SHAH ALAM - Orang muda mengharapkan pemimpin yang bersih,
tidak menimbulkan propaganda, dan berasaskan ilmu bukannya auta - ini jawapan
kepada Debat Sinar Harian yang mengupas tajuk "PRU13: Orang Muda Pilih
Siapa?", semalam.
Kedua-dua pendebat, Ketua Pemuda Pas Nasrudin Hassan Tantawi
dan Pengerusi Jawatankuasa Kerja Sekretariat Ulama Muda Umno, Fathul Bari Mat
Jahaya bersetuju bahawa generasi muda mahukan perubahan dalam landskap politik
pada masa kini.
Mereka juga bersetuju bahawa orang muda tidak mahu pemimpin
yang suka mencetuskan huru-hara dan menyebarkan persepsi, sebaliknya mahu dunia
politik yang telus dan adil seperti
disyariatkan Islam.
Fathul Bari berkata, sebagai permulaan terhadap usaha
mengubah struktur politik di negara ini, golongan muda perlu bijak menganalisis
fakta yang mereka perolehi.
"Mereka perlu memilih pemimpin yang mampu mengangkat
kedudukan agama Islam dan bukannya pemimpin yang berpolitik menggunakan
persepsi," katanya.
Nasrudin pula menegaskan, orang muda yang mahukan perubahan
perlu memilih pemimpin mampu memberi perubahan tersebut di negara ini.
"Saya pasti orang muda kini jemu dengan politik
perkauman, berat sebelah dan tidak boleh bersuara," katanya.
Generasi muda dijangka penentu hala kemenangan parti
bertanding dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) berdasarkan jumlah pengundi
muda yang meliputi 38.8 peratus atau 4.5 juta daripada lebih 12 juta pengundi
di negara ini.
Justeru, Pensyarah Jabatan Pengajian Strategik dan
Antarabangsa, Fakulti Sastera dan Sains Sosial, Universiti Malaya, Prof Datuk
Mohamad Abu Bakar yang juga moderator debat siri ketiga ini berpendapat, PRU13
akan menjadi pilihan raya paling sengit dalam sejarah negara ini.
Dalam pada itu, ketika ditemui selepas debat, Fathul Bari Mat
Jahaya menegaskan, pengetahuan mendalam mengenai agama semata-mata tidak
mencukupi untuk menjadikan seseorang itu pemimpin yang berwibawa.
Menurutnya, apa yang perlu menjadi keutamaan sebelum memilih
pemimpin adalah sifat ketokohan yang lengkap, iaitu mempunyai asas agama yang
kukuh, ilmu pengetahuan yang tinggi dan minda yang cerdas
“Apa yang penting adalah pemimpin itu amanah dan mempunyai
pengetahuan asas dalam pengurusan negara termasuk agama, ekonomi, dan tadbir
urus. Kalau seseorang itu kuat agama tetapi tidak boleh mengurus negara dengan
baik, dia juga tidak patut diangkat sebagai pemimpin,” katanya.
Pendapat beliau itu turut dikongsi Nasrudin yang bersetuju
seseorang pemimpin itu perlu mempunyai kemampuan dari segi pengetahuan dan
amanah dalam menjalankan tanggungjawab.
Kata Nasrudin, bagi calon bukan Islam pula, ciri-ciri pemimpin
yang perlu dipilih adalah mempunyai moral yang baik dan jati diri yang tinggi
serta kecekapan memimpin.
Sementara itu, ditanya mengenai peranan pemimpin yang perlu
menunjukkan contoh baik dalam usaha mewujudkan masyarakat yang baik, Fathul
Bari berkata, rakyat juga memainkan peranan dalam membentuk negara yang baik,
dengan memberi contoh zaman Khalifah Ali bin Abi Talib.
“Semasa zaman Ali, banyak berlaku masalah dalam masyarakat,
tidak seperti zaman khalifah sebelumnya. Apabila ditanya kepada Ali, dia
berkata: ‘Semasa zaman khalifah sebelum ini, aku adalah rakyat. Pada zaman aku,
kamu adalah rakyat’.
“Ini menunjukkan kadang-kala rakyat juga boleh memberi kesan
tidak baik kepada pemimpin, jadi kita perlu bersama muhasabah diri mengenai
sikap masing-masing,” katanya.
No comments:
Post a Comment