SHAH ALAM:
Kerajaan Negeri Selangor masih belum membuat sebarang keputusan berhubung
pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) secara serentak ataupun berasingan
dengan pembubaran Parlimen oleh kerajaan Persekutuan bagi memberi laluan kepada
pilihan raya umum ke-13 (PRU-13).
Menteri Besar
Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, perancangan untuk membuat pilihan
raya DUN berasingan atau serentak dengan PRU-13 merupakan strategi kerajaan
negeri namun ini bergantung kepada pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Najib
Tun Razak dalam menentukan tarikh PRU-13.
"Kita tak
tahu tarikh pilihan raya yang sebenar...ini adalah jawapan kepada spekulasi,
ada baiknya pilihan raya berasingan dan ada baiknya pilihan raya di buat secara
bersama...perbincangan ini berdasarkan spekulasi (berhubung tarikh pilihan
raya) dan strategi bagaimana kita mahu menghadapinya," katanya kepada
pemberita di sini, Selasa.
Beliau berkata
demikian ketika diminta mengulas mengenai kenyataan Ketua Pembangkang Datuk
Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini yang mengumumkan pendiriannya bahawa Selangor
tidak akan mengadakan pilihan raya negeri serentak dengan negeri-negeri lain
pada PRU-13.
Anwar, yang
juga anggota Parlimen Kepala Batas turut menjangkakan PRU-13 diadakan November
berpandukan isyarat yang semakin jelas ditunjukkan oleh Perdana Menteri.
Abdul Khalid
berkata: "Kita tengoklah pada strategi, ada baiknya kita buat pilihan raya
berasingan...namun ikutlah pada keperluan...jika pilihan raya di buat pada 8
Mac tahun depan, tidak bolehlah kita nak buat pilihan raya berasingan.
"Apa yang
diperkatakan oleh Datuk Seri Anwar itu hanyalah strategi pilihan raya bagi
pihak kita...sebab orang bertanya (berhubung pilihan raya berasingan)kepada
dia...jadi dia pun jawablah," katanya.
Abdul Khalid
berkata sebab utama kerajaan negeri belum membuat keputusan untuk membubarkan
Dewan Undangan Negeri (Dun) secara serentak atau tidak adalah kerana pihaknya
mahu memastikan pengundi dalam daftar pemilih Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR)
benar-benar bersih.
"Sehingga
kini, kita dapati hampir 50,000 orang pengundi masih belum dapat dikenal pasti
status mereka di Selangor ini dan kita akan menggunakan pelbagai cara untuk
mencari dan mengenal pasti kewujudan pengundi ini," kata Menteri Besar.-BERNAMA/MStar
No comments:
Post a Comment