JOHOR BAHRU – Ahli Parlimen Johor Bahru, Tan Sri
Shahrir Abdul Samad membidas tindakan sesetengah pihak mengadakan demostrasi
untuk memprotes keputusan PRU13 baru-baru ini sedangkan telah sedia maklum
bagaimana proses pilihan raya dijalankan.
“Proses pilihan raya bukan sahaja membabitkan
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tetapi turut melibatkan parti politik yang
bertanding khususnya dalam proses pengiraan undi melalui ejen parti, jadi untuk
menuduh keputusan pilihan raya tidak adil adalah tidak berasas.
“Saya turut berbangga apabila warga Johor Bahru
terus fokus terhadap aktiviti ekonomi.
Saya ingin mengingatkan bahawa ‘tsunami ekonomi’
adalah lebih berbahaya berbanding ‘tsunami politik’ kerana lebih banyak
kerosakan akan berlaku,” katanya pada sidang media sempena majlis perasmian
Ekspo Pelaburan Dan Pasaran Saham Malaysia (MISEE) 2013 di Persada Johor, semalam.
Beliau juga yakin akujanji dan manifesto yang dibentangkan
BN adalah lebih saksama dengan tidak meminggirkan golongan yang berpendapatan
rendah.
Sementara itu, Shahrir yang juga Penasihat Dewan
Perniagaan dan Perindustrian Iskandar Malaysia Negeri Johor melihat MISEE 2013
dilihat mampu membantu peningkatan kefahaman golongan Bumiputera terhadap
pelaburan secara langsung ekuiti syarikat yang tersenarai di Bursa Malaysia.
Beliau berkata, golongan Bumiputera telah mula
memahami pelaburan melalui unit amanah bagaimanapun masih kurang jelas terhadap
pembelian ekuiti.
“Adalah
penting setiap pelabur memahami bagaimana menguruskan lebihan pendapatan
diperoleh dengan memilih jenis pelaburan yang sah berbanding membuat pilihan
berdasarkan khabar angin sehingga menyebabkan kerugian.
“Keyakinan golongan Bumiputera membeli unit amanah
meningkat bagaimanapun masih belum agresif selain kurang kefahaman dari segi
pelaburan secara langsung melalui pembelian ekuiti syarikat di Bursa Malaysia,”
katanya.
Beliau turut memuji inisiatif pihak penganjur kerana
berusaha membantu golongan bumiputera khususnya warga bandar raya ini
mendapatkan maklumat mengenai pelaburan saham termasuk pengurusan kewangan.–
Bernama/Sinar Harian
No comments:
Post a Comment