Ahli Majlis
Tertinggi Umno, Dr Mohd Puad Zarkashi mendakwa Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar
Ibrahim terlibat dalam keputusan Datuk Seri Lajim Ukin mengumumkan peletakan
jawatan sebagai Anggota Majlis Tertinggi Umno dan Ketua Umno Bahagian Beaufort,
Sabtu lalu.
Beliau
berkata, Lajim mengambil keputusan itu kerana mengikut nasihat Anwar yang
didakwa berkemungkinan menawarkan wang kepada Timbalan Menteri Perumahan dan
Kerajaan Tempatan itu.
“Tidak
mustahil pendekatan kewangan telah digunakan oleh Anwar yang menasihati Lajim
untuk meletakkan jawatannya setelah melihat kata duanya tidak didengari Perdana
Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
“Kita tahu
yang Anwar sekarang juga digelar ‘3 billion Man’ seperti yang dilaporkan media
sebelum ini. Maka, berkemungkinan dia menggunakan sumber kewangan itu untuk
memujuk Lajim meninggalkan parti,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.
Katanya lagi,
sebelum ini Lajim yang mengumumkan penubuhan Pakatan Perubahan Sabah (PPS)
sejurus selepas peletakan jawatannya dikatakan cuba bermain 'tarik tali' dan melambatkan
tindakannya melepaskan jawatan ahli Umno.
Menurutnya,
Lajim sengaja melambatkan tindakan dan membuat urusan tawar-menawar kepada
parti. Malah, apabila pendekatan yang digunakan tidak berkesan, dia mula
merancang melepaskan kedua-dua jawatan itu.
“Tindakan itu
tidak memberi implikasi buruk kepada Barisan Nasional (BN), kerana tiada impak
ahli kita yang keluar beramai-ramai mengikut jejak langkahnya. Kita sedikit pun
tidak hairan kepadanya,” katanya.
Katanya,
tindakan Lajim itu tidak beri kesan kepada penentuan tarikh Pilihan Raya Umum
Ke-13 (PRU13) yang dibuat Perdana Menteri. -Sinar Harian
No comments:
Post a Comment