PUTRAJAYA -
Generasi muda hari ini harus bijak membuat penilaian terhadap kerajaan
Barisan Nasional (BN) yang telah banyak menyumbang kepada pembangunan negara
sepanjang 55 tahun mentadbir negara, kata Bekas Perdana Menteri, Tun Dr
Mahathir Mohamad semalam.
Beliau berkata, generasi muda yang lahir selepas
negara mencapai kemerdekaan dan maju telah menganggap kemajuan negara adalah
satu perkara yang biasa dan mereka juga tidak bersyukur dan berterima kasih
terhadap usaha kerajaan.
Sehubungan itu, beliau yang sudah hampir 67 tahun
menceburi bidang politik khuatir
golongan muda yang kurang pengalaman mudah terpengaruh dengan dakyah
pembangkang yang mahu mengubah kerajaan pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).
"Ada pula yang kata mahu tukar kerajaan kerana
sudah diperintah BN selama 55 tahun. Ini sesuatu yang merbahaya dan kalau
memberi kuasa kepada orang yang tidak baik, ia boleh merosakkan negara kita
dalam jangka masa singkat dan ia tidak mudah dipulihkan.
"Generasi muda jangan nak ada selera baru dan
cuba parti pembangkang yang hanya akan membawa kerosakan kepada negara. Mereka
harus bijak membuat perbandingan iaitu Malaysia dahulu, sebelum merdeka dan apa
yang dicapai sekarang.
"Mereka harus ikhlas membuat penilaian bahawa
Barisan Nasional yang memerintah selama 55 tahun telah banyak berjasa dalam
memajukan Malaysia. Mereka harus membuat pertimbangan waras dan memilih siapa
yang boleh memerintah negara ini menjelang PRU13 nanti," katanya selepas
menghadiri sesi dialog bersama anggota Kelab Veteran Persatuan Kelab-Kelab
Belia Malaysia (MAYC) di Yayasan Kepimpinan Perdana di sini.
Dr Mahathir juga mahu pemimpin veteran yang
mengetahui matlamat dan pencapaian negara terus membantu dan memimpin generasi
muda yang akan menentukan masa depan negara agar terus menyokong BN yang telah
berjasa dalam membawa pembangunan di negara ini.
"Tidak dapat dinafikan bahawa generasi muda
hari ini mungkin tidak sependapat atau tidak puas dengan kerajaan sekarang
tetapi adalah lebih baik memilih orang yang kita kenal dan tahu daripada orang
yang tidak kenal. Bak pepatah Inggeris, 'Better the devil you know than the
angel you don't," katanya.
Sementara itu, Dr Mahathir menyaran semua ahli Umno
berganding bahu untuk memastikan BN di bawah pimpinan Perdana Menteri Datuk
Seri Najib Tun Razak akan menang dalam PRU13 nanti.
Sambil mengakui bahawa Najib bukan terbaik dan ada
kelemahan, beliau mahu semua ahli Umno agar tidak membuat penilaian terbuka
tentang baik buruknya, sebaliknya mengemblengkan tenaga untuk memastikan BN
boleh mendapat majoriti dua pertiga.
"Apabila BN dah menang pada PRU13 dan tubuhkan
kerajaan, kita boleh memperbetulkan kesilapan dan kesalahan demi kepentingan
bersama... pada masa itulah, kita boleh tegur dan menggodam," katanya.
Sementara itu, Dr Mahathir kesal tindakan sesetengah
pemimpin Umno demi kepentingan diri telah menyekat golongan yang berpendidikan,
berbakat dan profesional menyertai parti itu.
"Tidak dapat dinafikan bahawa ada orang masuk
Umno kerana mahu mendapatkan sesuatu untuk diri sendiri sehingga tidak bagi
orang lain masuk Umno.
"Ini penyakit yang sudah ada ketika zaman saya
... dulu doktor dan jurutera tiada dalam Pas tetapi sekarang dah ada kerana
apabila mereka tidak masuk Umno, mereka masuk Pas," katanya. – Bernama/Sinar
Harian
No comments:
Post a Comment