Monday, December 16, 2013

SYIAH: PEMIMPIN PAS PERSOAL TINDAKAN KDN
SHAH ALAM - Jika kerajaan serius mengambil tindakan terhadap pengikut Syiah,  sewajarnya individu yang mengaku menganut ajaran itu yang perlu ditahan bukannya orang yang tidak mengaku ahli Syiah.

Demikian menurut Ahli Jawatankuasa Pas, Idris Ahmad yang menyifatkan tindakan Kementerian Dalam Negeri (KDN) yang memaksa Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu supaya mengemukakan bukti bukan pengikut Syiah merupakan perkara yang tidak munasabah.

“Sebelum ini kerajaan sendiri pernah umumkan jumlah pengikut Syiah, dan ada individu yang mengaku sebagai pengikut ajaran Syiah, jadi kenapa mereka pula tidak ditahan?

“Tapi yang disibukkan sekarang adalah orang yang tidak mengaku Syiah, ini yang jadi bahan ketawa orang ramai,” katanya kepada Sinar Harian.

Menurutnya, tindakan KDN yang ‘memburu’ Mohamad atau lebih dikenali Mat Sabu hanya untuk memberikan imej buruk kepada Pas.

“Ini semua ‘nasi tambah’ kepada isu lain untuk jatuhkan Pas. Sebelum ini isu agama, Melayu, raja dan sebagainya.

“Kalau betul KDN ada bukti, tolong dedahkan kerana kita juga mahu tahu bukti yang bagaimana untuk kaitkan Mat Sabu dengan Syiah, tidak perlu untuk beritahu bukti gred A, B atau pun C,” ujarnya yang juga Ahli Parlimen Bukit Gantang.

Sehubungan itu katanya, KDN perlu bertindak bukan hanya  bercakap memandangkan maklumat sudah pun ada untuk menahan pengikut Syiah.

“Kalau bukti sudah ada, buat apa suruh orang yang dituduh bertindak untuk menunjukkan bukti beliau tidak terlibat.

“Sekarang ini siapa yang mendakwa dan siapa pula yang didakwa. Jadi rasanya tidak perlu orang yang dituduh menampilkan bukti. Dakwa sahaja pihak yang mengikut  ajaran Syiah,” kata beliau.

Kelmarin, Penolong Setiausaha Bahagian Keselamatan dan Ketenteraman Awam  KDN, Dr Zamihan Mat Zain Al Ghari berkata, Mat Sabu perlu kemukakan bukti jika dirinya tidak terlibat fahaman Syiah.

Kata Zamihan, Mat Sabu perlu berhujah secara ilmiah bagi menafikan 10 bukti KDN yang mengaitkannya dengan fahaman Syiah.

Pada 12 Disember lalu, Ketua Setiausaha KDN, Datuk Seri Abdul Rahim Mohamad Radzi mendedahkan 10 bukti yang mengaitkan Mat Sabu dengan ajaran Syiah antaranya pernah ‘berselawat’ sebagaimana penganut Syiah pada satu sesi ceramah Pas, di Arau, Perlis.

Sumber: Sinar Harian

MAT SABU SURUH KDN CARI BUKTI TERLIBAT SYIAH

SHAH ALAM - Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu berkata, tidak ada keperluan untuk dirinya membuktikan bahawa beliau bukan pengamal ajaran Syiah, sebaliknya mereka yang menuduhnya lah perlu mengemukakan bukti sahih bagi mengaitkan dirinya dengan fahaman itu.

Malah katanya, meminta orang yang dituduh mengemukakan bukti bagi menafikan dakwaan ke atas dirinya juga bukan suatu amalan di negara ini.

"Bukti mesti dari yang menuduh... itulah amalan di Malaysia," ujarnya menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS) kepada Sinar Harian Online.

Mohamad yang lebih dikenali dengan panggilan Mat Sabu semalam digesa mengemukakan bukti bahawa dirinya tidak terlibat dengan fahaman Syiah.

Penolong setiausaha bahagian keselamatan dan ketenteraman awam KDN, Dr Zamihan Mat Zain Al Ghari berkata, Mat Sabu juga perlu berhujah secara ilmiah bagi menafikan 10 bukti yang dikeluarkan KDN Khamis lalu. 

"... tidak kiralah sama ada secara bersemuka dengan KDN, jawab dalam YouTube atau dalam surat khabar," katanya.

Beliau yang dipetik Mingguan Malaysia hari ini berkata, individu terdekat dan rapat dengan Mat Sabu turut menyatakan kesediaan untuk menjadi saksi mahkamah jika diperlukan.

