PETALING JAYA 5 Sept. - Isu harga rumah yang melambung tinggi
di Lembah Klang merupakan antara intipati yang bakal dibentangkan dalam Bajet
2013 pada 28 September ini.
Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Donald Lim Siang Chai
berkata, isu tersebut mendapat perhatian kerajaan kerana ia adalah cadangan
utama rakyat untuk dipertimbangkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun
Razak.
"Kerajaan cukup sedar tentang kegelisahan dan
kebimbangan seluruh rakyat tentang kenaikan harga rumah yang drastik dan tidak
munasabah terutama di Kuala Lumpur dan Selangor.
"Kita sedang menilai dan akan menangani dengan cara
terbaik masalah itu termasuk menambah baik Skim Rumah Pertamaku," katanya
ketika ditemui selepas melancarkan portal kemudahan dagangan mytradelink di
sini hari ini.
Beliau turut membayangkan kemungkinan kerajaan akan menilai
semula harga rumah kos rendah serta membabitkan penyertaan lebih banyak
institusi perbankan dalam pembiayaan kediaman berkenaan.
Bagaimanapun, Donald enggan mengulas lanjut dan meminta
rakyat sabar menanti Bajet 2013 yang kini dalam peringkat akhir disediakan.
"Bajet 2013 boleh dianggap sebagai bajet terbaik bagi
menghadapi krisis ekonomi dunia dan transformasi Malaysia untuk mencapai negara
berpendapatan tinggi pada 2020.
"Memang rakyat mahu tahu pelbagai perkara dalam bajet
ini termasuk penurunan cukai pendapatan individu dan insentif-insentif lain.
Jadi kena tunggulah 28 September ini," ujarnya.-Utusan Online
No comments:
Post a Comment