KENAIKAN TARIF
ELEKTRIK: RAMAI TAK PUAS HATI
KUALA LUMPUR - Walaupun kerajaan sudah berusaha memberi
alasan kenapa kadar tarif elektrik perlu dinaikkan awal bulan depan, banyak
pihak masih tidak puas hati dengan tindakan itu.
Apakah perasaan pihak-pihak yang membantah itu, yang
meliputi NGO dan pemerhati, boleh dipandang remeh atau diperlekehkan?
Daripada pengalaman lalu, apa yang mereka luahkan ada
logiknya dan adalah sesuatu yang wajar sekiranya cadangan mereka diberi
perhatian.
Perlu diingat, selepas PRU13 pada 5 Mei lalu, beberapa
perubahan telah berlaku.
Yang paling awal dan tentunya yang paling m
enimbulkan
keresahan banyak pihak adalah pemotongan subsidi yang menyebabkan RON95 naik 20
sen seliter.
Kenaikan harga petrol itu mempengaruhi peniaga dan pengusaha
kenderaan dan lain-lain perkhidmatan segera menaikkan harga barang dan tambang
atau meminta kenaikan setengah harga barang dan tambang dipertimbangkan.
Kenaikan harga gula tidak lama lepas itu memaksa banyak lagi
peniaga dan pengusaha menaikkan harga barang dan caj perkhidmatan.
Ia tidak berhenti di situ sahaja. Keazaman kerajaan untuk
menyuburkan ekonomi melihat penglibatannya dengan perjanjian Perkongsian
Trans-Pasifik (TPP) dengan 11 negara, termasuk Amerika Syarikat (AS) dan
penguatkuasa sistem cukai barangan dan perkhidmatan (GST).
TPP akan dibincangkan di taraf muktamat di Singapura pada 7
Disember ini, sementara GST sudah diumumkan perdana menteri akan dilaksanakan
mulai April 2015.
Dengan rancangan itu yang dikhuatiri menambah beban rakyat,
apakah mereka boleh dipersoalkan apabila bertanya kenapa harga barang dan caj
perkhidmatan perlu dinaikkan?
Maka dengan apa yang berlaku, mereka boleh dimaafkan apabila
menjadi bimbang dan meminta kerajaan kaji semua segala yang disusun ini.
Dalam kenaikan kadar tarif elektrik, banyak pihak meminta
kerajaan mengkaji semula perjanjian dengan pengeluar tenaga persendirian (IPP)
untuk pastikan tindakan yang diambil syarikat-syarikat gergasi yang tidak
berpihak kepada pengguna digubal semula.
Apakah setengah NGO yang mewakili pengguna tidak wajar
mempersoalkan slogan ‘Rakyat Didahulukan’ atau menyifatkan tindakan menaikkan
kadar tarif yang akan membebankan ramai pengguna sebagai tamparan hebat kepada
rakyat selepas PRU13?.
Sementara itu, Angkatan Muda Keadilan (AMK) bantah kenaikan
kadar tarif elektrik yang diumumkan kerajaan, dengan mendakwa ia akan terus
menekan rakyat golongan bawahan yang sudah pun terpaksa berdepan dengan kos
sara hidup semakin tinggi.
Ketuanya, Shamsul Iskandar Mohd Akin berkata, pelaksanaan
tarif baharu mulai 1 Januari 2014 itu tidak selari dengan slogan ‘Rakyat
Didahulukan’ yang sering dibawa oleh kerajaan BN.
Mereka memandang serius perlaksanaan kadar tarif elektrik
baharu 15 peratus atau 4.99 sen per kilowatt jam seperti diumumkan Kementerian
Tenaga, Teknologi Hijau dan Air kelmarin.
“Kami pandang serius kenaikan 14.9 peratus tarif elektrik.
Ini satu tamparan besar kepada rakyat selepas PRU13.
“Ternyata slogan ‘Rakyat Didahulukan’ gah dicanangkan BN
adalah pisau bermata dua,” katanya kepada media di lobi Parlimen, semalam.
Katanya, mereka mempersoalkan dengan pengurangan subsidi
dalam banyak sektor masih tidak cukup untuk menampung sikap belanja tidak
berhemah oleh kerajaan.
“Jika jawapannya ya, maka pihak kerajaan perlu
bertanggungjawab. Jangan salahkan rakyat jika mereka mengelak cukai walhal
pengkhianat sebenar boros berbelanja.
“AMK maklum kerajaan pernah uar-uarkan kajian terperinci
akan dibuat berkaitan tarif elektrik ini. Maka dengan pengumuman kenaikan
itu, kami menggesa kerajaan dedahkan
dapatan kajian itu kepada umum,” katanya.
Katanya, seorang timbalan menteri kewangan memberitahu
Parlimen baru-baru ini, kadar tarif elektrik kekal berikutan kestabilan harga
minyak dunia.
“Ia jelas bertentangan dengan kenyataan Datuk Seri Maximus
Ongkili kadarnya dinaikkan sebagai rasionalisasi subsidi untuk kukuhkan
kedudukan kewangan negara, selain kesan penyelarasan harga gas domestik, gas
asli cecair, arang batu dan semakan tarif asas TNB," katanya.
Sumber: Sinar Harian
No comments:
Post a Comment