BANTUAN BANJIR: TIADA
DISKRIMINASI
KUALA LUMPUR - Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk
Seri Shahidan Kassim menyangkal dakwaan Ahli Parlimen Kuantan, Fuziah Salleh yang mengatakan kerajaan
bersikap diskriminasi terhadap pemimpin pembangkang berhubung misi bantuan
mangsa banjir di kawasan itu.
Menurutnya, kerajaan tidak akan berbuat demikian kerana ia
melibatkan perkara serius di mana rakyat perlu diberi keutamaan.
“Jangan bersangka buruk. Dalam soal ini kerajaan tidak akan
mencampuradukkan isu politik kerana apa yang penting adalah bantuan kepada
rakyat yang memerlukan.
“Apa yang dikatakan beliau (Fuziah) itu tidak benar. Dalam
beri bantuan, kita tidak mengira latar belakang politik pemimpin,” katanya pada
sidang media, di sini, semalam.
Terdahulu, Fuziah memberi kenyataan bahawa pemimpin
pembangkang tidak dipanggil untuk sertai mesyuarat Majlis Keselamatan Negeri
(MKN) dalam membantu mangsa banjir.
“Kami lihat ia sebagai satu diskriminasi di mana kami tidak
dijemput untuk menghadiri mesyuarat itu sedangkan kita perlu duduk bersama
untuk mengetahui keadaan rakyat yang ditimpa banjir.
“Dalam hal ini, mereka mahu rakyat melihat kami tidak mampu
berbuat apa-apa. Tapi saya percaya rakyat ini lebih bijak dan tidak akan
tertipu dengan perkara seperti ini,” katanya.
Mengulas lanjut mengenai usul tergempar pengisytiharan
darurat ekoran banjir di Kuantan dari Fuziah yang ditolak Speaker Dewan Rakyat
Tan Sri Pandikar Amin Mulia dalam persidangan semalam, Shahidan memberitahu ia
tidak seharusnya berlaku.
“Sebenarnya usul itu tidak perlu lagi. Semua wakil rakyat
yang terlibat dengan banjir perlu balik ke kawasan masing-masing untuk bantu
mereka yang memerlukan.
“Mereka perlu maklumkan kepada kita bantuan yang diperlukan.
Bukan kita mahu publisiti tapi mahu bantu rakyat,” katanya.
Pada masa yang sama, Shahidan memberitahu beberapa bantuan
telah dikerah bagi membantu mangsa banjir terutamanya di kawasan yang terjejas
teruk.
“Kita sudah hantar dua helikopter dari Agensi Penguatkuasaan
Maritim Malaysia (APMM) dan enam bot tambahan dari MKN untuk mengeluarkan
mangsa di Kuantan ke tempat yang disediakan.
“Selain itu, bantuan makanan juga telah di disalurkan kepada
mereka. Saya berterima kasih kepada sukarelawan dan menyeru lebih banyak
sukarelawan untuk muncul bantu mangsa banjir,” katanya.
No comments:
Post a Comment