KUALA LUMPUR - Ketua Polis Negara Tan
Sri Ismail Omar meminta penganjur perhimpunan yang didokong pembangkang di ibu
negara Sabtu ini agar mematuhi peraturan Akta Perhimpunan Aman 2012 bagi
menjamin keselamatan dan ketenteraman awam.
Ia adalah antara perkara yang
ditekankan Ismail ketika bertemu dengan pihak penganjur perhimpunan selama
sejam di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman hari ini.
Pihak penganjur diwakili Timbalan
Presiden Pas Mohamad Sabu; Naib Presiden PKR, N. Surendran; seorang lagi Naib
Presiden PKR, Tian Chua; Setiausaha Agung Pas Datuk Mustafa Ali; Ketua Dewan
Muslimat Pas Pusat Siti Zailah Mohd Yusoff dan Aktivis Hak Asasi Manusia, Maria
Chin Abdullah.
Penolong Ketua Urus Setia Ketua Polis
Negara (Perhubungan Awam) ACP Ramli Mohamed Yoosuf yang turut serta dalam
pertemuan itu memberitahu Bernama, Ismail turut mengingatkan pihak penganjur
perhimpunan agar memberi kerjasama kepada polis termasuk mematuhi larangan
dalam akta tersebut.
"Seseorang itu melakukan
kesalahan jika, bukan warganegara menyertai perhimpunan, menganjurkan
perhimpunan di tempat larangan dan dalam jarak 50 meter dari had larangan,
menyertai dan menganjur protes jalanan, seseorang bawah umur 21 tahun menganjurkan
perhimpunan, kanak–kanak menyertai perhimpunan (bawah 15 tahun), merekrut atau
membawa kanak-kanak untuk perhimpunan," katanya.
Ismail turut menegaskan jika sabit
kesalahan individu terbabit boleh dikenakan denda antara RM10,000 dan RM20,000.
Bercakap kepada pemberita selepas
pertemuan itu, Mohamad atau lebih dikenali sebagai "Mat Sabu"
berkata, polis sedia menjadi fasilitator pada perhimpunan tersebut yang
dicadang diadakan di Stadium Merdeka.
Bagaimanapun katanya, keputusan
terakhir lokasi perhimpunan akan ditentukan esok berikutan pihak pemilik
bangunan itu belum memberi kata putus mengenai perkara itu.
"Kita akan tunggu sehingga pukul
1 tengah hari esok sama ada dapat menggunakannya ataupun tidak, sekiranya
tidak... kita akan mencari alternatif lain," katanya. – Bernama/Sinar
Harian
No comments:
Post a Comment