KUALA LUMPUR:
Pusat Kewartawanan Bebas (CIJ) Malaysia mengumumkan hasratnya untuk
melancarkan Hari Internet Blackout pada 14 Ogos 2012.
Ia merupakan
sebahagian daripada kempen menentang Seksyen 114A yang merupakan pindaan
terbaru terhadap Akta Keterangan 2012 yang diwartakan pada 31 Julai lalu.
Kempen ini
bertujuan untuk menyedarkan para pengguna Internet tentang kesan negatif
pindaan ini terhadap kebebasan berinternet.
Hari Internet
Blackout ini mengambil contoh usaha yang dilakukan aktivis-aktivis di Amerika
Syarikat dan New Zealand untuk memperjuangkan kebebasan berinternet di negara
masing-masing.
Untuk tempoh
24 jam, para pengguna Internet yang berkunjung ke laman-laman web yang
mengambil bahagian akan dapat melihat paparan yang mempunyai mesej kempen
tersebut.
CIJ menyeru
para pengguna Internet di Malaysia untuk menyertai kempen ini dengan memaparkan
paparan yang direka khas tersebut pada laman web serta blog mereka.
Pengguna
Facebook dan juga Twitter juga digalakkan menukar gambar profil dan avatar
dengan warna hitam atau gambar yang boleh dimuat turun melalui CIJ.
Pegawai
Eksekutif Pusat Kewartawanan Bebas, Masjaliza Hamzah berkata objektif
pelaksanaan kempen tersebut ialah untuk menggesa Kerajaan untuk menarik semula
pindaan terbabit yang dipercayai telah diluluskan secara tergesa-gesa di
parlimen empat bulan lalu.
Sebelum ini,
pemerhati media tersebut telah melancarkan e-petisyen untuk menggesa pihak
Kerajaan menarik semula Seksyen 114A Akta Keterangan 2012 kerana pindaan
tersebut dikatakan mengancam kebebasan berinternet dan mengandaikan kesalahan
di pihak tertuduh tanpa dibuktikan kesalahannya terlebih dahulu.
Petisyen yang
ditandatangani oleh lebih daripada 3300 pengguna Internet tersebut kemudiannya
diserahkan kepada Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk VK Liew di
parlimen.
CIJ juga telah
menganjurkan forum terbuka bertajuk ‘Seksyen 114A: Pencegahan Jenayah atau
Tapisan Internet?’ untuk membincangkan kesan-kesan pindaan terbabit.
Pindaan kedua
terhadap Akta Keterangan itu telah menarik perhatian ramai pihak termasuk para
peguam dan juga pemilik restoran yang menyedia kemudahan Wi-Fi.
Seksyen 114A
bukan sahaja mengandaikan kesalahan di pihak tertuduh, bahkan juga menjadikan
individu-individu yang terlibat dalam menyediakan perkhidmatan berkaitan
Internet seperti ruang forum, blog dan pengehosan web bertanggungjawab terhadap
segala bahan yang terkandung dalam perkhidmatan mereka.
Di bawah
pindaan terbaru ini, seseorang pengguna Internet yang akaun atau komputernya
digodam dianggap bertanggungjawab terhadap segala bahan yang dimuat naik atau
turun oleh penggodam.
Kempen untuk
Hari Internet Blackout ini telah menerima sambutan yang positif daripada
kalangan pengguna Internet.
Laman-laman
web popular seperti laman jual beli lelong.com.my, komuniti forum cari.com.my,
dan portal hiburan gua.com.my telah menyatakan hasrat untuk menyertai kempen
ini.
Selain itu,
laman berita seperti Malaysiakini, Harakahdaily, Free Malaysia Today, The Nut
Graph dan Digital News Asia turut sama menunjukkan minat.
Blogger
seperti Niki Cheong dan Nat Tan juga akan turut serta dalam kempen ini.
Pengguna
Internet yang ingin mengambil bahagian boleh menghubungi CIJ melalui emel
cijmalaysia@gmail.com atau telefon di talian 03-4024 9840.
Untuk
keterangan lanjut sila berkunjung ke blog rasmi kempen di
www.stop114a.wordpress.com atau laman Facebook di
https://www.facebook.com/evidenceamendmentact.
No comments:
Post a Comment