PM MAHU RAKYAT AMBIL IKTIBAR KONFLIK MESIR
LONDON - Rakyat Malaysia perlu
mengambil iktibar daripada konflik di Mesir apabila perubahan yang ingin
dituntut tidak semestinya menjamin kemakmuran dan kesejahteraan rakyat, kata
Datuk Seri Najib Razak.
Perdana menteri berkata perubahan yang
tidak diurus dengan baik boleh membawa kepada penderitaan rakyat seperti
kenaikan harga barangan, peningkatan pengangguran dan industri pelancongan
menjadi lumpuh.
"Akhirnya, ia membawa kepada rakyat
sendiri yang menuntut kepada perubahan sekali lagi yang mana perubahan itu
tidak memenuhi kehendak dan apa yang diharapkan oleh kita," katanya kepada
wartawan Malaysia di akhir lawatan kerja empat harinya ke London pada Khamis.
Najib berkata demikian bagi mengulas
mengenai konflik terbaru di Mesir yang menyaksikan penggulingan Presiden
Mohamed Morsi, pemimpin yang dipilih secara demokrasi oleh rakyat Mesir pada 30
Jun 2012 bagi menggantikan Hosni Mubarak.
Perdana menteri berkata apa yang penting
bagi Mesir adalah untuk mencari penyelesaian secara aman selain memastikan
proses pilihan raya diadakan di masa terdekat, dengan dijalankan secara adil
dan inklusif.
Namun begitu, beliau menegaskan
peristiwa yang berlaku itu adalah soal dalaman Mesir, "walaupun kita tidak
sokong tindakan ketenteraan, tetapi ia sudah terjadi."
"Diharap kerajaan baharu dapat
diwujudkan, yang mencerminkan hasrat dan aspirasi rakyat Mesir, yang dapat
menjaminkan kestabilan jangka panjang negara itu," katanya.
Mengenai tindakan rakyat di beberapa
negara termasuk Malaysia yang enggan menerima keputusan pilihan raya umum yang
dilaksanakan secara demokrasi dan pemimpin dipilih secara sah melalui proses
demokrasi, Najib berkata apa yang penting ketidakpuasan hati perlu disuarakan
mengikut lunas undang-undang dan Perlembagaan Negara.
No comments:
Post a Comment