahan? Bukankah itu satu kezaliman? Saya tak faham logik itu,” katanya.

Tambahnya, “bukankah Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960 (ISA) itu untuk menyelamatkan keadaan...katanya, dengan menangkap penjenayah yang tegar. Jadi, dimanakah konteks pembangkang itu diletakkan?”

Selain parti pembangkang, pindaan akta tersebut turut mendapat tentangan pertubuhan bukan kerajaan, Suara Rakyat Malaysia (Suaram).


Sumber: Sinar Harian

Friday, October 4, 2013

PCA BUKTI KOMITMEN KERAJAAN PERANGI JENAYAH

KUCHING - Rang Undang-undang Pencegahan Jenayah (Pindaan dan Pemerluasan) 2013 yang diluluskan Dewan Rakyat semalam membuktikan komitmen tinggi kerajaan untuk memerangi jenayah berat di negara ini.

Naib Pengerusi Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia, Tan Sri Lee Lam Thye berkata, penguatkuasaan undang-undang itu kelak dapat membantu meningkatkan lagi keyakinan rakyat terhadap keselamatan mereka.

"Saya harap rakyat secara keseluruhannya akan menyokong akta ini yang sudah pasti dapat membantu dalam menangani masalah jenayah berat," katanya pada sidang akhbar, di sini, semalam.

Beliau berkata, pada masa sama polis perlu dilengkapkan lagi dengan peralatan lebih canggih yang sekali gus boleh meningkatkan kecekapan pasukan keselamatan itu.

"Pastikan juga polis mendapat peruntukan yang mencukupi untuk menggantikan kenderaan-kenderaan mereka yang sudah usang dan mempunyai kakitangan yang mencukupi untuk menjalankan tugas mereka," katanya. – Bernama


Sumber: Sinar Harian