KUALA LUMPUR:
Penjawat awam yang masih berpolitik akan dikenakan tindakan berdasarkan
peraturan, pekeliling dan undang-undang yang termaktub di bawah Jabatan
Perkhidmatan Awam (JPA), kata Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa.
Beliau berkata,
semua ketua jabatan diminta memantau dan mengambil tindakan atau melaporkan
kepada JPA sekiranya masih terdapat penjawat awam yang masih berpolitik
terutamanya di media sosial.
Katanya,
tempoh berpolitik sudah tamat sebaik sahaja keputusan Pilihan Raya Umum ke-13
diketahui, dan kini tibalah masa untuk penjawat awam menjadi tonggak
pentadbiran negara ke arah menjayakan agenda transformasi negara.
Tan Sri Dr Ali Hamsa |
Beliau berkata
demikian ketika diminta mengulas kenyataan Perdana Menteri Datuk Seri Najib
Razak semalam yang meminta rakyat termasuk penjawat awam supaya tidak terbabit
dalam politik berlebihan kerana menyebabkan masa terbuang untuk negara maju ke
hadapan.
Ketua
Setiausaha Negara berkata, penjawat awam kini perlu berfikir ke hadapan, iaitu
lebih produktif dalam mengoptimumkan penggunaan sumber-sumber terhad, lebih
cepat dalam membuat keputusan dan tepat dalam merangka dasar atau program demi
kepentingan rakyat.
Katanya,
penjawat awam juga perlu mempunyai integriti, kreatif and inovatif dalam
menggunakan pelbagai pendekatan untuk meningkatkan keberkesanan penyampaian
perkhidmatan awam, termasuk menggunakan saluran media sosial dalam menyampaikan
maklumat mengenai dasar-dasar awam kerajaan.
Ditanya
mengenai perkembangan rancangan mewujudkan Sistem Saraan Transformatif (SST)
bagi menggantikan Sistem Saraan Malaysia, Ali berkata proses penyediaan SST
yang meliputi 81 skim perkhidmatan pada tahap pertama dijangka selesai
menjelang akhir November ini.
"Pada
bulan Julai pula, kita akan menyelesaikan enam skim perkhidmatan dan bakinya
akan diselesaikan kemudian. Ini merupakan satu proses yang berterusan yang akan
turut meliputi kesemua 289 skim perkhidmatan apabila siap kelak," jelas
beliau. –BERNAMA/mStar
No comments:
Post a Comment