KOTA BHARU 2 Sept. - Mursyidul Am Pas, Datuk Nik
Abdul Aziz Nik Mat (gambar) mengutuk perbuatan biadab peserta Himpunan Janji
Bersih yang memijak gambar Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan
isteri, Datin Seri Rosmah Mansor.
Beliau dengan nada marah berkata perbuatan memalukan
itu bertentangan dengan amalan Islam dan budaya Melayu serta individu-individu
terbabit sebenarnya telah dirasuk 'pelesit'.
Nik Abdul Aziz turut meluahkan kekecewaannya dengan
tindakan peserta perhimpunan itu yang mahu menukar Jalur Gemilang kerana ia
sudah diterima masyarakat antarabangsa.
"Kerja ini bukan kerja orang Melayu dan bukan
kerja orang Islam tetapi benda lain yang sudah dimasuki pelesit. Ini
sangat-sangat dukacita dan memalukan.
"Kalau orang bukan Islam buat lainlah ini
gambar tu (gambar yang disiarkan media dan internet) nampak Melayu. Kita orang
Islam diajar kita jangan buat benda yang kalau orang lain buat pada kita, kita
marah maka ini tidak patut berlaku," tegas beliau ketika ditemui di sini
hari ini.
Tindakan tidak bertamadun itu dilakukan pada
penganjuran perhimpunan tersebut di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur pada 30 Ogos
lalu sempena sambutan ambang merdeka.
Aksi tidak senonoh individu-individu berkenaan kini
tersebar luas di laman sesawang dan mengundang kemarahan orang ramai malah
pelbagai pihak mendesak pihak yang bertanggungjawab dibawa ke muka pengadilan.
Dalam perhimpunan tersebut, mereka turut menuntut
untuk menukar Jalur Gemilang dan ramai daripada peserta mengibar bendera
berwarna merah putih seakan-akan bendera Singapura.
Sambil melahirkan rasa dukacitanya, Nik Abdul Aziz
berkata, untuk menggantikan bendera bukan mudah.
''Ia perlu dibincang bertahun-tahun. Apa tujuan kita
mahu tukar bendera yang sudah diterima masyarakat dunia dan tidak ada cacat
pun. Saya dukacita sangat benda ini berlaku," katanya.
No comments:
Post a Comment