PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada Rabu berikrar
akan memberikan komitmen terhadap agenda pembangunan nasional terutamanya dalam
membanteras gejala rasuah menjelang Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13).
Menerusi dokumen ikrar yang ditandatangani Najib, beliau menyatakan
bahawa hanya pemimpin yang adil boleh mewujudkan sebuah kerajaan yang diterima
rakyat.
"Saya percaya sebagai pemimpin BN yang sebenar, saya perlu menjadi
contoh yang baik bahawa hanya calon yang bertanding secara adil dan bebas akan
mewujudkan sebuah kerajaan yang dipercayai dan dihormati rakyat," katanya
seperti dipetik menerusi dokumen berkenaan.
Ikrar berkenaan merupakan inisiatif pertubuhan bukan kerajaan (NGO),
Integriti Antarabangsa Malaysia (TI).
Majlis menandatangani ikrar berkenaan disaksikan Presiden TI, Datuk Paul
Low.
Ikrar berkenaan merupakan satu kontrak sosial yang dibuat secara sukarela
oleh calon-calon PRU-13 bagi menggalakkan integriti, sistem tadbir urus yang
baik, ketelusan dan akauntabiliti dalam kerajaan di peringkat negeri dan
persekutuan serta demi menegakkan kedaulatan undang-undang.
"Bakal-bakal calon daripada parti komponen BN sudah melalui proses
tapisan oleh SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia), jadi ia terbukti
bahawa mereka juga memikul komitmen untuk memastikan pilihan raya bersih dan
adil.
"Ini merupakan satu lagi langkah kehadapan dengan menandatangani
ikrar integriti. Marilah kita bekerja bersama-sama ke arah mengukuhkan proses
pilihan raya," katanya dalam satu kenyataan.
Selain itu menurut Najib, beliau akan memastikan semua calon BN
menandatangani ikrar berkenaan selepas senarai calon diumumkan.
Sementara itu Low berkata kandungan ikrar berkenaan turut akan dimuatkan
dalam laman web rasmi Integriti Antarabangsa Malaysia (TI).
"Langkah seterusnya ialah menjadi tanggungjawab awam adalah untuk
menjadi mata dan telinga bagi memantau sama ada bakal-bakal calon mematuhi
ikrar itu atau pun tidak.
"Selain itu orang ramai turut berpeluang memberikan maklum balas
mengenainya di laman Facebook dan Twitter," katanya.
Empat teras utama yang terkandung dalam ikrar berkenaan ialah:
1. Calon perlu mematuhi prinsip kebenaran, integriti, tingkah laku yang
beretika dan akauntabiliti, termasuk tidak menerima atau memberi rasuah atau
terlibat dalam apa-apa cara dalam amalan rasuah;
2. Mendukung dan memberi keutamaan kepada kepentingan rakyat secara
keseluruhan;
3. Melakukan tadbir urus yang baik dan telus;
4. Mematuhi semua undang-undang dan peraturan yang diguna pakai di
Malaysia. -mStar
No comments:
Post a Comment