IPOH - Petualang yang menyebarkan Amanat Haji Hadi
32 tahun lalu perlu dicari kerana individu itu bertanggungjawab mencetuskan
kontroversi.
Timbalan Pesuruhjaya Pas Perak, Datuk Seri Mohammad
Nizar Jamaluddin berkata, petualang dimaksudkan dipercayai bekas ahli Pas dan
kini menganggotai Umno di Terengganu.
Beliau mendakwa, bekas ahli Pas itu dipercayai
antara mereka yang hadir ketika Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang
menyampaikan ucapan di Kampung Banggol Peradong, Manir, Terengganu, 7 April1
981.
Katanya, ramai pihak salah tafsir ucapan dan
kenyataan Abdul Hadi itu, sedangkan ia hanyalah perkara biasa yang dilakukan
ketika menyampaikan ucapan.
“Individu berkenaan seharusnya meneliti sepenuhnya
sebelum dan selepas ucapan yang dibuat sebelum membuat kesimpulan,” katanya.
Katanya, beliau bersetuju dengan kenyataan Ketua
Penerangan Pas Pusat, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man yang menolak cadangan Pas
mengadakan muzakarah secara tertutup mengenai isu Amanat Haji Hadi.
Katanya, sepatutnya Abdul Hadi diberi peluang
menjelaskan perkara sebenar kepada rakyat melalui siaran langsung di
televisyen, seperti diminta Abdul Hadi.
“Cadangan (mengadakan muzakarah secara tertutup) itu
bukanlah kaedah terbaik untuk mencari kebenaran. Perkara (berkaitan penjelasan)
itu perlu dilakukan secara terbuka agar rakyat boleh menilai,” katanya.
Hadi tidak pernah kata Umno kafir - Nasaruddin Daud
KOTA BHARU - Presiden Pas, Datuk Seri
Abdul Hadi Awang tidak pernah menuduh Umno kafir, namun amanatnya yang
disampaikan 32 tahun lalu disalahertikan oleh pihak sehingga menimbulkan
kontroversi.
Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri
(Dun) Kelantan, Datuk Mohd Nasaruddin Daud berkata, musuh politik sengaja
menimbulkan isu yang sudah lapuk ini, sedangkan ia tidak pernah memberi kesan
kepada masyarakat dan pimpinan Umno sebelum ini, tetapi sengaja ditimbulkan
kembali menjelang pilihan raya.
“Beliau (Hadi) tidak pernah
mengatakan mereka (Umno) murtad, namun tanggapan mereka ketika dahulu, ‘politik
suku agama suku’ (politik asing agama asing) yang pernah dilontarkan oleh
pimpinan pihak berkenaan sebelum ini menjerat diri mereka sendiri.
“Akibatnya, mereka pula yang terasa
dengan apa yang mereka hujahkan dan mula menuduh Pas pula yang menimbulkan isu
panas itu,” katanya ketika berucap pada forum ‘Isu Gadai Tanah : Menjawab
Tuduhan Umno Kelantan di Kelantan Trade Centre (KTC), di sini, malam kelmarin.
Dalam perkembangan isu terbabit,
Nasaruddin berkata, perlu diingat sebelum ini pada tahun 2001, Hadi pernah
menyatakan kesanggupan berdepan dengan Majlis Fatwa Kebangsaan dan apabila tiba
masanya pengerusi majlis terbabit membatalkan muzakarah itu.
“Sekarang isu ini diungkit kembali
oleh Umno, dan Presiden kita (Hadi) bersedia menjelaskan amanat yang
diucapkannya di stesen RTM dan TV3 namun niatnya tidak disokong kerana ada
pihak yang menentang dan menyatakan penjelasan itu boleh dibuat di dalam media
lain dan bukannya arus perdana.
“Sepatutnya kedua-dua stesen
televisyen inilah yang memberi peluang kepada Hadi, disebabkan TV3 dan RTM yang
sering memainkan isu ini dan menyerang hadi secara terang-terangan,” katanya.
Beliau berkata, apa yang lebih
menghairankan juga Hadi sendiri tidak pernah menerima sebarang surat dari
Majlis Fatwa Kebangsaan yang mengatakan kenyataannya itu bercanggah dengan
ajaran Islam.
“Hanya ditempelak oleh dua mufti
iaitu Mufti Perak, Tan Sri Harrusani Zakaria dan Mufti Wilayah Persekutuan
Datuk Wan Zahidi Wan Teh yang menggesa Hadi menarik balik amanatnya berkenaan.
“Mereka kata amanat ini sesat, Hadi
kena bertaubat, sepatunya mereka beri peluang dulu, biar beliau terangkan dan
selepas itu nilai kembali apa yang dinyatakan sebelum membuat tuduhan,”
katanya.
No comments:
Post a Comment