KUALA
LUMPUR - Kerajaan cukup yakin penggunaan kamera Sistem Penguatkuasaan Automatik
(AES) mampu mengurangkan risiko kemalangan ekoran meningkatnya jumlah kenderaan
di jalan raya di negara ini, kata Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Abdul
Rahim Bakri.
Beliau
berkata teknologi tersebut yang diguna pakai di 90 buah negara termasuk
Singapura dan Thailand, telah menunjukkan keberkesanan dan menampakkan kesan
positif.
"Risiko
akan bertambah apabila bilangan kenderaan meningkat. Jadi kita perlu mekanisme
ini untuk menangani masalah kemalangan kerana untuk meletakkan tanggungjawab
kepada polis semata-mata adalah sukar," katanya ketika ditemui Bernama.
Katanya
dengan pertambahan sejuta kenderaan setiap tahun, sistem itu sesuai untuk
membentuk sikap berhemah dan berdisiplin di kalangan pengguna jalan raya.
"Pada
tahun lepas jumlah kemalangan dicatat sebanyak 450,000 yang mana melibatkan
kematian seramai 6,871 orang atau 19 kematian sehari," jelasnya.
Abdul Rahim
berkata keputusan kerajaan melaksanakan sistem tersebut bukan dilakukan secara
terburu-buru sebaliknya melalui beberapa proses termasuk kajian pada tahun 2003
sebelum Kabinet bersetuju mengenai pelaksanaannya pada tahun 2006.
Bagaimanapun,
katanya setakat ini kerajaan belum membuat sebarang keputusan untuk menangguh
pelaksanaannya biarpun didesak oleh pelbagai pihak termasuk Anggota Parlimen
dan parti politik.
"Saya
percaya Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak) juga mahu melihat perkara
ini berkesan untuk melindungi rakyat. Apa saja keputusan kerajaan adalah untuk
mensejahterakan rakyat.
"Kalau
kita tidak buat salah, tidak perlu takut. Apa yang penting kita pandu saja ikut
had laju dan jangan membahayakan orang lain di jalan raya," katanya.
Menurut
Abdul Rahim, berdasarkan penurunan jumlah saman atau kesalahan yang dilakukan,
ia menunjukkan lebih ramai yang telah sedar berhubung keselamatan di jalan
raya.
Pemasangan
kamera AES dilakukan secara berperingkat yang mana untuk fasa pertama, kamera
tersebut dipasang di 14 daripada 831 lokasi yang dikenal pasti sebagai lokasi
sering berlaku kemalangan maut.
Antara
kawasannya ialah Perak, Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya. – Bernama/SinarHarian
No comments:
Post a Comment