PERHIMPUNAN AGUNG UMNO: NAJIB LARANG 3 PERKARA
Pemikiran
ahli wajar dewasa, matang seiring usia parti
Jangan
sabotaj, jangan rosakkan perpaduan dan jangan menongkah arus, ialah rumusan
taklimat tertutup Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Razak, petang semalam.
Sejam
setengah dimanfaatkan sepenuhnya untuk memberi amanat setegas mungkin, sekali
gus memanaskan semangat perwakilan sebelum bermulanya ‘silat’ Perhimpunan Agung
UMNO Ke-66, esok.
Sebagai
Presiden yang bakal mengemudi bala tenteranya memasuki gelanggang getir Pilihan
Raya Umum Ke-13 (PRU-13), Najib mempunyai segala sebab untuk melahirkan
kebimbangannya terhadap kehadiran puak ‘gunting dalam lipatan’ yang boleh
meranapkan impiannya mendapat mandat diharapkan.
Persoalannya
apakah perwakilan berkongsi kebimbangan yang sama? Atau mungkinkah gunting
dicari ada di celah ribuan hadirin, ghairah menajamkan mata sebelum mengatur
langkah seterusnya?
Berbekalkan
suasana semangat 66 tahun UMNO hadir sebagai wadah paling dominan dalam
perjuangan membela orang Melayu, pemikiran ahlinya wajar dewasa dan matang
seiring usia.
Ikut arahan
Presiden
Menyelusuri
langkah perjuangan pemimpin parti terdahulu, semuanya bergerak dalam lingkungan
matlamat yang sama iaitu perjuangan membela nasib agama, bangsa dan negara
mesti membawa bersama keikhlasan sebagai asasnya.
Dalam dunia
sempurna, peringatan itu tidak perlu diulangi. Dalam dunia sempurna, ahli akan
mengikut apa saja arahan pucuk pimpinan parti. Dalam dunia sempurna, kesetiaan
ahli terhadap UMNO tidak harus diragui. Bagaimanapun, Najib memimpin kira-kira
3.2 juta ahli UMNO dalam dunia nyata yang dipenuhi kepelbagaian kemahuan,
desakan dan cabaran.
Di sebalik
usia matangnya, UMNO masih memiliki kelompok ahli yang lebih mengutamakan
resah, rajuk dan amarah sendiri hanya kerana kehendak tidak ditunaikan.
Walaupun
tiada ‘tender terbuka’, Najib dikhabarkan kerap menerima permohonan si polan
menjadi calon pilihan raya.
Baginya, itu perkara biasa tetapi apa yang lebih
membimbangkan ialah kehadiran surat daripada bahagian diwakili si polan supaya
permohonannya tidak dipertimbangkan.
Sabotaj
seperti itu saja sudah cukup merumitkan keadaan kerana paling tidak, ia pasti
menyukarkan pucuk pimpinan mencari calon yang benar-benar boleh menjamin
kemenangan tanpa membuka ruang percakaran.
UMNO teguh
seperti diharap
Namun,
Ketua UMNO Bahagian Batu Sapi, Datuk Shamsuddin Yahya, yakin rumah UMNO akan
teguh seperti diharapkan apabila tiba masanya menghadapi lawan di peti undi.
Perwakilan
UMNO pula perlu menguasai pentas Perhimpunan Agung UMNO kali ini dengan hujah
dan pandangan bernas untuk meyakinkan Najib bahawa rumah yang dibina atas nama
perjuangan ini masih kukuh untuk melawan gelora, baik dari luar mahu pun badai
dalaman.
Perlumbaan
semakin hampir ke garisan penamat. Sudah tiba masanya segala keresahan yang
melingkari UMNO dan pemimpin utamanya diakhiri dengan janji. Janji, seperti
lazimnya adalah untuk ditepati. -BHarian