"Ada yang 'sekapal' dari sudut politik, ada juga pengikut Syiah yang sudah bertaubat. Mereka ini rapat dengan pemimpin tersebut, orang yang berkawan dengannya, yang jadi 'anak buah' dia.

"Mereka menyaksikan apa yang dia cakap, buat dan libatkan aktiviti-aktiviti berkaitan Syiah.

"Mereka juga pernah bersama-sama dia ke Iran dan menghadiri mesyuarat-mesyuarat kumpulan Syiah," katanya.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi hari ini memberitahu, 10 bukti yang didedahkan kementeriannya sebelum ini hanyalah bukti gred B.

Ujarnya, KDN akan menyerahkan semua bukti yang mengaitkan orang nombor dua Pas itu kepada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) untuk tindakan lanjut.
  
"Segala bukti termasuk bukti gred A akan diserahkan kepada Jakim kerana kami (KDN) terlibat soal keselamatan manakala soal akidah kita serah kepada pihak berkuasa agama," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Karnival Sukan Air Bagan Datoh, hari ini.
  
Antara lain bukti yang didedah kementerian itu Khamis lalu ialah Mat Sabu didakwa menghadiri kelas agama anjuran dua pemimpin Syiah di Bukit Merah pada 2011 dan sering menyatakan rasa kagumnya terhadap pentadbiran pemimpin Syiah di Iran, Ayatollah Ruhollah Khomeini.

Sumber: Sinar Harian
SEMUA BUKTI MENGAITKAN MAT SABU DENGAN SYIAH DISERAHKAN KEPADA JAKIM

BAGAN DATOH: Kementerian Dalam Negeri akan menyerahkan semua bukti yang mengaitkan Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu dengan fahaman Syiah kepada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) untuk tindakan lanjut.

Menterinya Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata ia berikutan kes itu telah masuk ke peringkat penguatkuasaan.

"Segala bukti termasuk bukti Gred A akan diserahkan kepada Jakim kerana kami (KDN) terlibat soal keselamatan manakala soal akidah kita serah kepada pihak berkuasa agama," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Karnival Sukan Air Bagan Datoh di sini, Ahad.

Beliau berkata sebarang tindakan berhubung kes berkaitan Syiah dibuat oleh Jakim dan Majlis Agama Islam negeri.

KDN sebelum ini mendedahkan 10 bukti yang dikategorikan sebagai Gred B mengenai pembabitan Mohamad yang juga dikenali sebagai Mat Sabu dengan Syiah.

Bukti kukuh yang dikategorikan sebagai Gred A belum didedahkan kepada umum.

Ditanya sama ada bukti Gred A akan didedahkan kepada umum, Ahmad Zahid berkata bukti itu hanya akan diserahkan kepada Jakim.

Beliau yakin tindakan tegas akan diambil oleh pihak berkuasa agama terhadap mana-mana individu yang terlibat dengan fahaman syiah. – BERNAMA

Sumber: mStar Online

Friday, December 13, 2013

ISU FAHAMAN SYIAH BUKAN BERSIFAT SEMENTARA - JAMIL KHIR

PETALING JAYA: Isu melibatkan fahaman Syiah di negara ini bukan bersifat sementara sebaliknya usaha memerangi fahaman itu dilakukan secara konsisten, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom.
Beliau berkata Syiah perlu dibanteras kerana Majlis Fatwa Kebangsaan membuat ketetapan bahawa fahaman itu adalah haram diamalkan umat Islam di negara ini.

"Semua fahaman Syiah adalah haram dan bercanggah dengan akidah Ahli Sunnah Wal-Jamaah. Fatwa ini adalah untuk semua orang tidak kira parti politik, individu, kelompok, kumpulan dan mana-mana golongan.

"Siapa sahaja umat Islam yang mengamalkan fahaman Syiah (di Malaysia), dia adalah terkeluar daripada apa yang telah difatwakan daripada kelompok Ahli Sunnah Wal-Jamaah dan melanggar Enakmen negeri," katanya selepas merasmikan Majlis Kesyukuran Tamat Operasi Haji Musim 1434H/2013M di Kelana Jaya pada Khamis.

Jamil Khir berkata demikian ketika mengulas kenyataan Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu bahawa isu Syiah di negara ini bersifat sementara dan propaganda anti-Syiah akan berkurangan tidak lama lagi berikutan tindakan negara Barat kembali bersahabat dengan Iran.

