KUALA
LUMPUR: Tan Sri Muhyiddin Yassin mahu semua guru pendidikan Islam di seluruh
negara aktif menyampaikan ilmu Islam sebenar bagi menolak fahaman songsang yang
mengancam akidah selain mencetuskan suasana tidak harmoni dalam masyarakat masa
kini.
Timbalan
Perdana Menteri menegaskan, 52,000 guru terbabit perlu menyampaikan mesej
dakwah yang berteraskan al-Quran dan sunah serta memimpin masyarakat ke arah
kebenaran.
Tegas
beliau, adalah malang sekiranya umat Islam dibiarkan berpecah-belah hanya
kerana ada sebahagian daripada masyarakat itu terpengaruh dengan pelbagai
fahaman yang terpesong daripada ajaran agama itu sendiri.
“Tindakan
sebegini hanya mencetuskan persengketaan dalam kalangan umat yang akhirnya
menjejaskan nikmat keharmonian dan keamanan yang kita kecapi selama ini,”
katanya semasa merasmikan Multaqa Nasional Guru Pendidikan Islam yang dihadiri
3,500 peserta dari seluruh negara di sini, semalam.
Dalam pada itu,
Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata, umat Islam perlu sentiasa
memperkukuhkan perpaduan bagi mempertahankan segala nikmat yang dikurniakan
Allah SWT.
Sehubungan
itu, beliau menyeru masyarakat berpegang kepada empat prinsip iaitu penyatuan
hati (wahdatul qalb) dan penyatuan pemikiran (wahdatul fikr) dalam kalangan
umat dengan berpandukan al-Quran dan sunah.
“Seterusnya
marilah kita cetuskan penyatuan matlamat (wahdatul hadaf) dan penyatuan amal
(wahdatul amal) yang akan memelihara kesatuan umat Islam buat selama-lamanya,”
katanya.
Beliau
berharap dengan berteraskan empat prinsip itu umat Islam bukan saja menangani
cabaran pemikiran dan akidah malah muncul umat terbaik.
Dalam
perkembangan berkaitan, Muhyiddin menghargai usaha Bahagian Pendidikan Islam
memperkasa guru pendidikan Islam sebagai murabbi, mua’ddib dan mua’llim
menerusi Program Bina Upaya Guru Pendidikan Islam.
Program
itu, katanya, bertepatan dengan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia khususnya
dalam mencapai aspirasi murid yang kelima iaitu melahirkan murid yang beretika
dan mempunyai kekuatan kerohanian yang tinggi.— HMetro
No comments:
Post a Comment