KUALA LUMPUR – Sama ada Himpunan Kebangkitan Rakyat,
yang dijadual untuk diadakan berlangsung di Stadium Merdeka, Sabtu ini belum
ada keputusan daripada pihak pengurusan stadium terbabit.
Perhimpunan aman anjuran Sekretariat Pakatan Rakyat melahirkan kekesalan itu, apabila permohonan mereka untuk menyewa, sekali gus menggunakan stadium bersejarah itu sebagai lokasi utama perhimpunan kali terakhir sebelum Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) tidak mendapat maklum balas positif daripada Merdeka Heritage Trust.
Menurut Setiausaha Kerja Himpunan Kebangkitan
Rakyat, Adib Ishar, permohonan untuk menggunakan Stadium Merdeka telah
dikemukakan kepada pengurusan stadium pada 26 Disember lepas.
Bagaimanapun sehingga kini pihaknya masih tidak
mendapat sebarang maklum balas ataupun surat kelulusan penggunaan kemudahan
itu.
"Kita datang hari ini untuk menyerahkan surat
lanjutan permohonan kita yang lepas, saya dah hubungi banyak kali pengurusan
Merdeka Heritage Trust, tapi masih tiada jawapan.
"Malangnya kami pada hari ini, dinafikan hak
untuk berjumpa dengan wakil daripada Stadium Merdeka, jadi kita agak kecewa,”
katanya kepada pemberita di lobi bangunan Permodalan Nasional Berhad (PNB) hari
ini bagi menyerahkan memorandum desakan supaya pihak Stadium Merdeka
mengeluarkan surat kebenaran menggunakan kemudahan sukan itu pada 12 Januari
ini.
Tambah Adib, hasrat Sekretariat PR untuk menyewa
Stadium Merdeka sebagai satu sahutan kepada cabaran Perdana Menteri, Datuk Seri
Najib Tun Razak yang sebelum ini meminta pembangkang mengadakan himpunan dalam
stadium tersebut.
Dalam pada itu, Setiausaha Dewan Pemuda Pas, Khairul
Faizi Ahmad Kamil yang turut serta dalam penyerahan memorandum desakan mendakwa
pihaknya telah memaklumkan secara lisan kepada pihak pengurusan stadium untuk
bertemu hari ini.
Namun setelah sejam jam menunggu, pihak pengurusan
tidak muncul atau menghantar wakil.
"Nampaknya mereka tidak boleh hantar wakil,
kerani pun tak boleh hantar, pembantu peribadi pun tak boleh hantar sedangkan
kami sebut, kita nak hantar surat, bukan kita nak berbincang atau sebagainya,
hantar surat bagi pihak Pakatan Rakyat.
"Bagi kami, ini satu sikap yang tidak baik
ditunjukkan oleh pengurusan stadium walaupun mereka berjanji bahawa pengurusnya
sendiri akan turun ke bawah,” jelasnya lagi.
Bagaimanapun beliau memuji pihak keselamatan yang
memberi respons yang baik tentang hasrat mereka untuk mengadakan himpunan aman
dalam kawasan tertutup, malah mereka bersedia memberi kerjasama untuk menjaga
keselamatan sepanjang program berlangsung nanti.
"Kita bimbang bila saat akhir kelulusan dibuat,
andai kata dibatalkan atau tidak diterima, kita bimbang ia akan menyebabkan
tekanan lain atau tindakan lain seperti provokasi yang menyebabkan himpunan ini
akan gagal,” katanya sambil mempersoalkan kelambatan pihak
stadium mengeluarkan surat kebenaran meskipun dua
kali tindakan susulan telah diambil pihaknya.
Sementara itu, Setiausaha Angkatan Muda Keadilan,
Julailey Jemadi melahirkan kekecewaannya apabila pihaknya tidak dibenar
memasuki pejabat pihak pengurusan stadium sebaliknya mereka hanya dibenarkan
menunggu di lobi bangunan PNB.
"Layanan ini seolah-olah tidak menggambarkan
kebudayaan kita sebagai rakyat Malaysia yang menerima tetamu tapi dilayan
begitu saja, agak mengecewakan kami,” katanya.
Ditanya sekiranya permohonan mereka ditolak,
pihaknya bertegas akan meneruskan himpunan aman.
"Kami akan buat tindakan susulan selepas ini
mungkin petang ini, mungkin besok pagi dan bila-bila kami akan desak pihak
pengurusan Merdeka Heritage supaya permohonan kami diterima,” katanya.
Sehubungan itu, satu mesyuarat khas pimpinan tertinggi
Pakatan Rakyat akan diadakan esok bagi mencari jalan keluar kepada kemelut ini
dan hasilnya akan dibawa kepada pengetahunan pihak Bukit Aman bagi tindakan
susulan sebelum perhimpunan itu diadakan. - Sinar Harian
No comments:
Post a Comment