Sumber: mStar Online


ISU SYIAH AKAN DITANGANI SEGERA DEMI KESELAMATAN NEGARA - AHMAD ZAHID

KUALA LUMPUR: Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mahu menangani segera Syiah di negara ini bagi memastikan tiada isu keselamatan yang mungkin dicetuskan penganut fahaman itu.

Sambil menegaskan tidak mahu berkompromi dalam soal keselamatan negara, katanya beliau juga tidak peduli jika ada pihak tertentu terutama pemimpin PAS yang mencemuh atau melempar cacian di atas ketegasannya memerangi Syiah.

"Dalam soal politik kita boleh berbeza pendapat tetapi bab akidah hanya satu iaitu Ahli Sunnah Wal Jamaah. Saya tidak akan berkompromi soal keselamatan kerana tidak mahu umat Islam di negara ini berpecah dua.

"Dalam Islam tiada fahaman lain selain sunni," katanya dalam sidang media selepas menyampaikan Anugerah Buku Negara 2013 di Pusat Dagangan Dunia Putra di sini, Khamis.

Ahmad Zahid yang juga Naib Presiden Umno turut meminta Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu supaya tidak berpura-pura atau bertaqiyyah setelah disahkan oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN) terlibat dengan fahaman Syiah.

Beliau mengulas kenyataan Ketua Setiausaha KDN Datuk Seri Abdul Rahim Mohamad Radzi di Putrajaya hari ini bahawa Mohamad cenderung dan terlibat dengan fahaman syiah di Malaysia berdasarkan 10 maklumat yang diterima kementerian.

Sumber: mStar Online 
MAT SABU PENGIKUT SYIAH, SOLAT GUNA BATU - KDN

PUTRAJAYA: Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengesahkan Mohamad Sabu yang juga Timbalan Presiden PAS terlibat dengan ajaran Syiah.
Ketua Setiausaha KDN, Datuk Seri Abdul Rahim Radzi berkata ini berdasarkan maklumat yang mengaitkan beliau dengan mazhab tersebut.

Abdul Rahim berkata maklumat-maklumat itu termasuk Mohamad membaca 'Selawat' mengikut ajaran Syiah.

"Beliau juga dalam beberapa majlis menyatakan rasa kagum terhadap kepimpinan dan perjuangan Khomeini," katanya pada sidang media di sini Khamis.

Abdul Rahim berkata, polis dan Jabatan Agama Islam Malaysia (Jakim) akan terus bekerjasama untuk membanteras aktiviti penyebaran ajaran Syiah di negara ini.

Sementara itu, BERNAMA melaporkan pemimpin nombor dua PAS yang dikenali sebagai 'Mat Sabu' itu didapati menggesa umat Islam mencontohi kepimpinan Islam berdasarkan cara ulama Syiah Iran Imam Khomeini melalui tulisannya bertajuk "Teladan Pemerintahan Nabi Yusuf Khomeini" dalam ruangan Fikrah, akhbar Harakah halaman 16 pada 5 hingga 15 Julai 2008.

"Selain itu, beliau dalam ucapannya sebagai Timbalan Presiden PAS pada 13 Jun 2011 turut menyatakan kekaguman dengan kepemimpinan dan perjuangan Khomeini yang banyak mencorak pemikiran beliau," kata Abdul Rahim.

Sebelum ini, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata seorang pemimpin PAS cenderung dan terlibat fahaman syiah.

Abdul Rahim juga berkata Mohamad semasa mengulas perutusan Hari Krismas pada 2008 bagi penganut Kristian di Malaysia, turut menggunakan pendekatan Imam Khomeini sebagai terma rujukan untuk meraih sokongan politik dan agenda perpaduan di mana kenyataan itu dimuatkan dalam Harakah Daily pada 25 Dis 2008.

Selain itu Abdul Rahim berkata temuramah dibuat oleh agensi berita 'Antara Pos' dengan Timbalan Presiden Jalur Tiga (Jati) Datuk Aidit Ghazali menjelaskan Mohamad merupakan ikon Syiah dan gagal menafikan dirinya mempunyai kaitan dengan Syiah.

"Beliau juga secara terang-terangan memuji Setiausaha Agung Syiah Lubnan iaitu Sayyid Hassan Nasrullah dan mengaku beliau dan isterinya kerap bertemu dengan pemimpin Syiah berkenaan lebih daripada empat hingga lima kali," katanya.

