PEMUDA UMNO GARIS
TIGA LANGKAH UTAMA TAWAN GENERASI MUDA
KUALA LUMPUR: Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin pada Rabu
menggariskan tiga langkah utama bagi memenangi hati orang muda untuk menyokong
Umno dan Barisan Nasional pada pilihan raya umum (PRU) ke-14 nanti.
Langkah pertama, mengadakan program 'Jelajah Anak Muda'
mulai tahun depan dengan mengerahkan tenaga Pemuda dalam kalangan perwakilan
Exco dan Bahagian.
"Pemuda akan menjelajah institut pengajian tinggi awam,
politeknik dan institut latihan bagi menemui mereka. Kita juga akan menghantar
wakil bertemu pelajar di luar negara," katanya dalam ucapan penggulungan
di Perhimpunan Agung Pemuda 2013 di sini Rabu.
Bagi langkah kedua, Khairy berkata pihaknya akan menerap
pendekatan ke pusat ibadah, yang mana pada masa sama, akan cuba menjadi ejen
penyelesai masalah rakyat.
Beliau berkata Pemuda juga akan lebih ke depan dalam mencari
penyelesaian masalah seperti banjir dan kebakaran agar rakyat tidak perlu lagi
menunggu wakil rakyat mereka berbuat sesuatu.
"Kerana itulah kita telah meminta rakan-rakan Pemuda
kita yang berada di sini supaya segera pulang ke kawasan dilanda banjir. Ada
lebih kurang tujuh atau lapan bahagian telah kita arah pulang hari ini bagi membantu
penduduk yang terjejas dengan banjir," katanya.
Khairy berkata langkah ketiga menyaksikan Pemuda tidak perlu
takut berdepan serangan pembangkang di arena politik dan segera tampil
berdebat, jika perlu, untuk menerangkan sesuatu isu yang timbul.
Beliau berkata menerusi cara ini, generasi muda akan lebih
mempercayai kredibiliti dan keupayaan Pemuda sekali gus tidak membenarkan
pembangkang menang percuma.
Dalam pada itu, Khairy berkata Pemuda dan pihak berwajib
akan membantu kira-kira 60,000 daripada 140,000 pemohon mendapatkan Bantuan
Lesen 1Malaysia (BL1M) secepat mungkin.
Katanya, status pemohon ialah sedang menjalani kursus dan
pemeriksaan, 50,000 berjaya memperoleh lesen manakala bakinya adalah mereka
yang mempunyai masalah kerana lokasi yang jauh, dan golongan ini akan menerima
bayaran khas daripada Pemuda. Program BL1M merupakan antara inisiatif
Pergerakan Pemuda Umno di bawah kelolaan Sekretariat Hal Ehwal Bandar bagi
membolehkan penunggang motosikal muda memperoleh lesen B2 dengan kadar yang
lebih murah.
Sumber: mStar Online
No comments:
Post a Comment