PETALING JAYA: Klip video kontroversi Innocence of Muslims masih boleh
ditonton di laman YouTube oleh pengguna internet di Malaysia walaupun langkah
untuk menyekat akses kepada kandungan tersebut dilakukan.
Berikutan sekatan oleh enjin carian gergasi Google, yang memiliki
YouTube, beberapa pautan kepada klip video itu memaparkan mesej:
"Kandungan ini tidak boleh didapati di negara anda kerana aduan
undang-undang."
Bagaimanapun, sehingga pukul 7.30 malam Isnin, beberapa salinan lain
klip berdurasi 14 minit yang disiarkan di laman web perkongsian video itu masih
boleh ditonton tanpa sekatan oleh pengguna internet tempatan.
"SKMM (Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia) telah
diminta untuk membuang kandungan dan Google telah mengambil tindakan ke atasnya
tetapi masalah yang muncul sekarang ialah salinan video itu sedang dibuat dan
dimuat naik di YouTube," kata sumber industri internet yang biasa
berhadapan dengan situasi berkenaan.
Sumber itu berkata sesuatu yang sukar untuk menghapuskan semua salinan
jika jumlah yang besar dimuat naik.
Sekatan kandungan klip Innocence of Muslims dibuat berikutan permintaan
SKMM pada Sabtu lalu ekoran kemarahan masyarakat Islam dunia terhadap penyiaran
video yang menghina Nabi Muhammad.
Ketua Komunikasi dan Perhubungan Awam Google Malaysia, Zeffri Yusof
ketika dihubungi bagaimanapun enggan menyatakan langkah yang bakal diambil
syarikat itu namun menyatakan jaminan bahawa Google akan memandang berat semua
permintaan SKMM.
"Apabila kita diberitahu bahawa sesuatu video itu menyalahi
undang-undang negara terbabit, kita akan menyekat akses kepadanya selepas
kajian menyeluruh dijalankan," katanya ketika dihubungi The Star. -MStar
No comments:
Post a Comment