ANALISIS -
"Isunya bukan tarikh tetapi tempo." Demikian rumusan Pengarah
Strategi PKR, Rafizi Ramli apabila ditanya kesan Himpunan Kebangkitan Rakyat
kelmarin dalam menghadapi Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).
Banyak
pihak mengaitkan himpunan itu dengan PRU13. Ia turut diakui pemimpin Barisan
Nasional (BN) dan Pakatan Rakyat (PR)
secara langsung dan secara tidak langsung.
Berbanding
dua perhimpunan yang dilabel sebagai demonstrasi jalanan iaitu Himpunan Bersih
2.0 dan Himpunan Bersih 3.0, Himpunan Kebangkitan Rakyat, atau yang turut
dikenali dengan panggilan #KL112, dianjurkan sendiri oleh Pakatan Rakyat (PR).
Sebelum ini, ada analisis yang mengatakan dua perhimpunan terdahulu, yang
dianjurkan oleh pertubuhan bukan kerajaan Bersih 2.0, secara tidak langsung
melewatkan PRU13.
Bagaimanapun
situasi pada hari ini berbeza. Sama ada suka atau tidak, parti-parti politik
tiada pilihan kecuali menerima hakikat bahawa PRU13 akan berlangsung menjelang
akhir Jun ini dengan Parlimen akan dibubarkan bila-bila masa dari sekarang atau
terbubar dengan sendiri akhir April.
Sehubungan
itu, Rafizi melihat bahawa tumpuan selepas ini ialah sejauh mana parti-parti
akan membawa rentak masing-masing.
"Tempoh,
rentak dan tingkah laku dan bentuk kenyataan akan dibuat... selepas ini semua
akan berhati-hati," kata beliau ketika dihubungi Sinar Harian Online.
Oleh itu
beliau mengakui bahawa "tempoh satu hingga dua bulan ini adalah sangat
penting."
Oleh itu
Rafizi melihat kedua-dua BN dan PR akan menggunakan baki masa yang ada sebelum
PRU13 untuk mencari sokongan.
"Kami
melihat himpunan kali ini sebagai pemangkin moral kepada Pakatan Rakyat...
menunjukkan bahawa kami juga boleh melakukan sesuatu untuk rakyat jika diberi
mandat... kami pun mahu berhimpun secara aman," katanya lagi.
Ditanya
sama ada PR sudah mengeluarkan garis panduan tentang gerak-geri dan bentuk
kenyataan yang seharusnya dikeluarkan menjelang PRU13, Rafizi berkata,
"tidak ada garis panduan rasmi, tetapi aspek ini ditekankan dalam
mesyuarat Majlis Pimpinan Presiden."
Bagaimanapun
beliau mengakui kadangkala sukar untuk "mengikat" ahli-ahli politik.
"Memang
sukar, tetapi kami melakukan sesuatu supaya tidak ada kenyataan yang boleh
memudaratkan peluang kami di PRU," katanya apabila merujuk
kenyataan-kenyataan 'cari pasal' pemimpin-pemimpin PR sejak enam bulan lalu.
Pengarah
Eksekutif Merdeka Center, Ibrahim Suffian tidak melihat perkembangan selepas
ini sebagai "soal tarikh atau tempo semata-mata."
"Saya
melihat lebih daripada itu. Saya melihat keupayaaan Pakatan Rakyat membawa
isu-isu lokal ke peringkat nasional... ini yang saya dapat saksikan semalam
(Sabtu lalu)," kata beliau yang mengakui BN masih ada kelebihan kerana
menguasai jentera kerajaan dan juga media arus perdana.
"Dalam
hal itu, BN adalah sedikit kelebihan," katanya apabila ditanya sama ada
"padang permainan" sudah sama bagi kedua-dua perikatan ini susulan
himpunan kelmarin.
Dua hari
sebelum Himpunan Kebangkitan Rakyat Merdeka Center adamengeluarkan hasil kajian berkala yang
terbaru berkenaan dengan populariti Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak
dan juga persepsi ke atas Kerajaan Pusat.
Populariti Najib, selaku Presiden
Umno dan juga Pengerusi BN, merosot sedikit manakala persepsi orang ramai ke
atas kerajaan kurang memberangsangkan.
