Showing posts with label Mesir. Show all posts
Showing posts with label Mesir. Show all posts

Monday, August 19, 2013

KRISIS MESIR: TIBA MASA MALAYSIA NYATAKAN PANDANGAN

SHAH ALAM –  Keganasan tentera Mesir terhadap rakyatnya perlu dibincangkan secara serius melalui sidang khas Parlimen, kata Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Bong Mokhtar Radin.

Beliau meminta ia segera diadakan, bersesuaian dengan tuntutan semasa.

“Parlimen hanya akan bersidang pada 23 September depan. Agak terlambat membincangkan isu ini jika menunggu persidangan Parlimen akan datang,” katanya.

Oleh itu, beliau melihat keperluan untuk sidang khas Parlimen itu diadakan segera.

"Sehari suntuk memadai bagi membincangkan perkara ini," katanya.
 
Menurut Bong Mokhtar, Malaysia perlu menyatakan pandangan lebih tegas, meskipun sebelum ini telah menyatakan pendirian menolak keganasan oleh kerajaan sementara Mesir.

“Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) juga perlu digesa bertindak dalam menamatkan segera konflik yang berlaku di Mesir, katanya.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menyeru pihak berkuasa Mesir menjalankan sekatan dengan serta-merta bagi menghentikan keganasan di negara itu.

Melalui laman sosial Twetter, Najib berkata: "Kami terganggu denganlaporan keganasan terhadap penunjuk perasaan di Mesir dan menyeru pihak berkuasa untuk menjalankan sekatan.

"Mana-mana korban awam adalah amat dikesali. Justeru, kami menggesa semua pihak menghentikan permusuhan dengan serta-merta dan bekerja ke arah penyelesaian yang aman,” katanya.

Malaysia, melalui Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman telah melahirkan kebimbangan terhadap keadaan di Mesir itu.

Anifah dilaporkan berkata, Kuala Lumpur berharap Kaherah dapat menyelesaikan ketidakstabilan politik itu secara aman, sekali gus membolehkan proses demokrasi dikembalikan semula.

Berbeza pula dengan Ahli Parlimen Ledang, Datuk Hamim Samuri yang berpendapat pendirian Malaysia sebelum ini sudah memadai, tanpa perlu diadakan sidang khas Parlimen.


Ini, kerana katanya, pendirian Malaysia dalam isu ini telah dinyatakan dengan tegas oleh perdana menteri yang mengutuk sebarang keganasan. – Sinar Harian
PEMBUNUHAN DI MESIR SEJARAH HITAM UMAT ISLAM

KOTA BHARU - Lima pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di negeri ini menyertai masyarakat antarabangsa membidas kekejaman pasukan keselamatan Mesir terhadap penyokong bekas Presiden Mohammed Mursi.

Lima NGO terbabit ialah Persatuan Kebajikan Alumni Timur Tengah, Yayasan Pengajian Tinggi Islam Kelantan Nilam Puri dan Kolej Islam Sultan Ismail Petra (ATTYKK), Alumni Keluarga Pelajar Kelantan Mesir, Majlis Pengetua SMU (A) Bantuan Kerajaan Kelantan, Persidangan Pengetua Maahad Kerajaan Negeri Kelantan dan Persatuan Guru-Guru Sekolah Agama Bantuan Kerajaan Kelantan.

Wakil NGO terbabit, Safei @ Suhaimi Sulaiman berkata, kekejaman yang berlaku di Mesir merupakan sejarah hitam umat Islam di negara itu.

"Peristiwa pembunuhan kejam terhadap umat Islam Mesir yang tidak berdosa oleh saudara-saudara mereka sendiri adalah amat dikesali dan amat memalukan bukan sahaja umat Islam tetapi seluruh umat manusia.

"Pihak kami memandang serius peristiwa malang ini dan mengutuk serta mengecam mereka yang bertanggungjawab menyebabkan berlakunya pembunuhan beramai-ramai ini," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Safei berkata, masyarakat dunia khususnya Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) dan Liga Arab segera bertindak mengelak pertubuhan darah lebih besar berlaku di Mesir.

Beliau berkata, pihaknya turut mendoakan agar rakyat Mesir memperoleh jalan keluar ke arah kedamaian dengan sebaik mungkin.


"Kita juga berdoa semoga pelajar-pelajar Malaysia yang berada di Mesir sentiasa dalam keadaan selamat dan berharap kerajaan sentiasa mengambil tindakan yang sewajarnya bagi menjamin keselamatan pelajar kita di sana," katanya. – BERNAMA/Utusan Online

Friday, July 5, 2013

~

RAMPASAN KUASA DI MESIR TINDAKAN LAPUK

KUALA LUMPUR - Rampasan kuasa di Mesir, yang menyaksikan Presiden Mohamed Morsi diguling, adalah satu tindakan lapuk dan terkebelakang dalam landskap politik dunia hari ini, kata Setiausaha Agung Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) Mohamad Raimi Ab Rahman.