Menurut Abdul Rahim, berdasarkan maklumat Mohamad juga didapati membuat lawatan ke sebuah masjid Syiah di Kampung Aluar, Wilayah Satun, selatan Thailand pada 2011 untuk mengunjungi pemimpin Syiah dan menghadiri majlis ramah mesra di sana.

Menurutnya berdasarkan maklumat, pemimpin PAS itu juga didapati beberapa kali menghadiri kelas pengajian di sebuah rumah di Bukit Merah, Semanggol, Perak pada 2011, dan kelas pengajian itu dikendalikan dua ustaz berfahaman Syiah yang bertugas di sebuah daripada sekolah agama di Gunung Semanggol.

"Berdasarkan temuramah pegawai KDN Ustaz Zamihan Mat Zin bersama C.N. Afghani (sahabat Mat Sabu selama hampir 20 tahun) di Masjid Jamek, Kuala Lumpur pada 9 Dis 2013 yang menjelaskan Mohamad kerap kali melawat Iran dan pernah terlibat dalam program penghantaran pelajar Malaysia di Qom, Iran," kata beliau.

Selain itu menurut temuramah Ustaz Zamihan bersama Prof Madya Dr Abdul Aziz Hanafi (tokoh ulama) semalam, Abdul Aziz menjelaskan Mohamad pernah melafaz selawat seperti diamalkan penganut Syiah pada satu sesi ceramah PAS di Madrasah Diniah, Arau, Perlis pada 2005, kata Abdul Rahim.

"Tuan Guru Haji Abd Rahim dari Sg Jagung, Pendang, Kedah juga menjelaskan Mohamad merupakan salah seorang penganut Syiah kerana beliau sendiri beberapa kali pernah melihat Mohamad menunaikan solat menggunakan sebiji batu kecil leper di tempat sujudnya. "Amalan ini sinonim dengan golongan Syiah," katanya.

Sehubungan itu Abdul Rahim berkata segala fakta dikemukakan jelas menunjukkan pemimpin PAS itu mempunyai kaitan dengan fahaman dan aktiviti Syiah.

"Secara kesimpulan, Mohamad juga menggesa umat Islam Malaysia mencontohi pemikiran dan corak pemerintahan Imam Khomeini yang jelas berasaskan Syiah.

"Selain itu keterangan beliau sendiri melalui kata-kata, penulisan, rakaman ceramah dan aktiviti yang disertainya sama ada di dalam atau luar negara tidak dapat sama sekali menyembunyikan kaitan beliau dengan Syiah," kata Abdul Rahim.

Selain itu, keterangan daripada rakan-rakan Mohamad yang pernah bersama-sama berjuang dalam lapangan politik yang sama turut memperakui kaitan beliau dengan Syiah, katanya.

Abdul Rahim berkata menerusi maklumat-maklumat yang disampaikan itu, ia jelas menunjukkan KDN dan agensi-agensi kerajaan yang lain sentiasa memantau dan peka dengan ancaman kegiatan dan fahaman Syiah.

Katanya fahaman itu boleh menjejaskan aspek keselamatan dan ketenteraman awam termasuk perpecahan dan keruntuhan nilai persaudaraan ummah.

Sumber: mStar Online

Thursday, December 12, 2013

TAMBANG LRT, MONOREL NAIK?

SHAH ALAM - Tambang bagi pengangkutan awam jenis LRT dan monorel dijangka naik pada tahun depan.

Pengerusi Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD), Tan Sri Syed Hamid Albar menyatakan sedang mengkaji semula struktur tambang pengangkutan awam itu.

Beliau juga berkata, peningkatan itu bergantung kepada peningkatan tarif elektrik yang akan bermula Januari depan.

"Sudah 10 tahun tambang tak pernah dinaikkan, jadi kadar tambang LRT dijadualkan akan naik tahun depan," katanya dipetik The Malay Mail.

Dalam pada itu, Syed Hamid berkata, kajian itu akan dilakukan secara menyeluruh dan mengambil kira beberapa faktor untuk memastikan kenaikan itu tidak membebankan rakyat.

"Ia akan menjadi satu keadaan menang-menang antara kemampuan orang ramai dan kemampanan industri kereta api.

"Kita sedar kenaikan bahan api dan kos tenaga boleh menyebabkan kesan negatif dengan bilangan penumpang yang rendah dan mengurangkan  pasaran saham pengangkutan awam," katanya.

Selain itu, Syed Hamid berkata, sebarang keputusan yang dibuat akan memastikan jangka panjang industri rel mampan dan kurang bergantung kepada sokongan kewangan kerajaan.


Sumber: Sinar Harian