BACHOK –
Keputusan bekas Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat untuk
tidak mempertahankan jawatannya sebagai Menteri Besar selepas Pilihan Raya Umum
ke-13 (PRU13) mengejutkan banyak pihak.
Beliau yang
sebelum ini menegaskan akan berkhidmat sehingga hujung nyawa mengambil
keputusan tidak mempertahankan jawatan Menteri Besar yang dipegangnya sejak 23
tahun lalu.
Bagi seorang
pemerhati politik, Datuk Alex Ong, keputusan Nik Abdul Aziz itu suatu pilihan
tepat untuk memberi laluan kepada timbalannya sebelum ini, Datuk Ahmad Yakob.
“Menilai
segala pengalaman yang ada pada beliau (Nik Abdul Aziz) selama lebih 29 tahun
ini, ia adalah keputusan tepat. Beliau
dipercayai rakyat dan jasanya dikenang rakyat semua lapisan masyarakat kerana
sifatnya sendiri mesra terhadap semua kaum.
“Saya berharap
agar persaraannya tidak dipolitikkan mana-mana pihak dan beri peluang kepada
beliau untuk tumpu kepada keluarga, beribadah dan menjadi mentor kepada menteri
besar baru,” katanya semalam.
Alex juga
mengucapkan tahniah kepada Ahmad yang baru mengangkat sumpah petang kelmarin di
depan Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V di Istana Negeri Kubang Kerian.
Ahmad adalah
Adun Pasir Pekan selama beberapa penggal.
Manakala
timbalan menteri besar yang baru ialah Adun Panchor, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah.
Alex berharap
Ahmad juga mempunyai visi dan ciri-ciri dimensi baru dalam segala perkara dan
di samping meneruskan perjuangan yang memberi manfaat kepada seluruh rakyat
akar umbi di Negeri Kelantan.
Manakala, Adun
Jelawat yang baru mengangkat sumpah kelmarin, Abdul Azziz Kadir juga
menyuarakan sokongannya terhadap pelantikan menteri besar baru.
“Dari segi
ranking, beliau (Ahmad) memang layak dilantik sebagai menteri besar baru
selepas persaraan Tok Guru.
“Kami akan
terus menyokong beliau dalam meneruskan gerak kerja dan dasar parti tidak
mengira siapa pun menteri besar atau exco yang dilantik musim ini,” katanya
semalam. –Sinar Harian
No comments:
Post a Comment