Mohamad Raimi dalam satu kenyataan hari ini berkata tindakan itu tidak menjamin kestabilan Mesir untuk tempoh jangka panjang.

"Morsi seharusnya diberi peluang untuk memimpin Mesir dalam tempoh sekurang-kurangnya satu penggal sehingga pilihan raya akan datang bagi menstabilkan kerajaan pimpinannya.

"Rampasan kuasa ini secara langsung menafikan keinginan rakyat Mesir untuk menentukan masa depan mereka sendiri sebagaimana yang dilaungkan sejak 2011 dan kemudian diterjemah melalui proses pilihan raya," katanya.

ABIM turut meminta pelajar Malaysia di Mesir agar sentiasa berwaspada serta peka terhadap perkembangan semasa.

Pada masa sama, Abim meminta Wisma Putra menyalurkan maklumat serta perkembangan terkini berkaitan situasi di Mesir. - Bernama. –Sinar Harian

~

PM MAHU RAKYAT AMBIL IKTIBAR KONFLIK MESIR

LONDON - Rakyat Malaysia perlu mengambil iktibar daripada konflik di Mesir apabila perubahan yang ingin dituntut tidak semestinya menjamin kemakmuran dan kesejahteraan rakyat, kata Datuk Seri Najib Razak.
  
Perdana menteri berkata perubahan yang tidak diurus dengan baik boleh membawa kepada penderitaan rakyat seperti kenaikan harga barangan, peningkatan pengangguran dan industri pelancongan menjadi lumpuh.
  
"Akhirnya, ia membawa kepada rakyat sendiri yang menuntut kepada perubahan sekali lagi yang mana perubahan itu tidak memenuhi kehendak dan apa yang diharapkan oleh kita," katanya kepada wartawan Malaysia di akhir lawatan kerja empat harinya ke London pada Khamis.
  
Najib berkata demikian bagi mengulas mengenai konflik terbaru di Mesir yang menyaksikan penggulingan Presiden Mohamed Morsi, pemimpin yang dipilih secara demokrasi oleh rakyat Mesir pada 30 Jun 2012 bagi menggantikan Hosni Mubarak.
  
Perdana menteri berkata apa yang penting bagi Mesir adalah untuk mencari penyelesaian secara aman selain memastikan proses pilihan raya diadakan di masa terdekat, dengan dijalankan secara adil dan inklusif.

Namun begitu, beliau menegaskan peristiwa yang berlaku itu adalah soal dalaman Mesir, "walaupun kita tidak sokong tindakan ketenteraan, tetapi ia sudah terjadi."
  
"Diharap kerajaan baharu dapat diwujudkan, yang mencerminkan hasrat dan aspirasi rakyat Mesir, yang dapat menjaminkan kestabilan jangka panjang negara itu," katanya.
  
Mengenai tindakan rakyat di beberapa negara termasuk Malaysia yang enggan menerima keputusan pilihan raya umum yang dilaksanakan secara demokrasi dan pemimpin dipilih secara sah melalui proses demokrasi, Najib berkata apa yang penting ketidakpuasan hati perlu disuarakan mengikut lunas undang-undang dan Perlembagaan Negara.
  
"Inilah yang akan menjamin apa juga yang kita lakukan itu berdasarkan kepada undang-undang dan perlembagaan negara kita," katanya. -Sinar Harian

Thursday, July 4, 2013

ATM SEDIA GERAK ASET BAWA PULANG RAKYAT MALAYSIA DARI MESIR

NILAI: Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bersiap sedia untuk menggerakkan asetnya sekali lagi bagi membawa pulang rakyat Malaysia di Mesir jika keadaan di negara itu terus bergolak.

Panglima ATM, Jeneral Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin berkata, bagaimana pun setakat ini belum ada keperluan ke arah itu dan keputusan mengenainya akan diputuskan kerajaan melalui koordinasi Majlis Keselamatan Negara dan Wisma Putra.

"Kita memang telah bersedia sekiranya ada keperluan, tapi setakat ini belum ada keperluan dan saya yakin bahawa krisis yang dihadapi oleh Mesir ini dapat diselesaikan dalam beberapa ketika dan keadaan akan kembali reda," katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas merasmikan Kejohanan Olahraga Majlis Kebajikan dan Sukan Anggota Kerajaan (MAKSAK) ke-45 di Stadium Universiti Sains Islam Antarabangsa, di sini Khamis.

Sekiranya, keadaan memerlukan ATM untuk menggerakkan asetnya, Zulkifeli berkata, beliau menjangkakan ia tidak akan menghadapi sebarang masalah lebih-lebih lagi, proses sama pernah dilakukan sebelum ini.

"Ops Piramid yang lalu begitu rumit sekali kerana kita perlu berhubung dengan negara-negara seperti Arab Saudi dan sebagainya. Jadi sekarang ini kita sudah ada hubungan itu dan jika kita perlu membawa pulang rakyat kita dari Mesir mungkin tidak akan menghadapi masalah," katanya.

– BERNAMA/mstar