RAFIZI
LETAK JAWATAN BUKAN KEJUTAN, AKAN LEBIH MANTAPKAN PARTI - ZURAIDA
PETALING JAYA: Pengumuman peletakan jawatan sebagai Ketua
Eksekutif Pejabat Penasihat Ekonomi Selangor oleh Rafizi Ramli, pada Khamis
merupakan salah satu strategi untuk memantapkan jentera parti.
Ketua Wanita Parti Keadilan Rakyat (PKR), Zuraida Kamaruddin
berkata, pengumuman yang dibuat Rafizi juga bukan satu kejutan dalam PKR kerana
kebanyakan pimpinan tertinggi parti telah mengetahui hasrat Rafizi untuk
melepaskan jawatan yang disandang sejak 2009.
"Sebenarnya beliau sudah lama 'bersuara' sebab mahu beri
tumpuan dalam parti sepenuh masa. Saya dan pimpinan tertinggi tak terkejut.
"Tiada kaitan dengan dakwaan pergolakan dalam parti,
malah tindakan beliau itu sebenarnya akan lebih memantapkan parti dan
jenteranya," katanya ketika dihubungi mStar Online, Jumaat.
Menurut Zuraida, Rafizi yang memegang jawatan pengarah
strategi PKR perlu meluangkan lebih banyak masa kerana beliau dijangka akan
bertanding dalam pilihan raya yang akan diadakan pada bila-bila masa dari
sekarang.
Malah, Ahli Parlimen Ampang itu juga menegaskan sudah tiba
masanya untuk Rafizi 'turun padang' bagi membina dan memantapkan imej beliau
sebagai calon yang akan bertanding dalam Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13). –Mstar
Online