KUALA
LUMPUR — Karpal Singh dilabel sebagai bongkak dan degil apabila terus menolak
pendirian PAS berhubung penggunaan isu kalimah Allah oleh masyarakat bukan
Islam di negara ini, kata Presiden Jalur Tiga (Jati) Datuk Dr Hassan Ali.
Bekas Pesuruhjaya
PAS Selangor itu dalam kenyataannya juga menegaskan PAS pula sering berdolak
dalih dan cair diselimuti dengan perbezaan pendapat yang nyata di antara dua
golongan khususnya ulama disatu pihak dan parasit.
“Amatlah
jelas daripada peristiwa ini bahawa Karpal Singh yang mewakili DAP terus
menunjukkan sikap degil dan bongkak dengan tidak bersedia berundur walau
seincipun mengenai isu kalimah Allah ini dan juga isu-isu lain yang berkaitan
dengan Islam dan Melayu.
“Sementara
PAS dilihat sering berdolak dalih, cair dan diselimuti dengan perbezaan
pendapat yang nyata diantara dua golongan khususnya ulama disatu pihak dan
parasit yang banyak dipengaruhi oleh (Datuk Seri) Anwar Ibrahim serta DAP
disatu pihak yang lain,” tegas ADUN Gombak Setia itu lagi.
Beliau
turut menambah,”bagi DAP isu kalimah Allah sudah mencapai matlamat.”
PAS, jelas
Hassan sepatutnya menjadi benteng pertahanan pertama Islam dan Melayu didapati
goyah, tidak berprinsip hingga redha menggugurkan asas perjuangan semata-mata
untuk berbaik dengan DAP dan PKR dalam usaha merampas Putrajaya.
“Penyokong-penyokong
mereka semakin yakin terhadap DAP yang tidak pernah berganjak daripada apa yang
diperjuangkan selama ini yang lebih bersifat anti-Islam dan anti-Melayu itu.
“Amat jelas
gambaran di hadapan kita apa yang akan berlaku sekiranya Pakatan Rakyat (PR)
ditakdirkan berjaya menawan Putrajaya,” tegasnya.
Hassan
bagaimanapun berkata, sekiranya PR memerintah, kalimah Allah tanpa syak dan
ragu lagi akan dibenarkan penggunaannya seperti yang ditagih selama ini oleh
DAP dan penganut Kristian tanpa menghiraukan peruntukan-peruntukan dalam
Perlembagaan, Enakmen-Enakmen Syariah Negeri, fatwa-fatwa Majlis Fatwa
Kebangsaan dan Negeri serta penentangan dan kemarahan rakyat yang majoritinya
beragama Islam.
“PAS akan
terus menjadi kuda tunggangan DAP serta PKR dan sekaligus merelakan perjuangan
parti selama hampir 60 tahun itu untuk menegakkan Islam dan melaksanakan hudud
digugurkan.
“Golongan
parasit dalam PAS akan memiliki kuasa penentu untuk menghala tuju landasan
perjuangan PAS bukan mengikut apa yang di asaskan oleh kepimpinan terdahulu
sebaliknya di sesuaikan mengikut selera PKR dan DAP,” tegasnya lagi.
Malah,
beliau yang digugurkan sebagai exco kerajaan negeri Selangor turut menjangkakan
disebabkan perubahan yang akan berlaku yang kebanyakkannya yang menyentuh
isu-isu yang amat sensitif seperti agama Islam, bangsa Melayu dan kedudukan
Raja-Raja maka suasana kedamaian yang dinikmati oleh rakyat Malaysia selama ini
akan bertukar menjadi porak peranda yang akhirnya boleh mencetuskan keadaan
huru hara.
“Amatlah
penting bagi Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang, terutamanya mengambil
langkah pembaikan yang segera dengan secara rasmi membawa keputusan Majlis
Syura Ulama PAS yang bersidang pada 13 Januari 2013 kepada Majlis Presiden
Pakatan Rakyat supaya keputusan Majlis Syura tersebut diterima baik oleh
pimpinan tertinggi ketiga-tiga parti komponen Pakatan Rakyat tersebut.
“Selagi ini
tidak dilakukan selagi itulah isu ini tidak akan menemui jalan penyelesaian.
“Taktik
menyalahkan Umno yang sudah menjadi cliché rasanya tidak lagi dapat melindungi
kegagalan pimpinan tertinggi PAS dalam persabungan politik dengan dua rakan
kongsi DAP dan PKR.
“Sebaliknya
alasan basi itu sesungguhnya telah melemaskan PAS sendiri,” tegasnya lagi.
Beliau
turut menyindir kepimpinan PAS yang telah bertukar menjadi “pelawak politik”,
dan berkata keadaan itu mungkin timbul
disebabkan keingkaran pimpinan tertinggi PAS mengekalkan perjuangan parti itu
seterusnya menodai hasrat dan cita-cita parti Islam itu untuk membawa brand Islam dalam perjuangannya. –
Malaysian Insider
No comments:
Post a Comment