KUALA LUMPUR:
Mencari rezeki dengan bekerja di Malaysia merupakan pilihan terbaik menurut pandangan
sebahagian warganegara Indonesia yang sudah lama bekerja di negara ini dalam
sektor-sektor yang dibenarkan kerajaan.
Mereka
mengakui murah rezeki di bumi Malaysia kerana terdapat banyak dan luasnya
peluang pekerjaan selain faktor majikan yang baik bagi yang bekerja sebagai
pembantu rumah, upah yang lumayan bagi pekerja sektor lain berbanding dengan di
kampung asal mereka dan berasa aman tinggal di sini dengan mempunyai surat
perjalanan dan visa yang lengkap.
Aspek surat
dan dokumen perjalanan yang sah sentiasa menjadi nasihat utama Duta Besar
Indonesia di Malaysia yang baru Herman Prayitno kepada warga Indonesia di segenap
ceruk rantau Malaysia.
Beliau tidak
mahu warga Indonesia yang bekerja di negara ini mengambil mudah hal ehwal
pengurusan dokumen penting seperti pasport dan pembaharuan permit kerja bagi
mengelak sebarang kesulitan kepada pekerja, yang sekali gus dapat pula menjamin
hak-hak mereka sebagai pekerja di negara ini.
"Selain
itu, warga Indonesia di Malaysia juga harus menjunjung undang-undang negara
ini, bekerja dengan baik dan hidup dengan aman," katanya pada satu
pertemuan dengan sebahagian warga negara Indonesia di sini baru-baru ini.
Sehingga kini
dianggarkan terdapat seramai dua juta warganegara Indonesia yang bekerja di
Malaysia dengan 20 peratus daripadanya bekerja sebagai pembantu rumah.
Banyak
pengalaman manis dan menarik yang dialami oleh tenaga kerja Indonesia di
Malaysia, juga cerita-cerita kejayaan mereka membantu menyara keluarga di tanah
air , malah mengumpul cukup wang untuk membeli serba sedikit harta seperti
rumah dan kenderaan di kampung halaman.
Seorang
pembantu rumah warga Indonesia, Sutini, 37, tidak pernah menyangka majikannya
memberikan limpahan kasih sayang dan menghormati dirinya sekali gus mengubati
kerinduannya kepada keluarga di Indonesia.
"Saya
sayang kepada majikan sebab saya hormati dia dan pada masa yang sama dia pun
hormati saya serta beri kebebasan kepada saya di sini...saya memang untung
mendapat majikan sepertinya.
"Dulu
saya pernah jaga ibu majikan saya semasa dia jatuh sakit, jadi dia (majikan)
tahu saya ikhlas. Saya jaga emaknya seperti ibu sendiri sebab saya pun tiada
ibu sejak kecil," katanya yang kemudiannya pula menjaga majikannya yang
disahkan doktor menghidap barah kerongkong.
Sutini yang
telah berkhidmat selama lapan tahun sebagai pembantu rumah kepada Ngeow Yee
Kong, 50, di Cameron Highlands turut diberi kepercayaan untuk menguruskan
perniagaan sayur setelah majikannya itu jatuh sakit.
Sementara itu,
seorang lagi pembantu rumah dari Indonesia, Khomisah Khasanudin, 39, berkata
umpama mimpi, beliau tidak menyangka berpeluang meningkatkan kemahiran dan
pengetahuan dengan belajar bahasa Inggeris apabila menjejak kaki ke Kuala
Lumpur.
"Apatah
lagi, dapat belajar pula secara gratis (percuma).(I) cannot believe. (When I)
go back home (to East Java) I can talk English," katanya ketika ditemui
Bernama di kelas yang diadakan di tingkat atas sebuah restoran makanan
Indonesia dekat Pasar Seni baru-baru ini.
Mengakui buta
huruf, beliau belajar dengan cara menghafal dan mengulangi lafaz dan kata-kata
untuk perbualan harian dalam bahasa Inggeris.
Bekerja di
rumah majikannya di Bangsar, dia hanya mengeluarkan belanja RM4 seminggu sekali
untuk tambang bas pergi balik ke kelas itu selain sedikit lagi untuk makan
tengah hari bersama rakan sekelas.
"Saya
juga beruntung kerana majikan tidak menghalang, sebaliknya sangat kuat
mendorong saya belajar untuk menambah pengetahuan," katanya, yang
menganggap Malaysia sebagai bumi bertuah baginya.
Sutini dan
Khomisah adalah dua cerita kejayaan rakyat Indonesia membina kehidupan yang
lebih baik untuk keluarga mereka di kampung halaman dengan hasil rezeki halal
yang diperolehi di Malaysia.
Banyak lagi
tenaga kerja Indonesia yang mempunyai cerita-cerita manis termasuk yang
berpeluang melawat ke pelbagai negara dan juga mengerjakan umrah bersama
majikan mereka.
Bagi Ketua
Kumpulan Ibu-Ibu Indonesia yang menetap di Malaysia atau dikenali 'IndoKL
Women', Yuri Hudiyana Utami yang sudah hampir 10 tahun menetap di negara ini
kerana mengikut suaminya yang bertugas sebagai Pengurus Teknologi Maklumat di
sebuah sekolah antarabangsa, rasa kekok menyesuaikan diri hanya sebulan dua
terawal sahaja.
Faktor bahasa
yang hampir sama, sosiobudaya yang tidak banyak berbeza, pelbagai kemudahan
awam dan keramahan rakyat Malaysia berbilang kaum serta keadaan aman damai
merupakan antara penambat hati mereka untuk terus menetap di negara ini.
"Layanan
baik yang saya terima daripada rakan dan sahabat handai Malaysia termasuk jiran
tetangga dan rakan-rakan sekerja suami, membuatkan saya cepat merasa seperti
berada di rumah sendiri. Saya percaya ramai lagi yang mempunyai pengalaman sama
dengan saya.
"Benar,
tidak susah untuk jatuh hati kepada Malaysia dan rakyatnya. Asal ikhlas bergaul
dengan jiran-jiran, kita dapat rasai keikhlasan dan penerimaan mereka...secara
tak langsung boleh ubah pandangan kita terhadap orang Malaysia dan juga
pandangan orang Malaysia terhadap orang Indonesia," katanya.
Beliau berkata
hal fasiliti yang lebih teratur dan sistematik serta sistem pemerintahan yang
diterajui dengan baik oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak turut
memberi keselesaan kepada mereka untuk terus tinggal di sini.
Bagi wartawan
Aulia Badar pula, pengalaman yang ditimba di Malaysia bukan sekadar melaporkan
mengenai perkembangan ekonomi, sosio-budaya dan pendidikan di negara ini untuk
tatapan warga Indonesia, malah turut membuka peluang baginya berbakti kepada
sesama tenaga kerja Indonesia di sini.
Kelas latihan
bahasa Inggeris dan komputer dan yang diusahakannya dengan beberapa lagi ekspatriat
profesional Indonesia di sini sudah melatih lebih 100 rakan senegara menimba
kemahiran baru, malah kini diperluaskan dan dengan kebenaran Kedutaan Indonesia
dipindahkan ke premis tetap di Sekolah Indonesia di sini untuk menampung lebih
banyak permintaan. - BERNAMA/mStar