UMNO DISARAN WUJUD
PORTFOLIO SESUAI UNTUK GOLONGAN ULAMA
KUALA LUMPUR: Ulama dan cendekiawan agama yang menyertai
Umno perlu diberi portfolio bersesuaian agar golongan itu tidak dilihat sekadar
memenuhi kerusi di dalam parti.
Mencadangkan perkara itu, Exco Pergerakan Pemuda Umno Dr
Fathul Bari Mat Jahya berkata kewujudan portfolio tertentu akan membantu ulama
memahami dengan jelas peranan mereka dalam usaha bersama Umno memartabat agama,
bangsa dan negara.
"Harapan saya agar ulama yang menyertai Umno, terutama
di peringkat Majlis Tertinggi, diberi portfolio yang jelas supaya kehadiran
mereka tidak dilihat sebagai pelengkap di dalam Umno sahaja," katanya
semasa menyokong usul ucapan dasar Presiden Umno Datuk Seri Najib Tun Razak
dalam Perhimpunan Agung Umno 2013 di sini Khamis.
Memuji langkah Umno membawa konsep inklusif dengan memberi
ruang kepada ulama di dalam parti, Fathul Bari berkata kewujudan portfolio itu
juga akan memperlihatkan kepada masyarakat peranan serta hala tuju ulama yang
dilantik dan secara tidak langsung rakyat dapat merasai impak kewujudan
golongan berkenaan di dalam Umno.
Fathul Bari, yang juga Penasihat Eksekutif Jawatankuasa
Himpunan Ulama Muda (ILMU), turut menyarankan agar kerajaan menubuhkan satu
institusi khas bagi menangani penyebaran hadis palsu.
"Kita cadangkan wujudkan satu institusi khas atau
kembangkan institusi yang ada, sebagai contoh lembaga penapisan teks Al-Quran
kepada hadis.
"Ini kerana antara satu dakyah untuk menyebarkan ajaran
sesat ialah melalui hadis palsu," katanya.
Menyentuh peranan mahasiswa, Fathul Bari meminta Umno
memberi perhatian yang seimbang kepada golongan itu di dalam dan luar negara.
Beliau berkata ini kerana mahasiswa adalah antara golongan
yang berperanan penting membantu dan menyumbangkan idea kritis serta kreatif
dalam pembangunan Umno. – BERNAMA
Sumber: mStar Online
No comments:
Post a Comment