Thursday, December 5, 2013

5 LANGKAH TRANSFORMASI JAMIN UMNO PARTI HARAPAN MASA DEPAN -PRESIDEN
KUALA LUMPUR: Penekanan lima pengisian transformasi Umno, yang digariskan Presiden parti Datuk Seri Najib Tun Razak pada Khamis bukan sahaja memperteguh tekad Umno untuk muncul sebagai parti harapan masa depan, tetapi juga menjadikan parti terbesar orang Melayu ini kekal relevan.

Lima langkah transformasi ini, menurut penganalisis politik adalah sebagai nilai tambah dan kesinambungan kepada usaha-usaha sebelum ini termasuk lima kekuatan teras parti yang digariskan Perdana Menteri pada Perhimpunan Agung Umno 2011.

Untuk menjadi sebuah parti yang berdaya saing serta mampu menongkah arus meredah zaman, Ketua Kluster Politik, Keselamatan dan Hal Ehwal Antarabangsa Majlis Profesor Negara (MPN) Prof Datuk Dr Mohamed Mustafa Ishak berkata Umno mesti terus berusaha meremajakan parti untuk kekal relevan.

Katanya langkah transformasi berkenaan memberi isyarat jelas penetapan hala tuju Umno yang menjadi tunjang Barisan Nasional (BN), selaku parti pemerintah negara.

"Lima perkara ini adalah untuk mengembalikan Umno kepada teras perjuangannya dan Najib menghantar mesej jelas bahawa Umno tak perlu terikut-ikut dengan apa yang ditawarkan pembangkang atau cuba menyaingi pembangkang dengan tawaran balas.

"Sangat penting apabila Najib turut memberi jaminan bahawa Umno tetap komited dalam isu pemerkasaan ekonomi Bumiputera dan mempertahankan akidah Islam berdasarkan Ahli Sunnah Wal Jamaah," katanya kepada Bernama di sini.

Lima pengisian transformasi Umno ialah memperteguh ekonomi Melayu dan Bumiputera; mempertegak maqasid syariah; memperkukuh pengkaderan parti dan mempersiaga jentera transformatif serta menetapkan petunjuk prestasi utama (KPI) parti.

Najib dalam ucapan dasar bertemakan "Mewajah Masa Depan" berkata transformasi Umno tidak akan berjaya sekiranya idea dan perubahan hanya digenggam di peringkat atasan sahaja, malah ia mesti didakap erat setiap anggota parti.

Mohamed Mustafa, yang hadir di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, bagi mengikuti ucapan perasmian Perhimpunan Agung Umno 2013, berkata Umno sebagai parti orang Melayu dan Bumiputera tidak seharusnya tergugat dengan tuntutan pihak tertentu khususnya pembangkang.

"Inilah kekuatan Umno selama ini kerana ia disokong orang Melayu dan Bumiputera. Perdana Menteri memberi keyakinan kepada orang Melayu bahawa Umno masih komited untuk membantu orang Melayu dan Bumiputera dengan tidak mengambil hak kaum lain," katanya.

Pada 2011, lima kekuatan teras yang digariskan Najib ialah keupayaan menggagas semula parti bagi memanfaatkan persekitaran baharu; pengamalan prinsip wasatiyyah dalam semua bidang sama ada urus tadbir, perkongsian kuasa, iktisad yakni ekonomi, perhubungan kaum mahupun perhubungan antarabangsa.

Tiga lagi kekuatan teras ialah Umno sentiasa mengulungi idea atau 'supremacy of ideas' dalam era pertarungan minda dan persaingan sengit pasaran idea serta maklumat; meletakkan kebajikan rakyat di atas segalanya-galanya serta kebolehan Umno untuk mengotakan apa yang dikata dan menunaikan janji.

Anggota Majlis Tertinggi Umno Datuk Shamsul Anuar Nasarah berkata sebagai parti utama BN, Umno mesti dapat diterima seluruh rakyat dan berlaku adil.

