ATM SEDIA
GERAK ASET BAWA PULANG RAKYAT MALAYSIA DARI MESIR
NILAI: Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bersiap sedia untuk menggerakkan
asetnya sekali lagi bagi membawa pulang rakyat Malaysia di Mesir jika keadaan
di negara itu terus bergolak.
Panglima ATM, Jeneral Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin berkata, bagaimana pun
setakat ini belum ada keperluan ke arah itu dan keputusan mengenainya akan
diputuskan kerajaan melalui koordinasi Majlis Keselamatan Negara dan Wisma
Putra.
"Kita memang telah bersedia sekiranya ada keperluan, tapi setakat
ini belum ada keperluan dan saya yakin bahawa krisis yang dihadapi oleh Mesir
ini dapat diselesaikan dalam beberapa ketika dan keadaan akan kembali
reda," katanya.
Beliau bercakap kepada pemberita selepas merasmikan Kejohanan Olahraga
Majlis Kebajikan dan Sukan Anggota Kerajaan (MAKSAK) ke-45 di Stadium
Universiti Sains Islam Antarabangsa, di sini Khamis.
Sekiranya, keadaan memerlukan ATM untuk menggerakkan asetnya, Zulkifeli
berkata, beliau menjangkakan ia tidak akan menghadapi sebarang masalah
lebih-lebih lagi, proses sama pernah dilakukan sebelum ini.
"Ops Piramid yang lalu begitu rumit sekali kerana kita perlu
berhubung dengan negara-negara seperti Arab Saudi dan sebagainya. Jadi sekarang
ini kita sudah ada hubungan itu dan jika kita perlu membawa pulang rakyat kita
dari Mesir mungkin tidak akan menghadapi masalah," katanya.
–
BERNAMA/mstar
No comments:
Post a Comment