5 LANGKAH
TRANSFORMASI JAMIN UMNO PARTI HARAPAN MASA DEPAN -PRESIDEN
KUALA LUMPUR: Penekanan lima pengisian transformasi Umno,
yang digariskan Presiden parti Datuk Seri Najib Tun Razak pada Khamis bukan
sahaja memperteguh tekad Umno untuk muncul sebagai parti harapan masa depan,
tetapi juga menjadikan parti terbesar orang Melayu ini kekal relevan.
Lima langkah transformasi ini, menurut penganalisis politik
adalah sebagai nilai tambah dan kesinambungan kepada usaha-usaha sebelum ini
termasuk lima kekuatan teras parti yang digariskan Perdana Menteri pada
Perhimpunan Agung Umno 2011.
Untuk menjadi sebuah parti yang berdaya saing serta mampu
menongkah arus meredah zaman, Ketua Kluster Politik, Keselamatan dan Hal Ehwal
Antarabangsa Majlis Profesor Negara (MPN) Prof Datuk Dr Mohamed Mustafa Ishak
berkata Umno mesti terus berusaha meremajakan parti untuk kekal relevan.
Katanya langkah transformasi berkenaan memberi isyarat jelas
penetapan hala tuju Umno yang menjadi tunjang Barisan Nasional (BN), selaku
parti pemerintah negara.
"Lima perkara ini adalah untuk mengembalikan Umno
kepada teras perjuangannya dan Najib menghantar mesej jelas bahawa Umno tak
perlu terikut-ikut dengan apa yang ditawarkan pembangkang atau cuba menyaingi
pembangkang dengan tawaran balas.
"Sangat penting apabila Najib turut memberi jaminan
bahawa Umno tetap komited dalam isu pemerkasaan ekonomi Bumiputera dan
mempertahankan akidah Islam berdasarkan Ahli Sunnah Wal Jamaah," katanya
kepada Bernama di sini.
Lima pengisian transformasi Umno ialah memperteguh ekonomi
Melayu dan Bumiputera; mempertegak maqasid syariah; memperkukuh pengkaderan
parti dan mempersiaga jentera transformatif serta menetapkan petunjuk prestasi
utama (KPI) parti.
Najib dalam ucapan dasar bertemakan "Mewajah Masa
Depan" berkata transformasi Umno tidak akan berjaya sekiranya idea dan
perubahan hanya digenggam di peringkat atasan sahaja, malah ia mesti didakap
erat setiap anggota parti.
Mohamed Mustafa, yang hadir di Pusat Dagangan Dunia Putra
(PWTC) di sini, bagi mengikuti ucapan perasmian Perhimpunan Agung Umno 2013,
berkata Umno sebagai parti orang Melayu dan Bumiputera tidak seharusnya
tergugat dengan tuntutan pihak tertentu khususnya pembangkang.
"Inilah kekuatan Umno selama ini kerana ia disokong
orang Melayu dan Bumiputera. Perdana Menteri memberi keyakinan kepada orang
Melayu bahawa Umno masih komited untuk membantu orang Melayu dan Bumiputera
dengan tidak mengambil hak kaum lain," katanya.
Pada 2011, lima kekuatan teras yang digariskan Najib ialah
keupayaan menggagas semula parti bagi memanfaatkan persekitaran baharu;
pengamalan prinsip wasatiyyah dalam semua bidang sama ada urus tadbir,
perkongsian kuasa, iktisad yakni ekonomi, perhubungan kaum mahupun perhubungan
antarabangsa.
Tiga lagi kekuatan teras ialah Umno sentiasa mengulungi idea
atau 'supremacy of ideas' dalam era pertarungan minda dan persaingan sengit
pasaran idea serta maklumat; meletakkan kebajikan rakyat di atas
segalanya-galanya serta kebolehan Umno untuk mengotakan apa yang dikata dan
menunaikan janji.
Anggota Majlis Tertinggi Umno Datuk Shamsul Anuar Nasarah
berkata sebagai parti utama BN, Umno mesti dapat diterima seluruh rakyat dan
berlaku adil.
Dalam merealisasikan wawasan sebagai negara maju pada 2020,
beliau menegaskan bahawa transformasi adalah aspek terpenting dan wajib
dilakukan untuk memastikan Islam, orang Melayu dan Bumiputera dan Umno tidak
tenggelam dalam arus kemodenan negara.
Dalam hal ini, Mohamed Mustafa berkata kebolehupayaan Umno
untuk terus wujud dalam pentas politik sehingga Malaysia berjaya mencapai
status negara maju, akan menjadi satu pencapaian amat signifikan bagi parti
itu.
Berbeza dengan Umno yang sudah berusia 67 tahun, beliau
memberi contoh parti politik negara lain yang seusianya hanya 'hidup' sekadar
lingkungan usia 50 tahun kerana enggan membuat perubahan dan bersikap tertutup.
Dalam pada itu, Ketua Wanita Umno Bahagian Muar Ramlah
Ismail berpandangan langkah mentransformasi Umno selari dengan peranannya, yang
kini semakin mencabar, mesti dihayati dan diterjemahkan dalam gerak kerja
seluruh anggota.
"Kalau kita mahu jadi relevan, kita kena berubah. Kalau
kita tak berubah, orang yang akan ubah. Maka lakukan, hayatilah transformasi
yang disaran Presiden supaya Umno akan terus mara dan dihormati serta diterima
rakyat keseluruhannya," katanya. – BERNAMA
Sumber: mStar Online
No comments:
Post a Comment