Sehubungan
itu, Ibrahim tidak menolak persekitaran dan harapan peserta himpunan dengan
hasil kajian tersebut, yang diadakan selepas Perhimpunan Agung Umno 2012.
Meskipun
kerajaan mengumumkan pertumbuhan ekonomi yang baik dan hasil pelaksanaan pelan
transformasi ekonomi, katanya, "pada akhirnya orang ramai melihat pada
kesan kos hidup dan isu-isu berkaitan ekonomi seharian."
"Mereka
tidak faham angka-angka berkaitan dengan pertumbuhan ekonomi, saham dan
transformasi ekonomi," katanya.
Berkongsi
pandangan berkenaan perkembangan terbaru ini,
Prof Madya Dr Sivamurugam Pandian dari Universiti Sains Malaysia melihat
kedua-dua parti akan bertindak "secara berhemah" untuk menang PRU13.
"Saya
boleh ini politik berhemah. Kita akan dapat melihat politik berhemah menjelang
hari pilihan raya," kata beliau yang turut yakin semua pihak yang bakal
bertanding dalam PRU13 khususnys BN dan PR akan menggunakan kejayaan kelmarin
sebagai senjata untuk menarik pengundi atas pagar.
"Yang
datang hari itu kebanyakan pengundi tegar atau penyokong setia Pakatan Rakyat
dan parti masing-masing, mereka tidak akan berubah... akan kekal bersama parti
masing-masing.
"Begitu
juga BN. Tetapi apa yang menarik ialah masing-masing akan bertindak sebagai
'budak baik', untuk menarik sokongan pengundi atas pagar," katanya lagi.
BN akan
mengambil kredit ia sebagai kesan langkah transformasi mereka, kata beliau.
Perkara itu
diakui oleh beberapa pemimpin BN semalam.
Menteri di
Jabatan Perdana Menteri, Senator Tan Sri Dr Koh Tsu Koon menyifatkan
perhimpunan kelmarin membuktikan Akta Perhimpunan Aman 2012 dapat dilaksanakan
dengan baik sekiranya semua pihak bertindak dengan penuh tanggungjawab dan
terkawal.
Undang-undang
itu menekankan keikhlasan dan kesungguhan kerajaan pimpinan Najib dalam
menyediakan ruang demokratik dan memastikan perhimpunan aman bagi rakyat
melaksanakan hak dan kebebasan mereka dengan bertanggungjawab.
"Tambahan
pula, Najib dan BN yang mengambil langkah konkrit untuk memansuhkan Akta
Keselamatan Dalam Negeri dan memansuhkan atau membuat kajian terhadap
undang-undang terhad yang lain," katanya semalam.
Berdasarkan
pengalaman Bersih 2.0 dan Bersih 3.0, Tsu Koon berkata, Perdana Menteri berulang
kali menekankan keperluan bagi mengadakan perhimpunan aman di stadium dan
tempat lain dengan syarat penganjur dan peserta juga perlu menerima syarat-syarat tertentu yang munasabah.
"Nampaknya,
beberapa pemimpin pembangkang, ejen provokasi dan penghasut juga telah belajar
daripada Bersih 3.0 dengan menyedari bahawa segala perbuatan provokasi di pihak
mereka tidak akan terlepas daripada mata awam dan lensa video dan kamera
telefon bimbit," kata Presiden Gerakan ini dalam satu kenyataan semalam.
Himpunan
Kebangkitan Rakyat mengembalikan kedua-dua BN dan PR medan pertarungan PRU13
yang sebenar. Masing-masing menggerakkan langkah bagi mendampingi rakyat
khususnya mereka di atas pagar.
Oleh kerana
kemenangan bakal ditentukan oleh pengundi di atas pagar yang jumlahnya dalam
lingkungan 30 peratus, setiap langkah selepas ini amat berharga dan bernilai.
Sikap itu
akan menentukan kemenangan mutlak sesebuah parti: BN atau PR.
Tarikh
PRU13 sudah tidak penting. Angka kehadiran di Stadium Merdeka kelmarin juga
bukan penting lagi. Kedua-duanya hanya tinggal detik sejarah dan kenangan.
Hanya tempo
akan melakar detik sejarah baru iaitu pada PRU13.
- G MANIMARAN/
Sinar Harian
No comments:
Post a Comment