Dalam merealisasikan wawasan sebagai negara maju pada 2020, beliau menegaskan bahawa transformasi adalah aspek terpenting dan wajib dilakukan untuk memastikan Islam, orang Melayu dan Bumiputera dan Umno tidak tenggelam dalam arus kemodenan negara.

Dalam hal ini, Mohamed Mustafa berkata kebolehupayaan Umno untuk terus wujud dalam pentas politik sehingga Malaysia berjaya mencapai status negara maju, akan menjadi satu pencapaian amat signifikan bagi parti itu.

Berbeza dengan Umno yang sudah berusia 67 tahun, beliau memberi contoh parti politik negara lain yang seusianya hanya 'hidup' sekadar lingkungan usia 50 tahun kerana enggan membuat perubahan dan bersikap tertutup.

Dalam pada itu, Ketua Wanita Umno Bahagian Muar Ramlah Ismail berpandangan langkah mentransformasi Umno selari dengan peranannya, yang kini semakin mencabar, mesti dihayati dan diterjemahkan dalam gerak kerja seluruh anggota.

"Kalau kita mahu jadi relevan, kita kena berubah. Kalau kita tak berubah, orang yang akan ubah. Maka lakukan, hayatilah transformasi yang disaran Presiden supaya Umno akan terus mara dan dihormati serta diterima rakyat keseluruhannya," katanya. – BERNAMA


Sumber: mStar Online

UMNO DISARAN WUJUD PORTFOLIO SESUAI UNTUK GOLONGAN ULAMA

KUALA LUMPUR: Ulama dan cendekiawan agama yang menyertai Umno perlu diberi portfolio bersesuaian agar golongan itu tidak dilihat sekadar memenuhi kerusi di dalam parti.

Mencadangkan perkara itu, Exco Pergerakan Pemuda Umno Dr Fathul Bari Mat Jahya berkata kewujudan portfolio tertentu akan membantu ulama memahami dengan jelas peranan mereka dalam usaha bersama Umno memartabat agama, bangsa dan negara.

"Harapan saya agar ulama yang menyertai Umno, terutama di peringkat Majlis Tertinggi, diberi portfolio yang jelas supaya kehadiran mereka tidak dilihat sebagai pelengkap di dalam Umno sahaja," katanya semasa menyokong usul ucapan dasar Presiden Umno Datuk Seri Najib Tun Razak dalam Perhimpunan Agung Umno 2013 di sini Khamis.

Memuji langkah Umno membawa konsep inklusif dengan memberi ruang kepada ulama di dalam parti, Fathul Bari berkata kewujudan portfolio itu juga akan memperlihatkan kepada masyarakat peranan serta hala tuju ulama yang dilantik dan secara tidak langsung rakyat dapat merasai impak kewujudan golongan berkenaan di dalam Umno.

Fathul Bari, yang juga Penasihat Eksekutif Jawatankuasa Himpunan Ulama Muda (ILMU), turut menyarankan agar kerajaan menubuhkan satu institusi khas bagi menangani penyebaran hadis palsu.

"Kita cadangkan wujudkan satu institusi khas atau kembangkan institusi yang ada, sebagai contoh lembaga penapisan teks Al-Quran kepada hadis.

"Ini kerana antara satu dakyah untuk menyebarkan ajaran sesat ialah melalui hadis palsu," katanya.

Menyentuh peranan mahasiswa, Fathul Bari meminta Umno memberi perhatian yang seimbang kepada golongan itu di dalam dan luar negara.

Beliau berkata ini kerana mahasiswa adalah antara golongan yang berperanan penting membantu dan menyumbangkan idea kritis serta kreatif dalam pembangunan Umno. – BERNAMA

Sumber: mStar Online

SIASATAN KES SITI AISHAH MUNGKIN AMBIL MASA SETAHUN

PETALING JAYA: Siasatan kes Siti Aishah Abd Wahab, 69, warga Malaysia yang didakwa dijadikan hamba selama 30 tahun oleh pemimpin fahaman Maoist di London, mungkin mengambil masa selama setahun.

