KUALA LUMPUR – Pergeseran pemimpin
Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP di Johor membuktikan tidak wujud
permuafakatan di kalangan parti-parti pembangkang walaupun dalam persoalan
asas, menurut penganalisis politik.
Prof Madya Dr Sivamurugan Pandian
dari Universiti Sains Malaysia (USM) berkata, pengundi perlu memberi perhatian
kepada latar belakang dan kredibiliti pemimpin pembangkang kerana rata-rata
mereka hanya cenderung kepada kuasa dan jawatan daripada soal perjuangan parti
yang sebenar.
“Contohnya di dalam PKR sendiri
kebanyakan mereka keluar dari BN kerana tidak ditawarkan jawatan seperti Datuk
Chua (Jui Meng) yang ditolak oleh MCA sendiri,” katanya.
Konflik dalaman DAP dan PKR di negeri
itu dikatakan berlaku disebabkan perebutan kerusi antara kedua-dua parti dan ia
memuncak apabila pengerusi DAP negeri Dr Boo Cheng Hau dilapor mahu Chua Jui
Meng dilucutkan daripada jawatannya sebagai pengerusi PKR negeri.
Ini berikutan dakwaan Boo bahawa Chua
sedang melancarkan kempen secara rahsia terhadap DAP di Johor.
Sehubungan itu, Pengerusi DAP
kebangsaan Karpal Singh, dalam satu kenyataan semalam, menggesa pemimpin utama
PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya bertindak sebagai perantara agar peluang
pembangkang di negeri itu tidak menerima kesan negatif daripada sebarang
perbuatan sabotaj.
Satu daripada kerusi yang dikatakan
menjadi ‘rebutan’ antara PKR dan DAP Johor ialah kerusi Parlimen Gelang Patah
yang kini disandang Tan Ah Heng daripada Barisan Nasional (BN).
Pada pilihan raya umum 2008 dan 2004,
kerusi itu ditandingi calon PKR, namun kali ini terdapat petanda bahawa DAP
mahukan kerusi itu kerana alasan calonnya mempunyai peluang lebih tinggi
berbanding PKR untuk merampas kerusi itu daripada BN.
“Dalam isu ini langsung tidak bangkit
tentang rakyat, apa yang mereka lebih pentingkan ialah tentang berapa banyak
kuasa yang mereka ada,” kata anggota Parlimen Muar yang juga Naib Ketua Pemuda
Umno Datuk Razali Ibrahim.
Beliau, yang juga Timbalan Menteri
Belia dan Sukan, berkata perebutan kerusi itu lahir daripada sifat gila kuasa
pemimpin-pemimpin pembangkang yang akhirnya sudah tentu merugikan rakyat.
“Saya faham ada penyokong tegar
antara mereka yang tidak peduli apa yang berlaku, namun bagi yang dapat
fikirkan masa depan, mereka harus fikir bahawa mereka tidak akan dapat kerajaan
berkualiti dengan pemimpin sebegini,” katanya.
Anggota Parlimen Batu Pahat Dr Puad
Zarkashi pula menyifatkan perpecahan di kalangan parti pembangkang tidak dapat
diselindung lagi.
Ketua Umno Bahagian Cheras Datuk Seri
Syed Ali Alhabshee berkata PKR, DAP dan PAS adalah sebuah pakatan yang tidak
mempunyai asas kukuh untuk memperjuangkan kepentingan rakyat, menyebabkan
masing-masing cuba menunjukkan bahawa mereka adalah juara.
Pengerusi Rancangan Sains Politik
Pusat Pengajian Pendidikan Jarak Jauh Universiti Sains Malaysia, Dr Ahmad Fauzi
Abdul Hamid pula berkata sejak awal gabungan pakatan pembangkang tidak sekukuh
BN. – Bernama/ The Malaysian Insider
No comments:
Post a Comment