Karpal Singh
|
PETALING JAYA -
Pengerusi DAP, Karpal Singh memberi amaran pendirian Mursyidul Am Pas, Datuk
Nik Abdul Aziz Nik Mat untuk tetap melaksanakan hudud bakal memberi kesan tidak
baik terhadap pembangkang pada pilihan raya umum akan datang.
"Pas akan
diberi nasihat secara mendalam agar mematuhi peruntukan Perlembagaan yang telah
diterima pakai sejak negara mencapai kemerdekaan," katanya sebagai reaksi
segera kepada pendirian terbaru Nik Abdul Aziz.
Menteri Besar
Kelantan itu sebelum ini melalui laman blognya menegaskan, pelaksanaan hudud
tidak boleh dilengah-lengahkan kerana ia diwajibkan di dalam Islam dan hukum
tersebut bukan satu pilihan untuk manusia menerima atau menolak.
"Tiada
hukum atau undang-undang di dunia ini sama ada di bawah sistem demokrasi mahu
pun komunis yang menunggu rakyat faham dan setuju dahulu baru ia
dilaksanakan," kata Nik Aziz pada 24 Ogos lalu.
Menurut Karpal
seperti dipetik dalam akhbar The Sun hari ini, hujah Mursyidul Am Pas itu tidak
mempunyai asas undang-undang selain tidak rasional kerana ia mengabaikan
jangkaan awam bahawa semua undang-undang yang diluluskan di Parlimen, mesti
selaras dengan Perlembagaan Persekutuan.
"Malah
Parlimen juga tunduk kepada Perlembagaan. Parlimen tidak boleh melulus atau
mengiktiraf undang-undang yang diluluskan Dewan Undang Negeri (DUN) yang
bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan," katanya merujuk kepada Enakmen
Kod Jenayah Syariah Negeri Kelantan yang diluluskan Pas 19 tahun lalu.
Dalam pada
itu, Karpal menolak dakwaan Nik Abdul Aziz kononnya hukum hudud tidak boleh
dilaksanakan di Kelantan kerana wujud bantahan dari Kerajaan Persekutuan.
"Undang-undang
seperti hudud adalah terbatal penubuhannya. Persetujuan dari Kerajaan
Persekutuan tidak serta tidak boleh memberi apa-apa kuasa," tegas Karpal
yang konsisten menolak hasrat Pas untuk melaksanakan hukum hudud di negara ini.
"Pas
perlu menerima realiti. Walaupun ia pahit, desakan agar hukum hudud
dilaksanakan di Malaysia hanyalah retorik semata-mata," tambahnya.
Perdebatan dan
perbalahan antara Pas dan DAP mengenai hukum hudud berterusan selepas isu itu
kembali ditimbulkan Ketua Dewan Pemuda Pas Pusat, Nasruddin Hasan baru-baru.
Bagaimanapun
Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim sendiri sudah menegaskan bahawa
pakatan pembangkang tidak akan melaksanakan hukum hudud selagi tidak mendapat
persetujuan DAP dan hukum itu juga tiada dalam perancangan Buku Jingga. -UtusanOnline
No comments:
Post a Comment