Monday, November 18, 2013

HUDUD: PENGAJARAN TERBAIK JAUHI JENAYAH

SHAH ALAM – Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM) melihat perlaksanaan hudud perlu bagi memberi peringatan dan pengajaran buat masyarakat supaya tidak terlibat dengan jenayah.

Presidennya, Musa Awang berkata,  dari segi konsep hukumannya wujud bertujuan untuk menggerunkan masyarakat daripada melakukan kesalahan.

“Sebenarnya masyarakat tidak perlu bimbang jika hudud ini dilaksanakan kerana biarpun hukumannya berat namun ia cukup sukar untuk dibuktikan dan dijatuhkan kepada tertuduh.

“Namun hukuman ini perlu ada kerana ia akan menjadi pengajaran terbaik dan mengingatkan masyarakat untuk menjauhi jenayah dan seterusnya negara menjadi lebih aman,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Menurutnya, terdapat dua perkara membolehkan mahkamah syariah menjatuhkan hukuman hudud kepada pesalah.

“Hukuman hudud boleh dikenakan sekiranya tertuduh mengaku melakukan kesalahan tersebut dan satu lagi adalah empat orang saksi yang melihat sendiri kejadian yang berlaku.

“Jika kedua-duanya tiada maka tertuduh itu akan menerima hukuman yang sedia ada pada hari ini bukannya hudud,” katanya.

Selain itu, Musa berkata, masyarakat bukan Islam juga tidak perlu risau kerana tidak terlibat dalam perlaksanaan hudud ini.

“Sebesar mana pun kesalahan mereka, masyarakat bukan Islam tidak akan dikenakan hukuman hudud. Jadi mereka tidak perlu takut,” katanya.


Sumber: Sinar Harian

HUDUD TIDAK SEMUDAH DIRANCANG

KOTA BHARU - Pelaksanaan hudud di Kelantan tidak semudah dirancang memandangkan ada negara yang gagal untuk melaksanakannya.

Bekas Mufti Perlis, Prof Madya Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin berkata, perkara itu tidak boleh dipandang remeh kerana ia memerlukan syarat yang kondusif sebelum dilaksanakan.

“Saya tidak menentang hudud, tentu sekali tidak, malah saya bersetuju dengan hudud dan kita perlu melaksanakan hudud jika cukup syarat.

Prof Madya Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin “Banyak perkara yang perlu dibincangkan melibatkan semua pihak dan apabila syarat kondusif kita buat, dalam jalan nak pergi ke hudud banyak perkara yang perlu diselesaikan,” katanya pada forum 'Sembang Politik' di sini, semalam.

Menurutnya, sejarah pelaksanaan hudud dalam negara moden dapat dilihat apabila Pas berani mencuba tetapi cubaan itu bukan sesuatu yang mudah.

“Contohnya, Pakistan yang sebelum ini telah melaksanakan enakmen hudud tapi tidak berjaya, begitu juga Libya, termasuk Nigeria Utara yang hanya melaksanakannya buat seketika kemudian menghentikannya apabila seorang wanita direjam kerana berzina,” katanya.

Mohd Asri berkata, setakat ini hanya Arab Saudi yang berjaya melaksanakan enakmen undang-undang Islam itu.

Beliau berkata, pelaksanaan hudud memerlukan persediaan yang rapi supaya apa yang dilaksanakan nanti tidak dipertikai oleh mana-mana pihak.


Sumber: Sinar Harian