TELITI BUKTI
TERSEMBUNYI DALAM PENGIKUT SYIAH – MB KEDAH
ALOR SETAR - Mereka yang menafikan penglibatan dalam aktiviti
Syiah boleh dikenal pasti melalui perbuatan atau kenyataan mereka kerana ia
akan menjurus kepada fahaman itu.
Menteri Besar Kedah, Datuk Mukhriz Mahathir berkata, walaupun
mereka menafikan menyokong gerakan Syiah, Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan
Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) sudah mengesahkan pembabitan pemimpin
itu dalam gerakan Syiah yang berselindung di sebalik Ahlul Sunnah Wal Jamaah.
“Bukti itu ada, ia tersembunyi. Kita hanya perlu teliti dari
aspek kenyataan mereka sebelum ini, sama ada dalam ceramah atau tazkirah yang
pastinya ada unsur menyokong fahaman
Syiah,” katanya.
Kelmarin, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid
Hamidi berkata, pihaknya sudah kenal pasti pemimpin politik terlibat dan akan
mengambil tindakan jika ada laporan daripada majlis agama Islam negeri.
Mengulas perkara itu, Mukhriz berkata, setakat ini, kerajaan
negeri belum menyediakan laporan berkaitan aktiviti Syiah di negeri ini, dan
maklumat berkaitan sedang dikumpul untuk tindakan lanjut.
“Maklumat berkenaan akan dijadikan rujukan dan panduan untuk
proses mewartakan fatwa itu, yang akan dibahas dalam sidang Dun 25 Ogos ini.
Kita akan wartakan segera fatwa anti Syiah selepas mendapat persetujuan dewan,”
katanya.
Bagaimanapun, hanya selepas diwartakan katanya, tindakan
boleh diambil terhadap mereka yang terbukti cuba menyebarkan fahaman Syiah.
Mukhriz berkata, fatwa itu tidak akan dikuatkuasakan secara
drastik, sebaliknya menggunakan
pendekatan berhemah agar pengikutnya kembali ke pangkal jalan.
“Langkah awal ialah mulakan usaha memperbetulkan akidah
golongan ini sebelum diambil tindakan perundangan. Ada pihak yang tidak sedar
mereka terikut-ikut dengan fahaman itu.
Jadi kita wajar sedarkan mereka dan bawa mereka kembali ke
jalan yang benar,” katanya.
Menurutnya, jika tidak berhasil dan gerakan itu tetap menular
secara berleluasa di negeri ini, tindakan tegas berlandaskan undang-undang akan
diambil. – Sinar Harian
No comments:
Post a Comment