"Berdasarkan maklumat yang saya perolehi daripada kedutaan dan pihak polis, siasatan sedang dijalankan dan ia mungkin memakan masa selama setahun kerana terdapat 50,000 dokumen untuk dikaji semula.

"Sama ada dia (Siti Aishah) mahu pulang, persoalannya masih terbuka. Dia adalah warganegara yang bebas.

"Saya difahamkan dia merupakan penduduk tetap Britain, jadi dia bebas untuk masuk dan keluar dari negara ini," kata Hishamuddin Rais.

Kamar menunjukkan nota yang ditulis Siti Aishah kepada keluarganya di Malaysia.

Hishamuddin berkata dia tidak bertemu secara peribadi dengan Siti Aishah ketika berada di London tetapi kakak sulungnya, Kamar Mautum telah bertemu dengan Aishah di satu lokasi rahsia.

"Laporan sebelum ini menyebut mereka bertemu selama 40 minit, tetapi sebenarnya mereka menghabiskan masa bersama selama satu jam 40 minit," katanya sambil memberitahu Siti Aishah kini sedang dipantau rapi selepas diserang strok baru-baru ini.

Keluarga Siti Aishah di Malaysia dikatakan kini berasa lega dan bersyukur kerana dia selamat.

"Mereka lega selepas dia dikenalpasti dan dibebaskan. Tiada lagi tanda tanya dan kami tahu dia selamat," kata editor majalah Astro Awani, Zan Azlee.

Sumber: mStar Online

WANITA UMNO PERLU ANJAKAN MENTALITI, KELUAR DARI ZON SELESA

KUALA LUMPUR: Ketua Wanita Umno Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil mengingatkan semua anggota pergerakan itu agar membuat anjakan mentaliti dan keluar dari zon selesa mereka.

Beliau berkata Wanita Umno perlu mengeratkan lagi program dengan Wanita Barisan Nasional (BN) kerana perjuangannya bukan hanya untuk wanita Melayu sahaja tetapi untuk semua wanita di negara ini.

"Perjuangan Wanita Umno merentasi kaum dan agama, walaupun kita ada agenda untuk wanita Melayu tetapi secara umumnya perjuangan kita adalah untuk semua," katanya ketika menggulung perbahasan usul pada Perhimpunan Agung Wanita Umno 2013 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini Rabu.

Beliau juga mengajak Wanita Umno membina kekuatan dalaman dan sentiasa dikelilingi golongan cerdik pandai bagi memperbaiki diri.

"Jangan takut dengan bayang-bayang, walaupun tidak ada ijazah, puan-puan ini bukan calang-calang pemimpin, kalau kita hanya dikelilingi mereka yang kurang daripada kita bagaimana kita hendak perbaiki diri.

"Kita perlu dikelilingi mereka yang bijak pandai dan mahir daripada kita, barulah kita boleh jadi hebat, jangan takut," katanya dengan diiringi sorakan gemuruh dari 955 perwakilan yang hadir.

Sementara itu dalam sidang media, Shahrizat berkata pada penggal kali ini pergerakan itu akan memberi tumpuan kepada pembangunan ekonomi wanita sebagai agenda utama.

Beliau berkata tumpuan itu penting dalam usaha melahirkan lebih ramai golongan usahawan wanita di samping dapat membantu golongan ibu tunggal yang memerlukan bantuan untuk mencapai kejayaan dalam kehidupan masing-masing.

Selain itu, beliau berkata program keagamaan dalam pergerakan itu akan turut dipertingkatkan lagi dengan pelbagai pendekatan yang membawa kepada hasil lebih efisien dan efektif selari dengan tuntutan globalisasi zaman sekarang.

Dalam pada itu, Shahrizat juga tidak menolak pendapat bahawa pergerakan itu berkeupayaan untuk menjadi ejen perpaduan kaum kerana sifat keibuan yang ada dalam diri mereka mampu menyelesaikan pelbagai masalah dengan mudah. - BERNAMA

Sumber: mStar Online