AUTOMATIK KELUAR PAS
JIKA ANUT FAHAMAN SYIAH
SHAH ALAM - Setelah beberapa kali menafikan laporan kononnya
terdapat pemimpin kanan parti itu terbabit dengan ajaran Syiah, Pas hari ini
menerusi suatu kenyataan media melabelkan ia sebagai tuduhan jahat.
Ketua Penerangannya, Datuk Tun Ibrahim Tuan Man berkata, isu
Syiah ini bukan isu politik namun ia melibatkan soal aqidah, justeru memberi
amaran mereka yang mahu bermain politik menggunakannya.
"Ahli Pas mesti berpegang kepada ahli Sunnah Wal Jamaah.
Jika ada yang menganut amalan Syiah, maka ia secara automatik terkeluar dari
menjadi ahli Pas," katanya menerusi satu kenyataan media.
"Tiada pimpinan utama Pas terlibat dengan ajaran Syiah.
Oleh itu, Pas mengecam tindakan media arus perdana yang cuba memberikan
bayangan sebaliknya," tambahnya lagi.
Pas katanya kesal dengan tuduhan yang dilemparkan dan
menganggap ia perbuatan yang berniat jahat.
"Tindakan tersebut lebih bersifat politik, dengan
menghalakan tuduhan tanpa bukti kukuh hanya bersandar kepada andaian semata
mata," tegasnya.
Menurut Tuan Ibrahim, pihaknya sendiri mempunyai sistem
pemantauan dalaman yang bergerak aktif bagi memastikan seluruh ahlinya tidak
terbabit dalam aktiviti seumpama itu.
"... dan kita mengalu-alukan sebarang bukti yang
melibatkan ahli parti dapat dikemukakan kepada Jawatankuasa Disiplin Parti.
"Kerajaan jangan hanya nampak Syiah sebagai ancaman
negara, sedangkan ajaran Qadyani yang telah diwartakan sebagai ajaran sesat dan
bercanggah dengan aqidah terus berjalan tanpa sebarang tindakan," ujar
beliau lagi.
Pas katanya sama sekali tidak akan termakan dakyah lawan yang
cuba memanipulasi isu Syiah ini apatah lagi menjelang pemilihan parti itu
November ini. – Sinar Harian
No comments:
Post a Comment