PUTRAJAYA: Menteri Komunikasi dan Mutlimedia yang
baru, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, beliau akan mengadakan pertemuaan
dengan semua syarikat telekomunikasi di negara ini membincangkan mengenai
penurunan caj perkhidmatan langganan jalur lebar yang dikenakan kepada pengguna
di negara ini.
Beliau berkata, pertemuaan itu akan dibuat dalam
tempoh terdekat dalam usaha memastikan capaian kemudahan jalur lebar tanpa
wayar di negara ini dapat ditingkatkan kepada tahap 80 peratus pada masa akan
datang.
"Insya-Allah saya akan adakan perbincangan
dalam masa terdekat. Saya juga telah bertanya kepada Ketua Setiausaha
Kementerian, Datuk Seri Kamaruddin Siaraf, sama ada perkara ini boleh
dilaksanakan, dan beliau beri jaminan boleh kurangkan caj perkhidmatan jalur
lebar.
"Kita juga akan buat tanda aras dengan membuat
perbandingan caj perkhidmatan di sini dengan negara jiran seperti Thailand dan
India," katanya kepada pemberita selepas majlis serah tugas oleh mantan
Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Rais Yatim kepadanya
dan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Nazri Aziz di Kementerian
Komunikasi dan Multimedia di sini pada Isnin.
Mengulas lanjut Ahmad Shabery berkata dengan
mengurangkan kos ia akan menjadikan perkhidmatan 3G lebih murah dan sekaligus
dapat mengembangkan lagi sektor perniagaan di negara ini.
"Jika dulu orang anggap telefon bimbit adalah
barangan mewah tidak lagi pada hari ini apabila seorang nelayan yang baru
sahaja tiba di jeti boleh terus berhubung dengan secara terus dengan peraih
menggunakan pekhidmatan 3G," katanya.
Justeru, beliau berkata sekiranya kos perkhidmatan
jalur lebar dapat dikurangkan ia akan memberi kesan positif terutamanya dalam
membantu perkembangan ekonomi negara dan urusan perniagaan rakyat.
Selain itu, Shabery yang juga Ahli Parlimen Kemaman
berkata beliau akan turut melihat kepada perkhidmatan jalur lebar yang
disediakan oleh syarikat telekomunikasi di negara ini.
"Kita sering menerima aduan daripada pengguna
menghadapi masalah rangkaian dengan perkhidmatan jalur lebar yang mereka
langgan. Ada pengguna yang hadapi masalah hingga dua tiga hari, jadi kita mahu
tahu sama ada syarikat telekomunikasi ini akan ambil tindakan yang bagaiamana
untuk atasi masalah seperti ini.
"Ini kerana jika pengguna tidak bayar bil
mereka dengan segera menggantung perkhidmatan, namun jika syarikat
telekomunikasi sendiri gagal memperbaiki gangguan perkhidmatan yang dialami apa
yang akan dilakuan," katanya.– mStar
No comments:
Post a Comment